Sunday, September 4, 2016

Gerimis Kasih Kita 28

Makan malam kali ini berlangsung tanpa Rizhan. Masih di pejabat katanya. Akhir-akhir ini sibuknya menjadi-jadi.

Seusai makan, aku dan Mama sama-sama turun padang untuk pembersihan pula. Seperti memasak tadi. Tatiana cuti kecemasan hari ini.

“Eh, lupa pulak!” Aku mengetuk kepala perlahan. Macam manalah boleh tak ingat? Serta-merta kerja lap pinggan gelas yang sudah siap dibasuh terbantut.

“Lupa apa pulak?” Datin Saira menyoal. Agaknya dia perasan perbuatanku tadi. Ibu mertuaku itu juga berhenti mengoperasikan kerja menyimpan lebihan makanan.

“Nurul terlupa! Tadi jemur beg, sekali dengan kain baju. Alih-alih kain bajunya angkat, beg tertinggal.” Dan dah siap makan malam ni pulak baru teringatnya. Bagus betul!

“Macam mana boleh lupa? Pergi ambil sekarang. Dah berembun agaknya.” Dalam satu nafas, ayat tanya dan ayat penyata dikeluarkan.

Tanpa menjawab, aku akur saja. Itulah .. jemur asing-asing. Jauh-jauh pulak tu. Kan dah lupa!

Mama dah cakap tunggu esok aje, biar orang gaji basuh. Hari ni Tati cuti, ada urusan katanya. Degil! Nak jugak buat sendiri. Tumpah minyak panas sikit je pun.

Haih ... baru seminggu dua duduk sini, takkan dah terbiasa pakai orang gaji, Anis oi?! Mentang-mentang kat sini orang gaji buat kerja, tak ada dia terus tak jalan kerja kau! Teruk, teruk!

Pintu gelungsur aku renggangkan sedikit. Isyarat tak langsung kepada orang di dalam bahawa ada orang di luar. Jadi kalau nak tutup, sila tengok kat luar dulu. Buatnya ada orang kunci, jenuh aku kena berjalan ke pintu utama pulak. 


Atas permintaan Datin Saira, dia di sini. Ada hal nak cakap katanya. Rizwan diam. Bersedia mendengar apa yang mamanya mahu perkatakan, walaupun dia sudah dapat mengagak topik perbincangan mereka.

“Rizhan kerja kuat. Selalu balik lewat malam.” Mukaddimah Datin Saira selepas melabuhkan punggung ke sofa. Sengaja dia lambatkan kerja di dapur untuk elakkan Anis turut serta. Lama tadi menantunya mengambil beg, tentu sekarang sudah naik ke bilik. Tidak nampak dia di bawah ni. Agaknya penat buat kerja rumah seharian. Lagi-lagi bila dah makin sarat.

“Wan kena ingat .. salah tetap salah. Mama benarkan Wan balik tinggal sini, tak bermakna mama lupa. Syarikat hampir lingkup .. mama takkan maafkan kerja bodoh Wan tu!”

Dia menelan liur. Marah Mama masih sangat membara.

“Wan ingat, ma. Takkan pernah lupa. Dan untuk tu .. Wan minta maaf.” Akhirnya dia bersuara. Biarlah mengalah, asalkan tidak terus berbalah.

Aku baru mahu melangkah masuk, tapi perbualan yang baru tertangkap tadi membantutkan perjalanan. Beg aku letakkan atas kerusi kayu yang memang disediakan untuk bersantai di ruangan ini. Telinga aku picingkan betul-betul. Rasa-rasanya mereka tak sedar kehadiranku.

“Jangan ingat saja! Tebus balik salah tu.” Seperti selalu, kata-kata berbisa yang dia terima.

Pintu utama dibuka. Perhatian Datin Saira beralih. Muka tegang mamanya berubah riak. Keruhnya mengendur, dan ada senyum kecil digaritkan. Rizwan tahu siapa gerangannya yang baru masuk tanpa memberi salam itu.

“Riz dah makan? Mama masak lauk istimewa malam ni.” Teruja sekali wanita separuh abad itu menyambut kepulangan anaknya.

Benar sekali telahannya!

“Belum. Tu yang Riz balik awal sikit malam ni. Anis mana, ma?” Tali leher dan beg kerja diletakkan di sofa single.

Datin Saira tercengang. Rizwan lekas menoleh.

Rizhan sangat selamba membalas pandangan kedua-duanya tanpa sebarang riak.

“Bu .. buat apa Riz cari Kak Nurul?” Terkebil-kebil wanita itu memandang anak terunanya. Entah mengapa, ada rasa gelisah bertandang di hati.

“Nak makan sekali.”

Dia perasan mata mamanya terbeliak. Dan paling penting, Rizwan mengetap bibir. Senang sekali hatinya.

“Mananya Anis? Ni .. Riz ada hadiah nak bagi dia.” Satu bungkusan nipis berbalut kemas dikeluarkan daripada beg kerja. Diletakkannya di atas meja. Spontan mata mama dan Rizwan menikamnya.

Aku pejamkan mata sejenak. Nampak gayanya dendam Rizhan tak pernah surut. Tapi yang malangnya, aku dilibatkan sekali!

“Jangan melampau, Rizhan!” Keras dia mengingatkan.

Rizhan garit senyum kecil. Akhirnya .. suara Rizwan sudah kedengaran. Tak perlu bersusah-payah, Rizwan melenting juga. Baguslah! Biar semuanya selesai. Dia sudah muak menahan marah dan benci.

“Makan sekali pun tak boleh? Bagi hadiah .. pun nak marah? Huh! .. Bukan nak buat benda bukan-bukan pun.” Sengaja dia mencabar. Muka toya ditayangnya.

“Kurang ajar, kau ya!” Tangannya dihentak kuat pada sofa yang diduduki.

“Sudah!” Suara halus nyaring Datin Saira pula mencelah.

“Riz, kalau nak makan pergi dapur! Nurul dah tidur!” Wanita itu menguasai suasana sekali lagi.

No! Riz tak nak makan .. kalau Anis tak ada!” Sengaja dia menyimbahkan lagi minyak ke api yang tengah marak.

“Apa masalah kau, hah?!” Dia mengetap gigi. Bengang. Rizhan makin menjadi-jadi. Sengaja mencabar nampak gayanya.

Rizhan gelak kecil. Rizwan bingkas bangun dan mencekak kolar bajunya.

Senyum sinis bergayut di bibir. Respon Rizwan sangatlah menarik!

“Cukup! Cukup! Cukup!” Datin Saira menarik Rizwan. Tegang sekali muka merah lelaki itu. Sehinggakan ditarik kejap kolar baju Rizhan. Alamat puncak kesabaran sudah mencapai takat tertinggi. Tapi disebabkan mamanya mencelah, akhirnya terpaksa dia lepaskan.  

“Mama tak nak tengok kamu bergaduh macam ni!” Jeritan nyaringnya bergema lagi.

Rizhan gelak besar. Gelak yang sengaja dibuat-buat.

“Mintak maaf, mama .. Riz kecewa dengan mama.”

Membulat mata Datin Saira. Muka Rizhan ditala tepat ke matanya.

“Riz cakap apa?” Mendadak turun tona suaranya. Hati tuanya tersentak.

“Apa mama dah buat, .. sampai .. Riz ..” Tidak mampu dilengkapkan pertanyaan itu. Perasaannya sudah cukup tersayat.

“Semuanya sebab mama! Mama yang buat kami jadi macam ni, mama tahu tak?!!” Rizhan menjerit kuat. Mukanya merah menahan segala macam rasa. Mata juga memerah dengan kolam mata yang makin membengkak.

Datin Saira terpinga-pinga. Terkebil-kebil dia menentang muka penuh emosi Rizhan.

“Ap .. ap .. apa .. yang mama .. dah buat, Riz?” Bicaranya tersekat-sekat dek rasa terkejut. Rengkung memanjang menelan liur.

Dia menarik senyum sinis di juring bibir.

“Mama kata papa meninggal sebab Rizwan, kan?”

Wanita tua itu terpempan diajukan pertanyaan itu. Membulat matanya. Pandangan dijatuhkan ke lantai. Tingkahnya terbata-bata. Wajah arwah Datuk Rashid mula terbayang di sudut mata. Jauh di lubuk hati, ada kesayuan hadir. Rasa sebak mengenangkan sang suami. 

Sedang Rizwan pula spontan menuntas perhatian terhadap kedua-dua manusia di hadapan. Tertarik kerana dirinya dijadikan topik.

Kebisuan menguasai ruang tamu rumah agam ini tatkala Datin Saira tidak menjawab. Rizhan tegak berdiri dengan nafas mendesah menahan amuk, dan Rizwan pula terpacak menjadi pemerhati.

“Mama tahu, kan .. papa meninggal sebab sesak nafas .. lemas. Mama tahu, kan?” Sekali lagi dia melontarkan pertanyaan. Tepat pada ibunya. Tidak dikerlipkan mata walau sepicing. 

Rizwan memejam mata. Nafas disedut sedalam-dalamnya. Rupa-rupanya .. ini kisah yang sebenar. Selama ini dia hidup menanggung hukuman atas kesalahan yang tidak dilakukan. Serentak tangan mengepal penumbuk. Ada rasa sakit mencucuk-cucuk seluruh tubuh. Gigi dikancing kemas. Sabar, sabar .. Oh, TUHAN!

Dan di luar rumah .. selajur air mata turut menerjuni pipi. Dapat aku rasakan betapa sakitnya penderitaan suamiku selama ini.

Sekali lagi, sunyi seketika. Hanya kedengaran nafas kasar mendesah, alamat amukan perasaan yang membelenggu.

“Jawab, ma! Mama tahu semuanya!!” Dia menjerkah kuat. Geram kerana ibunya membisu.

Terangkat tubuh Datin Saira dek terperanjat. Serta-merta rasa sebak yang baru merenik melebat menjadi tangisan. Terenjut-enjut tubuhnya. Dia mula teresak kecil.

“Rizhan!” Rizwan mencelah. Terperanjat dengan tindakan adiknya. Diikutkan hati, dia juga berasa geram. Tapi tidak pula sehingga sanggup menjerkah ibu sendiri sebegitu.

Tetapi lelaki itu tidak terkesan sedikitpun.

“Mama tahu semuanya. Tapi mama sengaja sorokkan cerita .. mama tuduh Rizwan bunuh papa! Mama bencikan Rizwan, mama abaikan dia!”

Esakan Datin Saira bergema kuat bila diungkitkan layanannya terhadap Rizwan.

“Pap .. papa .. pergi sana .. sebab Rizwan! Riz .. Rizwan beria-ia .. sampai papa tak sang .. gup nak tolak! Kalau pap .. papa .. tak pergi .. papa takkan mati!” Tersekat-sekat wanita itu bersuara, mempertahankan dirinya.

Pernyataan yang membuatkan air mata Rizwan menjadi murah. Rasa lemah seluruh tubuhnya. Sampainya hati mama ...

Rizhan pula memejamkan mata. Memanggil kesabaran yang hampir-hampir melayang.

 “Kalau papa tak pergi, papa takkan terperangkap dalam bangunan tu! Takkan terperangkap dalam api! Takkan mati dalam lif! Tapi Rizwan ... Riz tak faham perasaan mama! Sebab dia papa mati!! Setiap kali tengok dia, mama teringatkan papa! Macam mana hidup mama selama ni .. pernah tak Riz pikir?!!” Wanita itu menyambung.  

Rasa bengang melonjak-lonjak membuatkan Rizhan mengalihkan pandangan ke arah lain. Tidak sanggup menerima alasan mama yang baginya sangat tak masuk akal.

Sedang Rizwan sudah terjelepuk jatuh. Seluruh tubuh terketar-ketar. Fikirannya kosong.

Aku memejamkan mata. Tangan terpaksa menongkah ke dinding. Juraian air mata terus mengalir. Ya ALLAH! Beratnya dugaan hidup Rizwan. Aku yang hanya mendengar sahaja sudah terasa longgar kepala lutut .. dia di dalam pula ... Kuatkanlah dia, ya ALLAH! 

“Mama kejam. Sangat kejam!” Perlahan, namun cukup tegas Rizhan menghukum.

Mata berkaca Datin Saira lekas berpaling ke muka Rizhan. Ditentang dengan pandangan tajam.

“Mama tahu tak .. mama ni pembunuh!” Rizhan menambah keras.

Tuduhan yang berjaya membuntangkan biji mata Datin Saira, Rizwan, dan .. aku yang masih mendengar di balik pintu gelungsur ruang tamu.

“Mama bunuh jiwa Rizwan!” Terus-menerus dia menghukum.

“Rizhan, cukup!!” Rizwan membantah. Tuduhan Rizhan terlalu kasar, terlalu kesat. Tak sanggup lagi dia menadah telinga mendengar hinaan melampau terhadap ibu kandungnya sendiri. Apa yang sudah berlaku, walaupun sakit .. tetap tak patut jadi sebegini.

Rizwan yang terduduk di lantai dikerling sekilas. Kepala dipalingkan semula menghadap Datin Saira yang sudah berombak dada diselar penghinaan anak emas sendiri.

“Dia berdendam, ma. Dia dendam pada Riz! Sebab mama abaikan dia! Mama bunuh jiwa dia!!” Dia bertempik lagi. Belum puas memuntahkan amarah yang sarat membusung.

“Cukup, Rizhan! Kau dah cukup melampau!” Diterkamnya lelaki itu serentak dengan layangan buku lima tepat ke pipi kanan.

Rizwan terpaksa bertindak. Hatinya cukup sakit melihat Rizhan berkurang ajar dengan ibu mereka. Melihat kesedihan mama, rasa mahu diganyang aje tubuh Rizhan.

Lelaki itu terdorong ke belakang. Tak sempat bertahan dengan serangan tak terduga.

Datin Saira terjerit kecil. Terkejut dengan tindakan Rizwan. Sedih dan sakit hati yang tadinya memuncak terbang serta-merta. Sekarang hanya cemas dirasai. Melihat anak kesayangan dipukul, laju tangisannya berlagu semula. Dijerkahnya Rizwan.

Tangan kanan mengurut perlahan rahang yang menjadi mangsa. Dia senyum sinis. Ditegakkan diri menghadap Rizwan.

“Aku melampau? Habis, kau?” Pandangan penuh kebencian dituntaskan pada Rizwan. Sekian lama menahan, hari ini dia sudah tidak mampu berdiam diri. Kemarahan, kebencian .. dia mahu memuntahkan sehabis-habisnya, tak mahu membendung lagi.

Abangnya menelan liur. Geraham dikacip kemas. Penumbuk dikepal.

Dia tersenyum melihat. Malam ini, semuanya mesti selesai!

“Kau pergunakan Anis untuk jahanamkan aku, kau ingat kau ni baik la?!”

Datin Saira lekas berpaling. Tangisan serta-merta terhenti. Dipandang dua beradik itu dengan muka berkerut seribu.

Rizwan tidak menjawab. Untuk seketika, dia memejamkan mata, mengusir amarah yang kian melonjak.

“Apa Riz cakap?!”

Rizhan tersenyum. Soalan pendek Datin Saira sememangnya sangat membantu.

“Anis mengandung anak luar nikah!”

Mata Datin Saira membuntang.

Salur pernafasan seakan tersekat. Datin Saira jatuh terjelepuk. Rasa sesak dadanya.

Tidak ada apa dapat disuarakan untuk membantah. Makanya, dia diam. Dengan kepalan buku lima yang kejap. Urat-urat tegang timbul di leher.

“Anis kekasih Riz, ma! Tapi Rizwan culik dia, rogol dia .. sebab nak jatuhkan Riz!!!”

Jeritannya bergema kuat.



Aku gagahkan kaki untuk mara ke depan. Pintu pagar .. aku mahu ke sana. Aku mahu tinggalkan tempat ni. Sudah terlalu banyak aku dengar. Segala-galanya menyakitkan. Sehinggakan seluruh tubuh ini terasa longlai.

Dalam terketar-ketar, aku cuba bertahan. Kolam mata makin membengkak dan panas, tetapi tiada setitis pun air yang keluar. Mungkinkah sebab kejutan ini terlampau menyentak seluruh jiwa raga, sampaikan sistem tubuh tak dapat mengesan kecelaruan perasaanku kala ini?!

Tak semena-mena, tanganku yang longlai tertarik tali beg. Terus ia jatuh ke lantai. Bunyinya tidak sekuat mana, tetapi cukup untuk membuatkan tiga manusia itu berpaling. Baru menyedari ‘kehadiranku’ dalam perbalahan ini.

“Nurul!”

Laungan bergema.

Aku kenal suara itu. Aku faham maksud laungannya. Aku tak mahu! Aku tak mahu jumpa dia! Aku tak mahu dengar apa-apa lagi!

Langkah yang tidak teratur aku percepatkan. Terkocoh-kocoh dan terhuyung-hayang. Lagi-lagi tanpa alas kaki. Tak kisahlah, asalkan aku dapat jauhkan diri daripada dia.

Tak semena-mena, terasa air hangat menerjuni pipi.

“Tunggu dulu, Nurul!”

Jeritan yang membuatkan detak jantung makin menggila memukul dada. Serentak menghuru-harakan langkah kaki yang bercelaru.

Kala ini, apa yang aku tahu, aku mahu mengelakkan diri sejauh mungkin. Jauh sehingga dia takkan dapat menghampiri. Makanya, aku mula berlari.

Dia terus menjerit memanggil namaku. Dan aku tersangat yakin, dia takkan berhenti sehingga dia berjaya menarik aku menghadapinya. Dengan kayuhan kakinya yang laju ..

Aku tak mahu! Aku terus berlari. Langsung tidak menoleh, mahupun berhenti,  sehingga .. perut terasa senak. Nafas kian semput.

Langkah kian perlahan. Terasa air panas meleleh di celahan paha. Laju ia mengalir sehingga pergelangan kaki terasa basah. Spontan, mata menyorot ke bawah. Cairan merah sudah membasahi lantai bumi. Berjejeran pada setiap tanah yang aku pijak. Aku terpana.

Tubuhku terasa ringan. Mata pula kian kabur ..

Buk!


“Anis!!!” 

1 comment: