Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 2


M
ataku lama terpaku pada kertas putih itu. Potret wajahku sendiri yang dilakarkan oleh seorang lelaki ketika bercuti di Langkawi sebulan lepas. Lelaki serabai yang mencurigakan. Tapi kemudiannya menjadi kenalan baru aku. Itupun sebab dia bijak menghulurkan salam perkenalan, dan Ayuni beria-ia memberikan respon. Kalau tak, jangan haraplah aku sebegitu mudah menyambut perkenalan seorang lelaki.
 Senyuman tiba-tiba tersungging di bibir. Comel jugak aku rupanya!
“Aih ... tak habis-habis tilik lukisan tu! Tilik lama-lama tu, nampak lukisan ke nampak pelukisnya?!” Raudhah yang manja dengan panggilan Adah tiba-tiba menyergah. Terkejut aku dibuatnya sampaikan terangkat tubuhku.
Dia melabuhkan punggung di sebelahku. Aroma nescafe berasap di dalam kole yang dibawanya menusuk hidung. Wah, menggodanya!
“Kalau tengok A nampak B, maknanya dah tak lama dah tu.” Aku membalas ringkas. Ingat tadi nak sembur dulu teman serumah aku ni, tapi bila terpandang lukisan di tangan ni terbatal pulak niat. Hai ... impak besar kau gambar!
Adah hanya mencebik. Tak terlawanlah tu. Biarlah, aku pun bukan terer sangat lawan-lawan mulut ni.
“Jadi ke kau nak turun Batu Pahat dua minggu lagi ni?” Adah tiba-tiba bersuara.
“Insya’ALLAH.” Sepatah jawapan sahaja aku berikan.
“Dari Senai ni ke Batu Pahat 105 kilometer je. Dalam sejam setengah dah sampai. Kau jangan risau la, Adah. Tak ada apa-apanya.” Sambungku setelah lama membisu. Adah masih terdiam. Aku nampak riak kerisauan pada wajah itu.
“Kau tu baru lagi dengan tempat ni. Bandar Rengit yang kau nak pergi tu pun belum tahu mana duduknya. Mana la aku tak risau. Yang kau ni pun satu, gatal sangat nak ganti orang pergi sana tu kenapa?” Mulut Adah memuncung-muncung memarahiku. Kole di tangannya sudah selamat mendarat di atas meja, betul-betul kat depan aku. Lantas aku hadiahkan sengih panjang buatnya sambil memanjangkan tangan mengambil minuman kegemaranku itu. Adah hanya memandang. 
“Kan aku dah cakap, aku nak kenal molek-molek negeri ni. Lagipun aku pergi sana ramai-ramai dengan pekerja syarikat. Pergi nak buat amal pulak tu. Tak salahlah kalau aku ikut, kan?” Selepas beberapa teguk nescafe membasahi tekak, barulah aku bersuara.
Adah masih dengan muka tak puas hatinya.
“Elok-elok kat sana.” Ucapnya lagi. Aku melebarkan senyum, lalu memeluk erat bahunya. Ayat terakhirnya tadi membuktikan bahawa dia bersetuju, walaupun terpaksa.

Dari menghadap ke kanan, aku alihkan kerusi dan duduk menghadap ke sebelah kiri pula. Sekejapan, aku alihkan lagi kerusi, ke belakang pula.   
Eish ... rimasnya aku! Apesal lak mamat tu pandang aku semacam je?!
Tangan kanan aku angkat ke pipi. Nak sorokkan muka sebenarnya. Sejak duduk tadi sampailah sekarang ni, sudah 15 minit berlalu. Dan lelaki itu masih belum mengalihkan pandangannya daripadaku.
Ei ... ada jugak yang kena korek bijik mata karang!
“Kau ni kenapa, Anis? Akak tengok dari tadi lagi gelisah semacam saja.” Suara nyaring Kak Tipah yang tiba-tiba melantun membuatkan aku tersentak. Wanita lewat 30-an itu aku pandang sekilas.
“Tak ada apa-apalah, kak. Tak sedap badan je.” Terpaksalah berbohong meskipun hati menjerit nak mintak tolong Kak Tipah pergi cungkil aje mata laki tu. Biar buta!

Dia mengacau-ngacau straw. Jus epalnya masih berbaki separuh gelas. Tapi tidak teringin pula nak sedut semuanya. Manakan tidak, dada masih berdebar kuat dengan apa yang berlaku. Siapa sangka perjalanannya ke Batu Pahat kali ini mendatangkan pulangan yang lumayan. Bertemu mata dengan orang yang dicari-cari sehinggakan mata tidak lepas-lepas memandang.
Habislah kau, Rizhan! ‘Bunga’ kau sudah kat depan aku!
Tapi jauh di sudut hatinya, dia mengakui tarikan perempuan itu. Manis dan lembut. Tampil sopan dengan blaus longgar rona biru laut bersama slack hitam. Dipadankan pula dengan tudung biru bermotifkan bunga putih.   
Rizwan tidak melepaskan peluang. Dia yakin perempuan itu adalah orang yang sama yang pernah dilihatnya. Dan kerana itu, bas yang dinaiki si gadis bersama rakan-rakannya diekori. Sengaja mahu melihat kehidupan pujaan hati adiknya.    

Memandu seorang diri dari Batu Pahat ke Senai, dan kemudian dari Senai balik ke Muar pula yang memakan masa hampir tiga jam bagaikan tidak terasa penatnya. Malahan dia berasa cukup bertenaga. Siap bersiul-siul riang lagi, seriang hatinya saat ini. Tatkala berselisih dengan Rizhan di tangga, dia hanya memandang adiknya bersama senyum kecil. Berkerut-kerut dahi Rizhan, tapi tidak pula lelaki itu bersuara.
Esok sekali lagi dia perlu ke Batu Pahat. Akan dimanfaatkan peluang ini untuk mengintip perempuan itu. Dia tak kisah untuk memandu lebih sejam setengah lagi untuk ke Senai jikalau hasil yang diperoleh memuaskan hati. Kalau dah penat dan tak larat nak balik, menginap sajalah di mana-mana. Di sekitar Senai saja ada beberapa buah hotel. Hotel Sofitel Palm Resort, Hotel Dragon Court, Chow Yong Hotel, Hotel Ria, dan lain-lain. Kalau nak bermalam di Batu Pahat pulak, ada Garden Hotel, The Hotel Katerina, The Landmark Hotel, Crystal Inn, Pelican Hotel, Hotel Carnival Sdn. Bhd., Novo Park Hotel, Fairyland Hotel, dan Batu Pahat Dragon Hotel. Pilihan dah ada, cuma perlu pilih saja.

Rizwan berkira-kira untuk bermalam di The Hotel Katerina yang terletak di Jalan Zabedah. Tubuhnya rasa melekit selepas seharian menguruskan projek syarikat dan mengekori perempuan yang kalau tak silapnya bernama Anis.
 Tapi belumpun sempat dia membelok keluar dari Jalan Kluang untuk menyusur masuk ke Jalan Bakau Condong, Hyundai Genesisnya dihadang sebuah Satria hitam. Tiga orang lelaki tidak dikenali keluar. Rizwan turut keluar. Tanpa sepatah kata, dia diserang bertubi-tubi sebelum dipengsankan.

Sedar-sedar sahaja dirinya elok terbaring di dalam semak. Seluruh tubuh terasa pedih dan sakit-sakit. Digagahkannya berdiri. Ditoleh ke kiri dan kanan. Nasib baik keretanya masih ada. Dia menapak ke arah kereta perlahan-lahan.
Setiap sudut kereta diperhati. Tidak ada apa-apa yang hilang. Pelik! Telefon bimbit, komputer riba, dan gadget-gadget semuanya ada.
Apa motif mereka?!
Sejenak dia berfikir. Tiba-tiba terlintas sesuatu di fikiran. Sepantas kilat kot di tempat duduk sebelah dicapai. Tangannya meraba-raba ke dalam kot berwarna kelabu itu.
Satu keluhan berat dilepaskan. Benar sekali tekaannya. Foto Anis sudah tiada di situ. Padah!
Tak semena-mena, matanya terperasan sekeping kertas kecil yang diselitkan pada dashboard.
“Nampaknya permainan ini semakin menarik! Well, kau tahu apa kau perlu buat!”
“Jahanam!”
Kertas nota itu digumpal penuh perasaan. Sakitnya hati tidak terkata.
Rizwan memegang kepala dengan kedua-dua tangannya. Kepala dihantukkan pada stereng. Berkali-kali. Sekarang jerat yang dirangka buat Rizhan sudah memerangkap dirinya sendiri. Bukan di tangan Rizhan, sebaliknya di tangan lelaki kaya bergelar Tan Sri Adif yang menjadi musuh tradisi syarikat warisan keluarganya.
Dia dapat mengagak malang yang sedang menimpa Anis. Kasihan! Perempuan tidak bersalah itu turut terlibat dalam kemelut antara manusia yang tidak dikenalinya.
Apa yang patut dilakukan?! Temui Anis dan ‘selamatkannya’ daripada si tua bedebah itu?! Atau rehatkan dulu dirinya yang sudah hampir kehabisan tenaga?!
Akhirnya Rizwan memecut laju ke Senai. Langkah Tan Sri Adif bukan seperti seekor kura-kura yang boleh dipandang begitu saja. Makin banyak masa ‘diberikan’ kepada si tua itu, boleh ‘lunyai’ Anis dikerjakannya.

No comments:

Post a Comment