Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 6


H
ari ini genap dua minggu peristiwa gelap itu berlalu. Dan hari ini akan menjadi hari yang terakhir aku berada di rumah sewa ini. Aku akan tinggalkan Adah, teman serumahku. Aku juga akan tinggalkan Burhan dan tempat kerjaku. Sedih? Memang aku sedih! Tapi hanya inilah pilihan yang aku ada. Selepas ini aku akan berangkat meninggalkan Senai. Tempat ini sudah terlalu banyak mencoretkan momen indah dan luka dalam hidupku. Mungkin aku takkan kembali lagi ke sini. Sebab tempat ini lebih banyak melakarkan kenangan yang menyakitkan berbanding yang menggembirakan. Terlalu pahit untuk kutelan, tetapi terlalu pedih untuk kuluah.
“Dah siap?” Adah datang menyapa. Gadis itu melabuhkan punggungnya di sofa. TV tidak dipasang hari ini, tidak seperti selalu. Selalunya aku dan Adah akan menonton sepuas-puasnya setiap hujung minggu. Tetapi nampaknya mood menontonnya sudah pergi disebabkan kepergianku untuk selama-lamanya pukul 10 nanti.
Aku memalingkan tubuh menghadapnya. Sebuah senyuman kuukirkan.
“Dah.”
Adah menyambut jawapanku bersama senyum tawar. Pandangan redup penuh kesayuannya masih pada wajahku.
“Anis ... kau yakin ke dengan semua ni?” Perlahan suaranya menerjah pendengaranku.
 Perlahan-lahan, aku mendekatinya. Tanpa banyak kata, aku memeluk tubuh slim Adah. Dia turut membalasnya.
“Maafkan aku, Adah. Tapi inilah keputusan aku. Aku harap kau faham. Ini sahaja piihan yang aku ada.” Maafkan aku, Adah! Aku tak mampu nak jelaskan hal sebenar pada kau. Cukuplah kau tahu aku akan bina hidup baru dengan Rizwan. Apa sebenarnya yang terjadi, biarlah semua itu menjadi rahsia antara kami.
Adah tidak berkata-kata, sebaliknya merangkul dengan lebih erat. Lama kami berkeadaan begitu sehinggakan rasa sebak menghurung sekeping hati ini. Kolam mataku sudah terasa panas dan bertakung.
Pon .. pon ..
Aku keberatan, tetapi terpaksa melepaskan pelukan. Nasib baik Rizwan sampai, kalau tak mesti sudah bergelen-gelen air mataku tumpah.
Adah menghantarku ke kereta Rizwan bersama senyuman. Menitis jugak air matanya. Dan jugak aku. Beg-beg aku biarkan Rizwan yang uruskan. Sebelum masuk ke dalam kereta, aku memeluk erat teman serumahku sekali lagi. Tersangat erat, bagaikan tidak rela dipisahkan. Hanya beberapa ketika kemudian aku leraikannya, lantas menuju ke kereta.
Sebaik punggungku mencecah kusyen di sebelah pemandu, Rizwan terus menutup pintu kereta. Dan bersedia untuk memulakan perjalanan.
“Sampaikan salam aku pada keluarga kau.” Adah berpesan sambil memegang pagar dengan tangan kanannya. Aku sekadar mengangguk bersama senyuman yang tak lekang di bibir.
“Jaga Anis baik-baik.” Giliran Rizwan pula menerima pesanan. Adah dipandangnya juga bersama senyuman. Berkali-kali lelaki itu menganggukkan kepala.
Lambaian tangan Adah aku balas lemah. Semakin lama, semakin mengecil, dan akhirnya hilang daripada pandangan mataku.
Aku melepaskan keluhan nipis. Jika semalam aku menangis bersama teman sekerja, hari ini aku menangis dengan teman serumah pula. Tetapi semalam lebih teruk, terutamanya Burhan yang menerima surat perletakan jawatanku. Bergegar pejabat dengan jerkahannya padaku. Saat itu juga aku menangis. Bukan kerana sedih dijerkah, tetapi sebak kerana dia cuba menghalang perpisahan yang akan berlaku. Mungkin itulah pertemuan terakhir kami.

“Kalau mengantuk, tidurlah dulu. Lambat lagi nak sampai Kota Bharu.” Setelah agak lama kebisuan mencuri ruang, barulah suara lelaki itu kedengaran.
Aku tak bereaksi. Cuma sesekali menjelingnya sekilas. Tenang saja dia memandu, seolah-olah perjalanan yang akan memakan masa hampir 10 jam ini seperti sudah biasa baginya. Tak tahulah kot-kot dia memang sudah biasa.
“Nanti singgah UPM, amik adik aku. Boleh?” Tanyaku perlahan, tapi cukup untuk dia dengar.
“Boleh.” Sepatah jawabnya. Entah ikhlas, entahkan tidak. Tapi apa aku peduli? Jangan harap aku akan duduk dalam kereta ni dalam hampir 10 jam hanya berdua dengannya. Tak mungkin!

No comments:

Post a Comment