Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 12


Sekeping demi sekeping helaian yang masih berbaki dibelek. RM 213!
Nafas ditarik dalam, lalu dilepas kuat.
Baru dua hari lepas RM 500 dikeluarkan, hari ni hanya dua ratus lebih yang tinggal. Banyak sungguh belanjanya!
Resit pengeluaran pula dicari. Sekeping kertas kecil itu dipandang lama.
Baki akaun : RM 3 895.
Spontan tangan kanan memegang kepala. Beberapa ketika berkeadaan begitu barulah dompet hitamnya ditutup lalu dimasukkan ke dalam kocek.
Enjin kereta dihidupkan. Perlahan-lahan dia menyusur masuk ke jalan raya dan mula meluncur laju. Meski mata setia di hadapan, tetapi otaknya sudah menerawang jauh. Memikirkan jalan penyelesaian yang sepatutnya diambil.
RM 3 895! Kalau zaman dulu-dulu, mungkin nilainya sangat besar. Tapi sekarang, apalah sangat boleh didapatkan dengan wang sebanyak tu. Sedangkan usia kandungan Anis sudah masuk lima bulan. Banyak barang perlu disediakan. Mana nak cekau duit beli pakaian untuk si ibu, pakaian untuk baby yang bakal lahir, peralatan bayi, makanan, kos perubatan? Itu belum kira bayaran-bayaran lain lagi. Pening, pening!
Menyedari betapa hanyutnya fikiran berlayar, dia lekas beristighfar. Jangan ragu-ragu dengan rezeki! Itu urusan ALLAH, bukan urusan manusia. Selagi makhluk itu bernafas, selagi itulah ada rezeki untuknya di atas muka bumi ini.
Dia menelan liur. Insya’ALLAH, tentu ada jalan keluarnya segala kemelut ini.


“Encik Rizwan, saya perlukan pembantu di site.”
Suara itu membuatkan dia lantas berpaling. Seraut muka berkerut Ihsan muncul di ruang mata.
“Baik, Encik Ihsan.”
Lekas-lekas dia berkemas sebelum membontoti langkah lelaki yang hampir sebaya dengannya itu.
“Pakai kereta saya ke kereta Encik Ihsan?”
Sopan dia bertanya sebaik mereka tiba di kawasan parking. Lelaki ni bukan boleh main, tengok saja mukanya, asyik masam 24 jam.
“Kereta saya. Ni .. drive.” Serentak, segugus kunci melayang di awangan. Rizwan agak terpinga-pinga dek tindakan drastik itu, tetapi masih sempat menyambut. Bersegera dia membuka dan meloloskan diri ke seat pemandu Wira hitam itu.
Ihsan menghenyakkan punggung ke tempat duduk belakang, namun sebelum itu matanya sempat melirik ke kereta yang elok diparkir di sebelah kiri keretanya. Hyundai Genesis! Satu cebikan serta-merta hadir di juring bibir.
Rizwan menahan nafas. Dia memandang Ihsan di belakang menerusi cermin pandang belakang, hanya dengan ekor mata. Hati terasa panas dengan tingkah bekas pekerja bawahan yang kini berpangkat bos itu, tetapi diajarkan juga dirinya bersabar.
Perlahan-lahan, tangan dan kaki mula memainkan peranan. Sekejap sahaja, Wira hitam itu sudah meluncur laju di jalan raya.

“Saya ni bukan apa, Encik Rizwan .. Encik Rizwan pernah jadi bos saya. Banyak tahun jugak. Sebab tu lah saya rasa janggal kalau tiba-tiba nak sebut ‘Rizwan’ je.” Rizwan memasang telinga, mendengar kata-kata Ihsan yang tiba-tiba kedengaran.
“Tapi orang yang ‘duduk di bawah’ ni sepatutnya fahamlah kedudukan dia tu. Dah kalau kerja pun setakat pembantu saja, tak ada title tetap, takkan nak bergaya sakan jugak, kan? Saya bukan apa, kesian tengok .. dah tahu tak mampu, nak pakai kereta besar jugak. Ingat hebat sangat la tu?”
Telinga rasa berdesing, tetapi masih ditahankannya.
“Rasanya Wira ni dah boleh tukar, nih. Dah 10 tahun pakai. Kalau jual kat kedai mesti laku. Ya lah kan, dah nama pun bos, takkan naik kereta buruk memanjang. Encik Rizwan carilah sape-sape yang nak kereta secondhand, bagitau saya nak jual.”
Panjang berjela lagi mulut Ihsan bercerabih, tetapi dia sengaja memekakkan telinga. Buat apalah nak bergaduh dengan orang macam tu. Rupa sahaja yang elok, cukup sifat, dan kelihatan menyerlah kelelakiannya. Tapi tak sangka, rupa-rupanya .. mulut kalah perempuan yang selalunya sinonim dengan banyak cakap. Kalau dilayan, samalah dia otak tiga suku macam mamat tu,kan. Jadi, dibiarkan sahaja lelaki itu bercakap sendirian. Penat nanti berhentilah tu.  

Tangan berkedutnya menyelak sehelai lagi halaman album keluarga itu. Buat seketika, matanya terpaku di situ. Serta-merta segarit senyum hadir di bibir.
Rizhan menyuapkan sepotong kek kepada Datuk Rashid.
Argh! Arwah memang seorang bapa yang penyayang, suap-menyuap dah jadi adat bagi dirinya. Dia lelaki yang baik, yang sangat mesra dengan anak-anak.
Datin Saira ingat lagi bagaimana arwah suaminya sanggup berkejaran dari pejabat ke rumah untuk makan tengah hari bersama Rizwan dan Rizhan. Padahal masa tu kedua-dua orang anak mereka masih kecil, makan hanya seciput. Tetapi Datuk Rashid tidak jadikan semua itu alasan. Selagi sempat pulang, dia akan pulang.

Mengenangkan arwah membuatkan air mata Datin Saira lekas menitis. Terasa diri kesepian. Sudah 15 tahun Datuk Rashid meninggalkannya. Sendirian dia membesarkan anak-anak. Segala penat lelah ditanggungnya seorang diri.
Dia masih ingat peristiwa itu .. peristiwa yang telah meragut nyawa suami yang tercinta. Setiap saat yang berlalu, memorinya tetap mencanangkan peristiwa itu. Sedetik pun tidak pernah dilupakan.
Rizwan!
Dialah penyebabnya. Kerana anak yang ditatang dengan minyak yang penuh itulah suaminya meninggal.
Wanita itu mendengus geram. Setiap kali wajah Datuk Rashid bermain-main di kotak fikiran, setiap kali itulah muka Rizwan terbayang-bayang di ruang mata. Serta-merta kemarahan menguasai dirinya, bergumpal dengan kesedihan yang masih membusung.
“Aku takkan maafkan kau, Rizwan! Kerana kau suami aku mati! Kau tak selayaknya hidup sampai sekarang!”

No comments:

Post a Comment