Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 16


6.10 pagi. Aku buka langkah perlahan-lahan ke dapur. Belumpun sampai, tetapi telinga sudah dapat menangkap kehadiran seseorang di situ.
Tentu dia sedang sediakan sarapan!
Aku tengok dia ralit membancuh minuman. Tak menoleh sedikit pun.
“Assalamualaikum.”
Bila nampak susuk tubuh dia, mahu sahaja aku ucapkan salam. Tapi bila difikirkan balik, macam terlebih mesra la pulak.
“Pagi.”
Argh! Tak sopan. Terlebih mengada-ngada pulak tu bunyinya.
“Hai.” Erk! Macam nak berkenalan je.
Sudahnya aku diam je. Biarlah, sekarang dia tak perasan. Nanti dia dah sedar aku ada kat sini, mesti dia akan tegur punya.
“Eh .. awalnya.”
Tengok! Kan betul ramalan aku.
Dia tinggalkan teko dan serbuk Nescafe yang kat tangan, dan cepat-cepat menarik kerusi untuk aku duduk.
Perlahan-lahan aku labuhkan punggung di kerusi itu. Mulut masih berkunci rapat daripada sebarang kata. Muka dia pun aku tengok sekilas je.
“Dah lapar ke?” kali kedua dia menegur.
Sambil-sambil matanya mengerling aku, sempat lagi dia mencapai roti sekeping. Disapu peanut butter dua tiga kali, kemudian dihidangkan tepat ke depan aku.
Wah! Dah semakin laju nampaknya.
“Tak. Saja.”
Rizwan mengangkat kening mendengar jawapan aku.
“Lambat lagi nak cerah. Bosan duduk dalam bilik tu.” Ok, rasanya aku sudah reti bagi jawapan agak panjang sekarang ni.
Dia mengangguk je dua tiga kali. Bukannya dia tak tahu aku ni susah benar nak tidur selepas Subuh. Selama ni pun aku tak tidur balik selepas solat. Mengaji dulu sekejap, lepas tu duduk berteleku sampai cerah. Entahlah, aku sendiri pun tak tahu kenapa aku jadikan amalan macam tu sebagai rutin harian. Padahal bukan ada apa pun dalam bilik tu.
“Nak makan sekarang? Nak bancuh susu ni.” Dia sudah pegang gelas.
“Belum. Awal sangat lagi ni.”
Dua-dua diam.
“Tepung gandum ada?” Tiba-tiba aku bersuara. Terlintas sesuatu di fikiran.
Lekas dia berpaling mencari muka aku. Muka dia sendiri tak payah cakaplah, berkerut bukan main. Digelengkan kepalanya beberapa kali. Agaknya pelik sangat kot bila aku tanya pasal barangan dapur.
“Nak buat apa tepung gandum?”
“Lempeng.”
Rizwan senyap je. Lempeng tu apa?
Dia nak tahu, tapi tak mahu bertanya. Hanya tangan bergerak aktif meletakkan teko dan cawan ke atas meja.
“Lauk ada?” aku tanya lagi.
Saja tanya dia, padahal boleh sangat aku pergi tengok sendiri dalam peti ais tu. Tapi tak payah tengok pun tak apa, dah tahu jawapannya.
Sekali lagi dia menggelang.
“Nanti beli lauk, ya? Yang mentah. Tak nak yang dah masak.” Rasanya inilah pertuturan paling lembut pernah aku ucapkan pada lelaki ni. Rizwan pandang je aku. Tiba-tiba rasa malu sendiri pulak. Cepat-cepat aku cover  dengan menuangkan air ke dalam cawan. Dua biji cawan. Satunya aku bawak ke bibir dan terus hirup. Saja nak control muka yang sah-sah dah bertukar rona. Nasib baiklah air panas ni tak adalah sampai tahap boleh buat lidah aku melecur.
“Insya’ALLAH.”
Rizwan menyambut sambil duduk. Dari hujung mata, aku dapat mengesan riak mukanya. Nampak macam sedikit ceria. Sukalah tu aku nak masak.
“Tak nak minum susu ke?”
Sedar pun yang aku dah semangat minum Nescafe ni layak orang baru lepas berlari sepadang!
Giliran aku pula geleng kepala.
“Lama tak minum Nescafe.” Kononnya!
Suami aku tu hanya tersenyum kecil.
Tabiat yang dulunya buat aku rasa meluat.
Sekarang?
Sekarang aku rasa macam nak turut sama senyum bila tengok dia senyum. Manis. Comel.
Kejap .. adakah dia memang semakin hensem? Atau aku je yang baru sedar rupa sebenar dia?
Kalau macam tu, betullah yang orang-orang duk cakap selama ni.
“Dia hensem.”
Kenapa sebelum ni aku tak pernah sedar pun?
Erk .. kenapa hati aku berdebar-debar ni?!

Pusing kiri. Mata terkebil-kebil. Lima saat, enam saat .. aku berbalik ke kanan. Pejam celik, pejam celik .. aku pusing ke kiri semula. Satu, dua ..
Aku bingkas bangun. Penyakit susah nak tidur dah datang balik dah. Ditambah dengan rasa susah nak bernafas, memang buat aku betul-betul tak keruan.
Aku cuba ingat balik kot-kot tadi ada salah makan ke. Tapi seingat aku tak ada pulak. Elok je tadi aku makan nasi dengan sambal tumis udang dan daging goreng. Langsung tak ambil apa-apa makanan yang boleh jadi punca angin masuk dalam badan.
Haa! Agaknya sebab minum Nescafe pagi tadi kot. Dah lama sangat aku tak jamah Nescafe, asyik minum susu je.
Tapi .. iya ke Nescafe ni berangin?
Sesaat, dua saat .. aku garu kepala yang tak gatal.
Apa yang patut aku buat? Kalau sapu minyak panas? Haish! Kesian baby  ni. Kalau minum air halia? Eh! Baby  tak apa ke nanti?
Buntu nak buat apa. Apa kata minum air panas je dulu? Manalah tahu kot-kot nanti okey  sikit.

“Tak tidur lagi?”
Tiba-tiba ada suara menegur, buat aku tersentak. Terangkat badan aku dibuatnya.
Rizwan ketawa kecil. Kerusi di sebelah aku ditarik dan dia duduk di situ. Aku pandang je dia dengan jelingan tajam. Geram dikejutkan macam tu.
“Haus ya?” dia tegur lagi.
Aku malas nak jawab. Dah nampak kole yang tengah berasap kat depan ni, takkan tak paham-paham lagi? Ei .. silap timing la dia ni muncul! Buat aku makin berangin je.
  “Milo panas tengah-tengah malam macam ni? Ni haus ke apa?” Rizwan bersuara sekali lagi.
“Saya hargai kalau awak boleh tolong senyap.” Ops! Terlajak kata.
Dia terdiam. Dan aku?  Mula diburu rasa bersalah.
“Awak tak boleh tidur ke?” Lama lepas tu baru dia bertanya lagi.
“Haah. Entah la, angin semacam je badan ni. Nak bernafas pun susah.”
Rizwan pandang aku. Ada riak kasihan pada bening matanya.
“Maaf la, abang tak reti. Tapi .. nak abang tolong?”
Aku jadi terharu. Tiba-tiba satu pepatah Melayu terlintas di fikiran. “Susu dibalas tuba” .. akukah itu??
Pandang muka dia buat aku rasa serba salah. Baru sebentar tadi aku bagi ayat ‘sedap’ punya, tapi kejap je pastu dia tawarkan bantuan. Ikhlas? Rasanya ya. Sebab matanya tak pandai menipu.
“Tolong jerang air, boleh?”
Dia angkat kening.
“Boleh. Tapi .. nak buat apa?”
“Nak rendam kaki dalam air panas. Nak sapu minyak panas dah tak boleh, takut kena kat baby. Nak urut lagilah tak boleh. Try  rendam kaki je la. Jadi ke tak tahu la.”
Dengan muka berkerut, dia bangkit dan mencapai heater. Air diisi dan suis ditekan. Semuanya dilakukan tanpa sebarang suara yang mengiringi. Bertambah-tambahlah rasa bersalah di perdu hati ini.
“Pergilah masuk bilik dulu. Kejap lagi abang bawak air ni ke sana.”
Aku pun dengan patuhnya terus mengikut arahan yang dikenakan ke atasku. Tadikan dah bertindak yang tak sepatutnya, eloklah sekarang aku ikut je cakap dia.
Baru sekejap aku bertenggek di birai katil, kemudian telingaku menangkap bunyi ketukan di muka pintu. Dan sesaat selepas itu terjengul muka Rizwan dengan besen yang sederhana besar di tangan. Sehelai tuala kecil tersangkut di bahunya.
“Masuk kaki dalam ni.” Dia mengarah. Tetapi belum sempat aku buat, dia yang terlebih dahulu angkat kaki aku lalu dibawa ke dalam besen.
Dipicit-picitnya kaki aku, membuatkan mata aku membulat memandangnya.
“Tak, tak payah. Rendam saja dah cukup.” Maunya aku tak terpana dengan tingkah tak disangka lelaki ini.
“Tak apalah. Bagi lancar aliran darah. Tak sakit, kan?”
Selamba dia menjawab. Lagilah mulut aku ternganga.
“Tak sakit. Tapi .. awak tak payah la buat macam tu. Kaki saya okey  je pun.”
Aku tarik kaki jauh-jauh daripada tangan dia. Habis menitik-nitik air di tepi katil tu. Ah, biarlah! Nanti kering jugak air tu.
Dia pandang aku dengan muka tak puas hati.
“Duduk diam-diam. Kali ni saja, listen to me.”
Aduhai .. dia sudah buat keluar ayat tegas. Nak tak nak, aku biarkan saja dia tarik kaki aku masuk ke dalam besen. Bila dia mula memicit-micit, aku tengok je muka dia. Rasa kesian bertimpa-timpa menerpa hati.
Masa kecik-kecik dulu arwah nenek pernah cakap kat aku sesuatu. Katanya, lelaki ni kalau dia sayang kat kita, bukan setakat tangan, kaki kita pun dia sanggup picit.
Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga. Membuatkan hati kecil ini membisikkan sesuatu.
Rizwan .. benarkah kau sayangkan aku?

Lampu utama dipadamkan. Selimut ditarik ke paras dada. Doa dibaca. Aku pejamkan mata. Sesaat, dua saat ..
Aku celik semula mata. Lampu meja masih terpasang. Dan Rizwan pula masih membatu di birai katil. Matanya tertala tepat pada diriku. Tidak berkelip walau sekali. Serta-merta degup jantung berubah rentak.
“Awak ni kenapa?” Dengan muka berkerut seribu, aku menyerangnya dengan pertanyaan. Cepat-cepat aku bangkit daripada pembaringan.
Tenang air mukanya. Dia mematikan tatapan tepat pada anak mataku.
“Abang nak buat permintaan. Boleh?”
Suara lembut berlagunya dituturkan. Menambahkan lagi larian detak jantungku.
“Apa dia?” Riak gugup dan gelisah jelas terbias.
Ya ALLAH, janganlah dia melalut malam-malam buta macam ni! Janganlah buat permintaan pelik-pelik! Selamatkanlah aku!
“Ab .. abang ... baby ...”
Aku menelan liur. Apa nak buat? Berikan dia ruang untuk lengkapkan semula ayat gagapnya? Atau tolak dia keluar? Tapi tubuhku membeku di situ. Menentang mukanya tanpa berkelip. Padahal segala macam organ dalam dada rasa seolah-olah nak terlompat keluar aje.
Rizwan mengatur nafas.
“Boleh abang cakap dengan baby?”
Dupp ...
Detak jantung terhenti.
Beku.
Dia tahu permintaannya bukan sesuatu yang biasa. Buktinya, Anis terkaku. Dan ombak dadanya sendiri tak keruan. Tapi ..
Dia memanjangkan rengkung. Masih tiada reaksi.
Bisu.
Rizwan mula serba salah. Tapi hati kecilnya berdegil. Nalurinya melonjak-lonjak mahu menyapa baby.
Tangan sasanya dijatuhkan ke perut besar itu.
Aku terpana. Dada bergendang bagai dipukul-pukul.
Terasa bagai ada renjatan elektrik berlaku, mengalirkan perasaan aneh menjalari diri. Perlahan-lahan dia mengusap, selayaknya seorang bapa mengusap kepala sang anak.
Segala macam perasaan bergelodak. Bagaikan memperoleh suatu kebahagiaan yang tidak terungkap dengan kata-kata.
Anak aku!
Sebaris lafaz melintasi benak. Menimbulkan rasa ingin melindungi yang membuak-buak. Beginikah perasaan seorang yang bergelar bapa?

2 comments: