Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 7


H
ampir dua jam perjalanan, akhirnya mataku menangkap wajah adikku Ayuni yang sedang tersenyum manis. Serta-merta bibirku turut mengukirkan senyuman. Adikku ini cukup santai dengan blaus longgar rona ungu muda yang dipadankan dengan skirt kuning susu berbunga dan selendang ungu, menyerlahkan seri ‘si manis 22’.
“Assalamualaikum, kak. Wah! Rindu akak!” Belum sempat aku tegur, tubuhku sudah tenggelam dalam pelukan erat Ayuni. Sambil menjawab salam, tanganku turut merangkulnya. Meminjam sedikit kekuatan untuk meneruskan rancangan yang hanya aku dan lelaki tersebut tahu.
“Adila pergi tandas jap. Kejap lagi dia mai.” Tak sempat aku tanya Ayuni terlebih dahulu memberitahu. Adila adikku selepas Ayuni, baru berusia 21 tahun.
Aku hanya menganggukkan kepala. Sekilas mataku menjeling Rizwan. Lelaki itu agak gelisah dipanah sinar mentari yang semakin membahang.
“Ha .. tu pun dia!” Jeritan tiba-tiba Ayuni membuatkan aku terus menoleh ke arah yang ditunjukkannya. Kelihatan Adila tergesa-gesa menuju ke arah kami sambil tersenyum-senyum. Sebagaimana Ayuni, Adila menyalami dan memelukku erat. Bangga aku mempunyai adik macam mereka ni.
“Oh ya, ni .. Rizwan.” Nak tak nak aku perkenalkannya pada Ayuni dan Adila. Itupun sebab adikku yang dua orang itu asyik pandang-pandang, jeling-jeling dia. Agaknya hairan sangat-sangat melihat kedatanganku bersama seseorang yang tidak mereka kenali. Jangankan mereka, aku pun tak kenal!
“Oh ...” Serentak kedua-duanya membalas. Rizwan tidak melepaskan peluang menyapa adik-adikku.
“Bakal suami kakak.” Terbeliak bijik mata Ayuni dan Adila. Berkali-kali mereka melihat mukaku dan Rizwan silih berganti.
“Abang Naim?”
Aku ukirkan senyum nipis. Senyum yang dibuat-buat untuk menutup rasa hatiku. Benar seperti yang aku duga, soalan itu akan terbit daripada mulut salah seorang daripada mereka. Dan yang pastinya Ayunilah yang paling terkejut. Kerana dia sememangnya mengetahui sejauh mana hubunganku dengan lelaki yang dipanggil Abang Naim.
“Jomlah kita gerak! Matahari dah tinggi ni.” Aku cepat-cepat meninggalkan mereka. Nak menyelamatkan diri daripada persoalan yang aku tidak tahu untuk berikan jawapan sebenarnya.

Riuh-rendah di luar semakin berkurangan. Hanya suara saudara-mara terdekat yang masih kedengaran. Mungkin mereka sedang bergotong-royong membersihkan pinggan mangkuk dan gelas cawan yang digunakan untuk kenduri tadi. Walaupun majlis tidaklah sebesar mana, tetapi perkakasan yang diguna pakai agak banyak jugak. Nasib baik kaum kerabat dan jiran tetangga ringan tulang membantu.
Aku mematungkan diri di jendela yang terbuka luas. Merenung jauh ke kebun sayur nun di hujung sana yang hanya bersuluhkan sinar sang rembulan. Kebun yang selama ini menjadi tempat emak membanting tulang untuk menyara aku adik-beradik. Sesekali tangan menampar halus nyamuk yang singgah ke pipi dan lengan. Banyak jugak nyamuk malam ini, tetapi aku masih tidak mahu berganjak. Masih mahu menebarkan pandangan ke luar sana, sebuah ruang yang tidak punya batasan atau penghujungnya. Apatah lagi dalam kedinginan yang benar-benar mententeramkan perasaanku ini.
Beberapa saat kemudian, keasyikanku terganggu dek bunyi keriut pintu yang memberikan isyarat akan kehadiran seseorang. Serta-merta aku menoleh. Sekejapan, terpacul wajah Rizwan di situ. Dia masih berbaju Melayu dan bersongkok. Barangkali baru selesai melayan bicara saudara-maraku di luar sana.
Mataku kembali membuang pandang ke luar jendela. Malas mahu menegurnya. Apalagi dalam keadaan fikiranku masih belum mampu mempercayai status yang aku pegang sekarang. Hanya dengan sekali lafaz, dia sudah menjadikan aku sebahagian daripada tanggungjawabnya. Bagaikan mimpi. Padahal semasa aku memperkenalkannya kepada emak dan menyuarakan perancangan yang telah kami susunkan, emak menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak bersetuju. Entah bagaimana lelaki itu memujuk emak. Dan lebih mengejutkan aku sendiri, majlis dipercepatkan daripada tarikh yang kami rangkakan. Hairan, hairan!
   “Assalamualaikum.”
Aku pejamkan mata seketika, mengusir rasa tidak senang di hati namun masih menjawab salam yang dihulurkan.
“Anis tak nak tidur lagi ke? Dah pukul 11 dah ni.”
Lembut sahaja suaranya menegur, tetapi aku tetap tidak suka.
“Kejap lagi.” Malas-malas aku jawab. Kalau tak jawab langsung kan, rasa melampau pulak.
“Tak sejuk ke duk kat jendela tu? Nyamuk pun banyak ni.”
Alahai .. banyak la pulak soalnya!
Dengan hati yang agak sebal aku menarik daun jendela. Kemudian berlalu ke arah pintu.
Dia melihat sahaja perlakuanku.
“Nak ke mana pulak tu?”
Aku menggigit bibir.
“Nak minum. Haus. Tak boleh ke?” Soalku geram. Sengaja aku pandang tajam mukanya. Takkan dia tak nampak ketidakselesaanku?
“Oh .. ingatkan nak lari sebab marah dengan abang.”
Memang pun! Memang aku nak lari! Aku marah, aku menyampah dengan kau!
Nak aje aku jerit kat dia camtu. Tapi nasib baiklah aku belum betul-betul gila lagi nak bertindak terlalu kurang ajar dengan suamiku. Suamiku?!
Teringatkan status dia itu membuatkan bahang kepanasan hatiku menurun. Ya, dia suamiku! Aku tak boleh berkurang ajar dengannya. Berdosa!
“Kata haus .. dah tak haus ke?” Suaranya yang tiba-tiba kedengaran mengejutkan aku daripada lamunan.
“Er .. nak pergi la ni.” Perlahan aku menjawab. Cepat-cepat aku melangkah.
Tiba-tiba langkahku mati. Menghalakan pandangan ke wajahnya.
“Nak air jugak?” Di luar kesedaran, mulutku bertanya.
Dia memandangku. Senyuman manis perlahan-lahan terlukis di bibirnya. Dianggukkan kepalanya beberapa kali.
“Boleh jugak.” Suara lembutnya kembali menampar telingaku.
 Aku turut mengangguk perlahan dan kembali membuka langkah. Secepat mungkin meloloskan diri dari bilik itu. Terasa tebal mukaku.
Apa dah jadi dengan aku ni?! Kenapa baik sangat nak ambilkan dia air?! Hish .. musykil, musykil!
Berkali-kali aku menampar pipiku. Geram dan hairan dengan tindakan spontan yang tak terduga. Ei .. buat malu diri sendiri aje!  

No comments:

Post a Comment