Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 5


T
iga hari aku memikirkannya. Tiga hari juga aku berendam air mata ketakutan. Takut dengan kebarangkalian yang sudah tentu terlalu sukar untuk aku bayangkan. Seandainya benar-benar berlaku, macam mana?
Tak nak! Aku tak nak! Aku tak nak dipanggil ‘pelacur’ oleh manusia sekeliling, sedangkan akulah mangsa keadaan! Aku tak nak digelar perempuan jalang! Aku tak nak dipanggil sundal! Aku tak nak semua tu! Aku tak nak!
Sekarang ini pun orang di sekelilingku memandang hairan diri ini. Baik di pejabat, mahupun di rumah sewa, semua orang seakan-akan menyoroti setiap inci tubuhku. Pandangan yang penuh kesangsian, seolah-olah akulah yang telah melakukan perbuatan paling terkutuk di muka bumi ini.
Straw di dalam gelas menari-nari mengikut rentak putaran jemariku. Perlahan, tapi berterusan. Sekali, dua kali nafas kutarik dalam-dalam sebelum kuhela kuat.
“Awak dah fikirkan pasal kita?” Akhirnya suara lelaki di hadapanku itu kedengaran. Sudah bosan menanti aku mulakan bicara barangkali.
Nak tak nak aku pandang muka dia. Ada kegusaran di hatiku, tetapi wajah manusia bernama Rizwan yang sedang tercatuk di depan mataku kelihatan ceria. Sama ada ceria kerana aku bersetuju menemuinya, atau mungkin ada benda lain yang lebih membahagiakan perasaannya sekarang.
Aku tarik nafas dalam-dalam lagi untuk mengumpul kekuatan.
“Aku ... aku setuju kawin dengan kau. Tapi dengan syarat. Aku tak nak ‘lebih-lebih’.” Keluar jugak suaraku. Harap-harap dia faham maksudku.
Rizwan tersenyum lebar menyambut kata-kataku.
“Alhamdulillah.” Ujarnya bersama senyuman yang tidak putus-putus. Aku lihat dia meraup muka dengan kedua-dua tangannya bersama lafaz kesyukuran yang diulang berkali-kali.
Hairan aku melihatnya. Kalau tengok sekarang, nampak macam baik. Tapi bila diingatkan balik perlakuan dia padaku, rasanya dialah manusia paling jahanam atas muka bumi ni.  Dia sedang berlakon, kah?
Atau ... inikah kenyataan seperti yang Ustazah Mahizan yang mengajar Pendidikan Islam aku masa di Tingkatan 3 dulu katakan? “Sebagai seorang hamba-NYA yang taat dan patuh dengan perintah-NYA, kita wajib menutup aurat dengan sesempurna mungkin, dan menjaga batas pergaulan. Jangan lupa, apabila seorang lelaki dan seorang perempuan berdua-duaan, akan ada pihak yang ketiga, iaitu syaitan. Syaitan akan menghasut umat manusia supaya melakukan maksiat, menghasut manusia untuk melakukan perkara yang ALLAH murkai, terutamanya zina. Jadi, jaga aurat kita, jaga pergaulan kita. Kerana syaitan ada di mana-mana. Menjauhkan diri adalah lebih baik dan akan diberikan ganjaran pahala, kerana manusia sememangnya susah untuk melawan nafsu, melainkan orang yang benar-benar tawadduk, yang benar-benar bertakwa kepada ALLAH.” Adakah dia mangsa nafsunya sendiri? Atau ... mungkinkah kemarahannya menyebabkan dia hilang kewarasan?
“Anis!” Tersentak aku dibuatnya. Cepat mataku memandang Rizwan dengan tangannya yang dilambai-lambaikan di hadapanku.
“Ha?” Tanyaku yang agak terpinga-pinga. Dia ada cakap sesuatu, kah? Hish ... nampak sangat tengah berkhayal!
“Saya tanya, bila kita nak buat majlisnya?” Rizwan masih dengan senyumannya. Pandangan mata lelaki itu tidak lepas daripada muka aku.
 “Secepat mungkin.” Jawabku. Ya, itulah yang terbaik. Andai kata perkara ngeri itu benar-benar berlaku, aku takut emak akan menyedari perubahan badanku dan mengesyaki sesuatu. Dan mungkin orang lain juga akan begitu. Jadi lebih baik segerakan saja majlisnya.
Rizwan terangguk-angguk beberapa kali. Dia mahu menyediakan majlis yang gilang-gemilang, tetapi aku menolak. Mana mungkin aku berbuat begitu sedangkan perkahwinan ini pun semata-mata kerana terpaksa. Setuju atau tidak, dia kenalah terima kata-kataku.

Berada di meja makan yang mewah dengan pelbagai hidangan itu tidak berjaya membuatkan seleranya terbuka. Dia hanya memegang sudu dan garfu, sedang fikiran melayang jauh. Wajah mama dan adiknya dipandang satu per satu. Kemudian dia mengeluh nipis. Berulang-ulang kali, sehinggakan wanita anggun dan adik lelaki itu memandangnya tajam dengan muka yang berkerut.
“Kau ni kenapa, Rizwan? Apalagi yang kau dah buat sekarang?! Tak cukup lagi dengan masalah syarikat yang kau jahanamkan tu?!” Datin Saira akhirnya membuka mulut. Tajam mulutnya setajam pandangannya. Rizhan memandang sekilas mamanya, agak tidak selesa dengan kata-kata kasar itu.
Rizwan menelan liur mendengar kata-kata mamanya. Sedih memang sedih. Tapi dia akur, semuanya salah dia jugak. Dah la dari dulu lagi mama seolah-olah tidak senang dengannya. Sejak kes syarikat hampir muflis tu, bertambah-tambah marah mama padanya. Kalau ditegur pun, hanya dijawab dengan kasar dan mengguris hati serta perasaannya.
“Ma, Riz ... Wan nak bagitau sesuatu pada mama dan Riz. Wan ... Wan nak kahwin.” Rizwan tetap meneruskan niatnya meski hati agak terasa dengan mama.
Rizhan memandang tepat mukanya dengan muka berkerut seribu. Riak tak percaya yang teramat.
Datin Saira menghempaskan sudu dan garfu di tangan ke meja seraya berdiri. Terperanjat Rizwan dan Rizhan dibuatnya.
“Lepas apa yang kau buat, kau boleh kata nak kahwin?! Tak! Aku tak izinkan!” Suara wanita itu bagaikan halilintar membelah suasana sunyi di meja makan. Berapi-api matanya mencerlung Rizwan.
Rizhan sekadar memerhati.
“Wan mintak maaf, ma. Wan tetap akan kahwin.” Tegas.
“Tak! Aku tak benarkan!” Sekali lagi Datin Saira menjerit. Kali ini tangannya turut menghempas meja. Dadanya berombak kencang menahan marah.
Rizwan turut berdiri. “Tak, ma. Wan tetap akan kahwin. Wan mintak maaf.” Mata merah mamanya ditentang lembut.
Entah bagaimana, dia masih boleh bersabar menghadapi situasi seperti itu. Mungkin kerana sejak akhir-akhir ini dia banyak belajar, banyak menginsafi diri. Cuma saat ini, yang diharapkannya ialah persetujuan mama. Tetapi ternyata dia gagal mendapatkan restu itu. Sememangnya kalau diberi pilihan dia tidak ingin menyakiti sesiapa lagi, terutama sekali mama. Tetapi apa patut dibuat? Patuh kata-kata mama bererti dia menyeksa Anis. Sedangkan dia juga tidak mahu terus berbuat silap pada perempuan itu. Lantas dia memilih jalan itu, melanggar kata-kata mama daripada membiarkan Anis keseorangan meneruskan hidupnya yang kelam.  
“Baik! Kalau kau nak sangat kahwin, kau kahwin! Tapi jangan kau jejak lagi kaki kau ke rumah ni! Perempuan yang kau gatal sangat nak buat bini tu, jangan kau harap aku terima dia jadi menantu aku! Sekarang, berambus kau dari rumah ni!” Tangan wanita itu siap terarah ke pintu rumah agamnya.
“Mama! Mengucap, ma!” Rizhan yang bertindak sebagai pemerhati sedari tadi mula bersuara.
“Diam! Keputusan mama muktamad! Kalau Riz berani pergi majlis dia nanti, dengan Riz-Riz sekali mama halau!”
Dengan berat hatinya Rizwan mengatur langkah. Perlahan-lahan mamanya dihampiri. Tangan mamanya diraih dan dicium lama meskipun wanita itu menarik kasar tangannya. Gugur juga air mata Rizwan. Jika selama ini dia cuba jadi anak yang taat, ternyata hari ini dia sudah kalah. Derhaka! Itulah yang telah dilakukannya pada wanita itu.
“Wan mintak maaf, ma. Halalkan makan minum Wan. Wan harap suatu hari nanti mama akan maafkan Wan, dan terima Wan lagi. Hanya ini pilihan yang Wan ada. Terima kasih untuk segala-galanya.”
“Abang jangan pergi, bang! Benda ni kita boleh bincang! Jangan abang keluar daripada rumah ni!” Suara cemas Rizhan menyapa pendengarannya.
Tangan mamanya dilepaskan dan dia berlalu bersama air mata. Dibiarkan sahaja mutiara jernih itu mengalir tanpa diseka. Sedang hatinya merintih. Ya ALLAH! Ampunkanlah dosaku, ya ALLAH! Bukan pintaku melukakan hati ibuku! Sakit ibuku, sakit aku juga, ya ALLAH! Ampunkanlah dosaku, ya ALLAH! Ampunkanlah dosaku!
“Abang! Abang!” Dia dengar Rizhan memanggil, malahan lelaki itu menghalangnya daripada pergi. Tetapi tidak dia hiraukan.
Malam itu juga dia membawa diri dan semua pakaiannya keluar. Tidak ada tempat lain yang boleh ditujunya sekarang, melainkan ke apartment miliknya yang dihadiahkan oleh arwah datuk di Jalan Junid. Bermula saat ini, terpaksalah dia mendiami kediaman yang dulunya hanya sekali-sekala disinggah itu.

Aku memaku langkah di hadapan cermin besar yang memantulkan imej muka hingga ke hujung kakiku di ruang tamu rumah. Lama mata ini menilik tubuh. Daripada mata yang layu, pandanganku menjalar ke wajah yang semakin hari semakin cengkung. Kemudian turun ke bahagian tubuh. Nampaknya tubuh ini benar-benar sudah semakin susut. Belum pernah badanku susut sesusutnya macam sekarang. Dan perlahan-lahan,  mataku menyoroti bahagian perut. Serentak dengan itu, tangan kanan mengusap-usapnya perlahan.
Entah mengapa, jantungku tiba-tiba sahaja berdegup kencang. Hati turut berdebar-debar. Suatu perasaan yang tersangat aneh datang mengusikku. Mengapa? Adakah ‘sesuatu’ akan berada di sini? Isyaratkah ini?
Pantas aku turunkan tangan kananku. Sedaya mungkin kuaturkan pernafasan dengan mata yang terpejam rapat. Kucuba tenangkan kembali hati yang berkocak ini.
Perlahan-lahan perasaan aneh tadi beransur pergi. Hanya beberapa ketika selepas itu aku kembali membuka mata. Memandang sekujur tubuh yang tegak berdiri di depan cermin.

No comments:

Post a Comment