Thursday, May 1, 2014

Gerimis Kasih Kita 23 (i)

Hari minggu yang cukup cerah. Sangat menggembirakan jika dapat memanfaatkannya bersama yang tersayang.
“Rehatlah kejap!” Laungku kuat.
Beberapa saat kemudian, kedua-duanya sudah meninggalkan posisi masing-masing. Mereka makin mendekat ke arahku. Dengan raket yang digenggam kemas.
Botol minuman dihulur. Rizwan menyambut, lalu melabuhkan duduk sebelum mula meneguk. Rizhan juga begitu.
“Nak main lagi?” Aku menyoal.
Rizwan dan Rizhan berpandangan.
“Satu set lagi?” Rizhan berkalih pada Rizwan.
Rizwan mengangguk.
“Satu set. Last.” Balasnya.
Kedua-duanya terus bangun dan mula mengambil posisi semula. Membuatkan aku menarik nafas panjang. Mereka tentu saja seronok dapat berentap di gelanggang. Tapi aku .. terpaksalah tercongok menjadi penonton di sini seorang diri.
Cuma .. terasa lapang hatiku melihat hubungan dua beradik ini. Kelihatannya semakin pulih. Sejak kami balik dari kampung, Rizhan sentiasa memunculkan diri. Nampak benar dia bersungguh-sungguh untuk menyatukan semula keluarga mereka.
Malahan, dia telah berjaya membawa aku dan Rizwan menemui Mama mereka. Pada mulanya memang terasa janggal. Tetapi ternyata dia tidak akan berhenti sekadar di situ. Setakat hari ini, sudah tiga pertemuan berjaya dilakukannya. Dan ia memperlihatkan hasil yang agak menggembirakan.
Datin Saira .. wanita itu sangat teruja menantikan kelahiran bayi ini. Perhatiannya sangat ketara. Sehinggakan aku juga tidak terkata menerima perhatian daripadanya. Sangat istimewa rasanya.

“Betul tak nak pergi?”
Pertanyaan yang membuatkan aku mendengus. Geram.
Aku menjeling Rizwan. Tajam sekali.
“Awak ni kenapa? Nak main-main? Maaf, saya tak ada mood nak main. Kalau tak faham, sekali lagi saya cakap, saya tak nak pergi. Tak nak pergi. Okey?” Tertahan-tahan suaraku. Ya lah, siapa boleh bersabar asyik jawab soalan yang sama sampai berbelas-belas kali.
Dia kelihatannya tidak terkesan dengan respon sebegitu. Tenang saja mengalihkan pandangan ke skrin televisyen. Entahlah, mungkin sebab aku memang selalu macam ni, jadi dia sudah kalih.
“Yang kahwin tu kawan awak. Serumah lagi.”
Nampaknya ‘perbincangan’ ini takkan tamat dengan mudahnya.
Bosan!
“Dan pasangannya bekas tunang saya. Jangan lupa fakta tu!”
Tiada balasan.
Tahu pun diam. Ingatkan kebal sangat nak asak-asak aku dengan status istimewa Adah dalam hidup aku sampai tak kisah pasal Naim yang pernah jadi orang lebih berstatus istimewa itu. Rupa-rupanya dia peduli juga pasal Naim.
Bohonglah kalau kata aku tak rasa apa-apa mengecualikan diri daripada hari penting Adah. Tapi apa boleh buat, situasi tidak memungkinkan aku berkongsi rasa gembira itu dengan Adah. Apa yang berlaku antara aku dengan Naim takkan semudah itu luput daripada ingatan kami berdua, walaupun masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Parut lama itu masih berbekas. Biarpun tidak lagi berdarah, peritnya masih terasa.
Dan Rizwan sebagai orang yang bertanggungjawab menyebabkan situasi sedemikian berlaku antara kami berdua sepatutnya terlebih faham natijah-natijah yang mungkin akan timbul di kemudian hari sekiranya kami bertemu. Buatnya masing-masing hilang kawalan sampai berlaku cedera-mencederakan macam mana? Kan bahaya tu.
Tapi .. tidakkah Rizwan berasa sesuatu tentang Naim? Dia maklum siapa Naim dalam hidup aku. Jadi .. kenapa dia terus mengasak aku agar hadir ke majlis Naim?
Atau sebenarnya dia langsung tak peduli perasaan aku?


“Selamat pengantin baru. Tahniah, Adah! Semoga berbahagia hingga ke akhirnya. Maaf tidak dapat menghadirkan diri ..”
Send.
Telefon bimbit aku letakkan di sisi, di birai katil yang melendut ke bawah menampung berat tubuh.
Nafas aku tarik dalam-dalam dan mata dipejam rapat. Terasa sendat di dada.
Tanganku menggenggam kemas renda cadar rona kuning air, menzahirkan kecelaruan jiwa yang melanda. Perasaan ini .. tidak dapat diungkap dengan kata-kata, tidak juga dapat diterjemahkan dalam tingkah perbuatan. Diam terbungkam di lubuk paling dalam. Dan akhirnya, yang termampu hanyalah menghamburkan air mata, memuntahkan lara kelana sendirian.
Sudah aku terima suratan hidup begini. Sudah aku akur wujudnya Rizwan dalam lipat kisah kehidupan. Tetapi .. tatkala diseru nama ‘dia’, masih berkecah paluan jantung ini. Masih berdesah kencang nafas terhela.           
Aku kebingungan. Masihkah bersisa secebis rasa buatnya?

Bagaikan baru tersedar, lekas aku melafaz istighfar. Tak boleh biarkan! Secebis atau sekelumit perasaan, tidak seharusnya aku sandarkan pada ‘dia’ lagi. Antara aku dan ‘dia’, segala-galanya harus dikuburkan. Biar tidak bernisan, asal luput ia daripada nyata.

1 comment:

  1. Hi cik writer,
    tiada sambungan ke? atau akan ada versi cetak?

    ReplyDelete