Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 8


“2 ptg, d tmpt biasa. Abg tunggu Anis .. ”
Aku mengeluh lemah. Sudah berkali-kali mesej ringkas daripada Abang Naim itu aku baca. Dan setiap kali itulah aku melepaskan keluhan. Baru semalam aku diijabkabulkan, takkan hari ni nak pergi jumpa lelaki lain pulak? Maunya kecoh satu kampung nanti.
“Kenapa?” Satu suara tiba-tiba kedengaran. Cepat aku berkalih pandang.
Eh, sejak bila pulak mamat ni ada kat sebelah aku?! Rasanya tadi dia tunjuk rajin cuci kawah kat bawah. Cepat pulak naiknya.
“Dah siap dah semua. Mak suruh naik rehat.” Jawabnya setelah melihat muka pelik aku. Macam paham-paham pulak apa yang aku duk pikir.
“Kenapa tu?” Sekali lagi dia menyoal. Kali ni bibirnya turut dijuihkan ke arah telefon bimbit di tanganku.
Serba salah aku nak jawab. Nak cakap pasal Abang Naim ? Oh, tidak! Tak ada sebab aku nak kisahkan ceretera percintaanku padanya. Tak nak cakap? Dia dah tanya tu. Argh .. kenapa sibuk sangat nak amik tahu hal aku?!
Sudahnya aku tunjukkan saja mesej tu pada Rizwan. Kulihat rona mukanya berubah. Lama dia terdiam. Lama juga dia menatap skrin itu sehinggakan naik lenguh tangan aku duk pegang benda alah tu. Bila aku dah tarik tangan aku barulah dia betulkan duduknya.
“Siapa dia?” Kalau tadi suaranya begitu ceria menegur Anis, sekarang tonanya sudah mengendur. Dan sengaja kepalanya ditundukkan, cuba mengusir segala macam perasaan yang tiba-tiba muncul. Cemburu ada, marah pun ada. Suami mana tak berperasaan bila lelaki lain mengganggu isterinya, kan? 
Seperti yang aku jangkakan, sesi soal-siasat sudah bermula. Ei .. geramnya aku!
Mau aje aku katakan padanya Abang Naim tu bakal suami aku yang tersangat aku cintai. Biar dia tahu betapa hancurnya hidup aku gara-gara dirinya. Biar dia tahu betapa musnahnya impian aku kerana perbuatannya.
Boyfriend.” Hah .. amik kau!
Cepat matanya memandangku tajam. Aku buat tak reti dan terus menghalakan pandangan ke meja solek. Dari ekor mataku, aku tahu dia sedang menahan perasaan. Lama dia berkeadaan begitu. Gerun jugak kalau-kalau dia bertindak di luar kewarasan akal fikirannya lagi. Tapi sengaja aku membatukan diri begitu, seolah-olah panahan matanya langsung tak menakutkan aku.
Rizwan meraup mukanya berkali-kali.
“Abang hantar.” Akhirnya dia memutuskan. Lantas berlalu meninggalkan Anis yang masih berteleku di birai katil.
Ikutkan hati, mahu sahaja dia menyekat Anis menemui manusia yang dipanggil Abang Naim tu. Ikutkan hati, mahu sahaja dia ganyang jantan tu. Dan kalau ikutkan hati lagi, mahu ditumbuknya si keparat tu sampai bersepai mukanya. Tapi .. sabar, Rizwan! Sabar!
    
Dia masih membisu. Pandangannya tetap terarah ke laut lepas. Hanya deru ombak yang mesra menyapa kami, memecahkan suasana sunyi. 
Abang Naim memalingkan tubuhnya menghadapku.
“Kenapa, Anis?” Akhirnya dia mula bersuara.
 “Kenapa Anis sanggup buat macam ni? Kalau nak kata salah abang pun, abang rasa abang langsung tak buat salah apa-apa. Dah dua kali abang nak suruh ibu masuk meminang, tapi Anis yang kata jangan. Konon tak bersedia lagilah. Tapi sekarang .. sekarang Anis .. ah! Kenapa Anis sanggup buat macam ni?!”
Aku hanya tunduk menekur lantai berpasir. Kelopak mata sudah terasa panas, tapi sedaya mungkin aku tahankannya. Aku tahu aku tidak kuat untuk menentang matanya. Aku tahu aku akan lemah memandang wajahnya. Aku juga tahu aku tidak mampu menatap kekecewaannya. Lalu segala kata-katanya itu aku telan tanpa rela.
“Anis mainkan perasaan abang! Anis hancurkan harapan yang Anis bagi pada abang! Tahu tak betapa sakitnya hati abang?! Tahu tak betapa remuknya perasaan abang?! Tak! Anis tak tahu! Anis penipu! Anis perempuan yang tak berhati perut!”
Bibirku aku gigit lama. Seboleh mungkin kutahankan kesedihan yang semakin membusung. Seboleh mungkin kuusirkan kelukaan yang kian bernanah. Namun setitis air mataku gugur.
“Abang tak pernah rasa sebegini menyesal sepanjang hidup abang. Tapi mengenali Anis .. kesilapan terbesar dalam hidup abang. Abang menyesal kenal Anis!”
Kucuba menahannya, tetapi setitis demi setitis ia mengalir. Dan ternyata deraian mutiara jernih itu kian lebat menuruni pipiku.
“Jangan lagi muncul depan abang! Sampai bila-bila pun abang takkan maafkan Anis! Sampai bila-bila pun abang akan benci Anis!”
Semakin lama air mata semakin laju menerjuni pipi ini. Bagaikan empangan yang pecah, deraiannya tidak henti-henti mengalir. Dan aku mula teresak di situ. Aku hanyut dalam lautan kesedihan.
Abang Naim berlalu meninggalkanku.
Kalaulah Abang Naim tahu apa yang sudah terjadi, adakah dia tetap akan persalahkan aku?! Kalaulah dia tahu, adakah dia tetap akan menghukum aku sebegini?! Tahukah dia betapa menderitanya aku?! Tahukah dia betapa sakitnya diri ini?! Tidak! Dia tidak tahu semua itu! Dia tidak tahu betapa remuknya jiwa dan raga aku! Dia tidak tahu betapa hancurnya hati kecil ini! Dia tak tahu semua tu! Layakkah dia menjatuhkan hukuman ke atasku sebegitu rupa?!
Tiba-tiba bahuku dipaut seseorang, lalu aku dibawa ke pelukannya. Aku menoleh dengan air mata yang masih terus-menerus mengalir.
“Semua ni salah kau! Kau yang hancurkan hidup aku! Kau yang musnahkan hubungan aku dengan Abang Naim! Kau yang jahanamkan semuanya! Kau yang bersalah!” Aku memukul dadanya sekuat mungkin. Benar aku menderita. Benar aku sengsara. Semuanya kerana lelaki ini!
Dia tidak melepaskan rangkulan, sebaliknya mendakapku lebih erat. Dibiarkan sahaja aku menghamburkan kesedihan yang masih beraja pada tubuhnya.
“Kenapa kau buat aku macam ni?! Kenapa kau hancurkan hidup aku?! Aku tak pernah buat salah pada kau!”
Aku masih cuba memukulnya, tetapi pelukannya yang erat mematikan tingkahku. Akhirnya aku melepaskan tangisan pada dadanya. Di situ kulepaskan segala kesakitan yang aku rasai. Dan dia terus setia bersamaku sehingga senduku kian berlalu dibawa angin lalu.

No comments:

Post a Comment