Monday, November 4, 2013

Gerimis Kasih Kita 21 (i)

p/s : Musim peperiksaan. Maaf,tak dapat sambung panjang-panjang. Moga mencukupi untuk mengubat kerinduan pada Anis, Rizwan dan Rizhan...Dan .. TQ untuk penyokong, terutama yang memberikan komen : erie mastura tanaka, Latifah Manan, Baby Mio, Fitriah Ayn, ~vanda_diana~, sharina idora, eyna wanna, yuna, blinkalltheday....dan semua silent reader. Enjoy!


Dari kanan, dia berjalan ke kiri. Handset masih melekap kemas di telinga.

“Dah ok, Mak. Tak ada apa-apa pun. Tak ada keluar darah ke, terberanak ke .. Dia ok.” Sambil mulut laju bercakap-cakap, kakinya bergerak ke kanan pula. Tangan kiri masih dilintangkan di pinggang. Kerut yang bersimpang-siur di muka dibiar bermaharajalela.

Sempat pula mata menjeling ke hujung sofa menunggu. Dua orang wanita lingkungan 30an mengerling ke arahnya. Agaknya ‘tertarik’ dengan kata-katanya. Tapi bila mata mereka berlaga pandang, laju pula mereka larikan anak mata jauh-jauh.

Dia buat tidak kisah. Dibiarkan sahaja mereka dengan permainan main-main mata itu.

“Tadi Yuni dah masuk temankan, Mak. Check semua dah. Ok je. Pastu keluar tunggu nak ambil ubat. Tapi tak lama pastu doktor panggil dia masuk balik, sorang-sorang. Yuni nak masuk jugak, tapi diorang tak bagi. Dah Yuni nak buat macam mana? Mak tak payah risau, dia ok. Cuma mungkin nanti tergeliat urat sikit je la.” Kakinya melangkah ke kiri pulak.
Sambil berjalan sempat matanya menangkap kerlingan Burhan pada dirinya. Mamat tu pun satu! Dari tadi asyik melihat ke arahnya.

“Ok .. nanti dia keluar, Yuni telefon Mak lagi, ya. Sementara tu, Mak jangan risau dulu. Apa-apa pun jadi, nanti Yuni maklumkan balik. Kalau Mak nak risau pun, masa tu la, ea. Ok? Bye, Mak.” Selepas mendapat respon daripada sebelah sana, talian diputuskan. Terus dia menonong ke sebelah kanan, dan melabuhkan punggung jauh sedikit daripada Burhan. Disandarkan tubuh ke belakang.

Burhan pantas berkalih pandang ke sebelah.

“Haih ..! Tak habis lagi muncungnya?” Cepat lelaki itu menegur.

Mana taknya, dari mula-mula menjawab panggilan lagi muka perempuan itu berkerut-kerut, masam mencuka. Dah letak panggilan pun kerutnya tak habis lagi.

“Tension la! Mak marahkan Yuni pulak!” Sahut Ayuni beremosi.

“Risau .. bukan marah. Biasalah, kalau dah risau tak sedar dah suara tinggi ke rendah.” Perlahan dia memujuk.

“Ishk ..!” Ayuni tidak menjawab. Hanya mengeluh, meluahkan perasaan tidak puas hati.

Lagi tak puas hati bila terperasan dua orang wanita tadi asyik melihat ke arah dia dan Burhan. Tahulah Burhan tu ada rupa, tapi tak payahlah sampai macam tu sekali. Haih ..! Bertambah-tambah rasa panas tubuhnya.

Mengingatkan pembantu doktor beria-ia tak bagi dia masuk tadi, sekali lagi dia mengeluh. Tak pasal-pasal dia kena marah dengan Mak.

Mak pun satu! Bukannya aku penyebab Kak Anis jatuh. Seronok sangat nak jumpa aku sampai tak perasan kainnya meleret sampai menutup kaki, memang jadilah tragedi. Itu nasib baik dah sampai tangga terakhir, tak adalah teruk sangat.

Tapi Kak Anis pun lagi satu! Dah tahu aku nak datang, tak payahlah sambut aku sampai kat muka tangga, tunggu aje dalam rumah. Pakai pulak kain labuh-labuh sampai meleret ke tanah. Lagi satu, time nak turun tangga boleh pulak feeling, borak-borak dengan Mak dalam telefon. Alih-alih bila jatuh, aku pulak yang kena marah, nya!

Sekali lagi dia mendengus.

Dengusan kecil yang membuahkan tawa kecil Burhan.

“Orang tengah emo ni, boleh pulak dia gelak?!” Sedar kelakuannya tak lepas daripada mata Burhan, menyerbu rasa malu. Cepat-cepat dia cover dengan tempelak halus.

“Mulut diam aje .. tapi kat dalam tu mesti tengah mengutuk semua orang, kan?” Lembut dia ditegur, tapi ...

Ouch!!

Sentap!

Bibir dicebik. Tak pasal-pasal kena lagi sebijik!


“Anis mana?” Satu suara tiba-tiba bergema kuat.

Ayuni yang baru nak berlapang dada tersentak. Laju kepala menoleh ke sebelah. Terpacak tegak dua orang lelaki tidak jauh daripada duduknya.

Hampeh betul! Terkejut aku.

“Kat dalam. Tengah check.” Perlahan sahaja dia menjawab pertanyaan abang ipar dan .. dan ... ?

Pantas sekali lagi dia menoleh.

“Eh?!” Mata ditala tepat ke muka lelaki di sebelah abang iparnya. Telunjuk kanan turut dituju ke arah yang sama.

“Rizhan, kan? Pelukis .. kat Langkawi .. kan?” Dia menyoal cepat. Menaik sedikit suaranya. Ada senyum mula ditarik di bibir.

Rizhan turut terkejut. Kepala diangguk berkali-kali.

“Ya ..! Tak sangka .. jumpa pulak kat sini!” Ayuni bersuara kuat. Kegirangan terserlah.

Melihat air muka seronok perempuan itu membuatkan Rizhan turut tersenyum. Watak Ayuni semasa di Langkawi kembali terimbau dalam kotak fikiran.

Wanita 30an di hujung sofa memandang penuh minat drama di depan mata, tidak lagi kerling-mengerling seperti tadi. Kelihatan riak kehairanan pada dua raut itu melihat seorang perempuan dikelilingi tiga lelaki muda ...

Dua orang lelaki yang turut berada di situ terdiam. Tidak tahu hujung pangkalnya untuk mencelah.

Tetapi Rizwan .. larian jantung mula berterabur. Dia hanya mampu menelan liur, mendiamkan diri.

Sudah!


Aku meluruskan kedua-dua belah kaki. Ada rasa sakit menyengat, tetapi ditahankan saja. Mata dipicing rapat, seolah-olah ianya mampu menghilangkan kesakitan itu.

“Ok tak? Sakit lagi?” Lelaki itu tiba-tiba melabuhkan duduk di sebelah, memegang bahuku.

Melihat kesakitan si isteri, rasa mahu sahaja dia tahan wanita itu daripada buat gerakan lurus bengkok kaki lagi. Lambat baik sikit pun tak apa, asalkan jangan dia terpaksa menanggung sakit.

Rizhan melarikan pandangan ke dinding putih. Ada rasa panas di dadanya.

“Sakit .. sikit.” Kerut kesakitan dilawan dengan senyum kecil yang dipaksa. Bersimpang-siur kerut di mukaku.

Dikerdipkan matanya. Geraham dikacip kemas. Buku lima dikepal. Nafas kasar ditahan-tahan.

Wanita itu kesakitan! Dia tahu .. dan dia melihat! Tapi .. apa yang dia lakukan??!

“Abang Wan tak payah manjakan sangat Kak Anis ni. Nanti makin lambat sembuhnya.” Ayuni tiba-tiba mencelah. Muka mencerutnya mengambil alih perhatian daripada mata-mata yang tadinya terarah pada figura si kakak.

Tersedar dirinya jadi bahan tontonan, tiba-tiba rona merah menyerbu ke muka.

“Sampai bila nak berdrama kat klinik ni? Jomlah balik. Yuni dah lapar. Panjang sangat dah episod tragedi ni. Nanti sambung kat rumah pulak, ya?” Cepat dia menyambung kata. Sengaja mahu selindungkan rasa malu.

Nasib baik pendapatnya diterima pakai. Semua setuju beransur dari klinik. Hanya Rizhan membawa haluan yang berbeza.


Stereng dipegang kemas. Kaki memijak pedal minyak .. dalam .. dalam lagi .. sehingga rapat ke tapaknya.

Seminit .. dua minit ..

Dilepaskan pedal minyak dari menjadi mangsa tapak kaki.

Perlahan-lahan, meter kelajuan kian menurun. Sehingga anak panah tepat menunjuk ke angka 0, keretanya sudah tersadai di bahu jalan.

Pandangan ditebar ke hadapan. Kehijauan dedaunan dan pucuk-pucuk melatari alam. Namun, segala-galanya tidak tertangkap dek bebola matanya. Melainkan rakaman peristiwa tadi ligat berputar .. bagaikan pita kaset yang diulang-ulang untuk santapan mata .. segala-galanya terlayar jelas, seakan-akan sedang dipertontonkan.

Mukanya berkerut-kerut. Tapak tangannya menekan kuat sofa yang diduduki, seakan-akan mengalirkan rasa sakit pada kerusi itu.

“Arghh!!!”

Diam.

“Sakit .. sikit.”

“Arghh!!!”

Sepi.

Perlahan-lahan dia bangkit. Matanya terpejam, dengan geraham yang dikacip kemas.

“Arghh!!!”

Pipi sudah terasa hangat. Basah .. tapi dibiarkan sahaja.

Dia dengar, dia lihat .. tapi sedikit pun tidak mampu membantu wanita itu.

Terasa diri tidak berguna. Langsung!

Tangan kanan melekap ke dada. Terasa detak kencang memukul ganas di situ.

Di sini .. sakit yang teramat melihat dia. Harus bagaimana aku pasrah dengan ketentuan ini?!

Diaturkan kembali denyut nadi yang berterabur. Dipejam kejapkan mata, menarik sebanyak mungkin udara ke salur pernafasan. Detik demi detik .. sehingga secebis ketenangan menghinggapi sukma yang sekian lama bergolak.

1 comment:

  1. salam sayang untuk cik writer, menghadapi peperiksaan memang stress. apapun lakukan yang terbaik,semoga segalanya dipermudahkan in sha allah..

    ReplyDelete