Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 13


P
ancuran air yang kuat kedengaran membuatkan aku naik hairan. Spontan kepala terteleng ke bilik air, arah datangnya bunyi itu. Aku cuba amati betul-betul, takut-takut kalau bunyi itu hanya imaginasi aku semata-mata. Almaklum sahaja, sekarang jam kat dinding sudah menunjuk tepat ke angka 2. Bermakna, sudah pukul 2 pagi.
Hampir 10 saat kepala terteleng, tapi bunyi itu masih kedengaran. Malahan kini disulami dengan irama orang memberus kain pulak. Makin pelik aku dibuatnya. Di rumah ini semua pakaian dihantar ke kedai dobi. Tak ada yang dibasuh secara manual atau pakai tangan. Jadi .. bunyi apakah itu?
Aku memesongkan kaki yang tadinya menuju ke dapur ke arah bilik air. Niat untuk minum air terbantut terus. Aku tersangat yakin bunyi itu bukan suatu ‘gurauan’. Tentu ada seseorang yang melakukannya.
Sampai di muka pintu, aku kaku di situ buat beberapa ketika. Kemudian barulah tangan ini berani menolak perlahan daun pintu. Terbuka. Serta-merta keningku terangkat.
Dari pintu yang terbuka sempit itu, aku dapat melihat dengan jelas buih-buih sabun yang memenuhi lantai. Semerbak bau serbuk pencuci menusuk hidung.

“Buat apa tak tidur lagi?”
Pertanyaan yang tiba-tiba itu membuatkan aku terundur ke belakang.  Terkejut yang amat.
Spontan tangan mengurut dada.
Rizwan tersengih kecil melihat reaksiku.
Dah la tiba-tiba muncul, boleh pulak dia sergah aku macam tu?!
Aku hanya menarik muncung dengan sengih nakalnya.
“Kenapa tak tidur lagi? Dah lewat sangat dah ni.” Rizwan bersuara lagi.
“Dahaga. Cari air.” Sepatah-sepatah aku jawab. Sempat mata melirik ke arah tangannya yang disaluti buih sampai ke separuh lengan. Separuh kakinya juga basah dan berbuih.
“Buat apa?” Aku pulak yang bertanya, dengan dahi yang berkerut.
“Basuh kain.” Selamba dia menjawab sambil menunjukkan berus sabut yang masih dipegang.
Kalau macam ni lah gaya dia membasuh, tak payah tanya pun tahu dia ni tak reti membasuh. Agaknya tak pernah buat kerja-kerja macam ni.
Aku tengok saja dia dari atas ke bawah. Basuh kain saja pun lencunnya dah macam mandi.
“Dah habis stok baju ke?”
“Tak lah. Saja basuh, mata pun tak mengantuk lagi ni.” Dia masih dengan senyum manisnya.
“Tak penat?” Soal aku lagi.
“Tak.” Hanya sepatah perkataan itu meluncur keluar dari bibirnya.
Aku diam. Jawapan macam tak logik je .. seharian kerja, dari pagi sampai ke malam, takkan tak penat, tak mengantuk? Dulu-dulu balik kerja je terus dia siap-siap untuk tidur, takkan sekarang makin panjang masa kerja makin kurang rasa penat?
Muka Rizwan aku kerling dengan hujung mata. Masih ada senyum di juring bibirnya. Tapi di sebalik semua itu, aku dapat menangkap lukisan rasa penat yang cuba disembunyikan.
“Saya naik tidur dulu.” Akhirnya aku bersuara, menghentikan perbualan di hadapan pintu bilik air itu.
“Ya. Kejap lagi abang naik.” Aku angguk je dengar dia menjawab.
Sambil mendaki anak-anak tangga, kepala otak sibuk berputar memikirkan hal lelaki itu. Nak buat tak hirau langsung, aku dah tak mampu nak halang fikiran ni mencerna segala benda pasal dia. Dah lama benar dia pegang status suami aku, sampaikan aku tak boleh semudah-mudahnya nak kikis dia daripada kepala ni. 

Punggung dilabuhkan ke katil, seraya nafas kutarik dalam-dalam dan dilepas kuat. Keanehan tadi masih berselirat dalam fikiran. Rizwan membasuh pakaian sendiri. Okey, itu bukan suatu kelakuan yang sangat ajaib. Orang lain pun basuh pakaian guna tangan je.
Tapi .. dia tak pernah buat benda-benda macam tu sebelum ni. Tengok gaya dia tu, tepat sekali kalau aku kata sepanjang hidup dia yang sudah mencecah 30-an, inilah kali pertama dia melakukannya. Bukan ke pelik tu?
Tentu ada sebabnya dia sanggup buat sesuatu yang tak pernah dibuat macam tu. Tapi .. apa??
Argh! Malas aku nak pikir.
Tubuh aku rebahkan ke tilam. Sambil tangan menarik selimut menutupi dada, mulutku terkumat-kamit membaca surah al-Fatihah, empat Qul, ayat Kursi dan doa sebelum tidur. Sekejap sahaja aku sudah lena dibuai ke alam mimpi.

Segelas susu dan dua jenis kuih sudah siap terhidang di atas meja.
Dahiku mula berkerut. Termenung seketika aku dibuatnya.
Sejak berbulan-bulan yang lalu, sarapan memang akan sedia terhidang di atas meja untuk aku. Menunya ialah sekotak susu segar, sebungkus roti berkrim, semangkuk Cornflakes dan kek lapis Apollo. Mula-mula dulu memang terpaku jugak aku bila Rizwan hidangkan benda-benda tu. Tapi makan la jugak untuk jaga hati dia, sampaikan aku sekarang sudah lali dengan makanan macam tu.
Seketika, mataku mula melilau mencari kelibatnya. Dari tadi tak nampak-nampak bayangnya, entah ke mana dia menghilang. Selalu bila aku masuk ke dapur, dia ada je kat sini.
Baru sekali dua kepala tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan, pandanganku sudah berjaya menangkap susuk tubuhnya. Sudah siap berpakaian pejabat. Tergesa-gesa melangkah ke meja makan di dapur. Dengan .. raga di tangan?
Aku pandang dia dengan muka hairan.
“Abang sidai kain.” Macam faham apa yang aku fikir, itu yang dia perkatakan padaku. Raga di tangan diletakkan ke penjuru dapur, berhampiran dengan pintu bilik air.
Okey, hari ini bermula dengan satu ‘kejadian aneh’.
“Tadi abang solat kat masjid, tu yang sempat beli kuih tu.” Tangannya mencapai teko di atas kabinet. Teko dituang, memenuhkan cawan dengan air yang masih berasap. Aromanya menyerbu rongga hidungku. Air Nescafe.
Eh .. bila masa dia bancuh? Tadi tak perasan pun teko tu atas kabinet. 
Sekarang .. dua ‘kejadian aneh’ pada pagi ini.
“Semalam abang beli susu tepung. Anis sarapan dengan susu tepung .. tak apa, kan?”
Aku telan liur. Perkiraan terkini .. 3 ‘kejadian aneh’ dan perubahan tingkah laku suamiku yang membuatkan kepala aku makin aktif bekerja.
Mataku memandang tepat mukanya sambil minda melaung-laungkan soalan “ Apa yang sedang berlaku ni?!”.

No comments:

Post a Comment