Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 3


K
epala yang berdenyut kuat memaksa aku memejam rapat kedua-dua belah mata. Lama berkeadaan begitu, barulah rasa sakit beransur-ansur hilang.  Kemudian perlahan-lahan aku membuka mata, memerhatikan segenap ruang yang didiami.
Sebuah keluhan penuh hampa dilepaskan. Nampaknya mimpi ngeri ini masih belum berakhir. Aku masih dikurung, dan diikat kaki serta tangan di dalam bilik kecil ini. Bilik yang tersangat sunyi. Jauh dari hiruk-pikuk kota barangkali. Dua orang lelaki yang bertindak mengawasiku masih berada di situ.
Tanpa dipinta, air mata mengalir laju menuruni pipi.
Apa salah aku?! Kenapa makhluk durjana ini sanggup menculik dan mendera aku?! Aku bukannya anak orang berada, jauh sekali seorang jutawan! Dan kenapa mereka beria-ia mengugut mahu mencederakan ibu dan adik-adikku?! Apa salah mereka?!
Sampai sekarang aku tidak memperoleh jawapannya. Rasanya sudah beberapa hari aku di sini, tetapi satu petunjuk pun belum dapat kutemui.
Tiba-tiba kedengaran derap langkah ketap-ketup menuju ke tempat kurunganku. Dari bunyi tapak kasut itu, aku yakin tiga orang lagi manusia sedang datang kepadaku. Dan semuanya lelaki.
Benar telahanku! Tetapi saat mata menangkap susuk tubuh sang durjana itu, serasa seakan mahu gugur jantungku. Dia! Benarlah dia! Lelaki mencurigakan yang selalu memerhatikan dan mengekoriku. Keparat!
Aku mengetap gigi melihat muka selamba si jahanam yang berkaca mata hitam itu. Patutlah selama ini aku rasa tidak sedap hati, seolah-olah ada mata yang memandang setiap gerak-geriku. Rupanya memang benar firasatku, ada bala yang menunggu!

Salah seorang daripada tiga lelaki yang baru datang menghampiriku. Di tangannya sebuah plastik biru berisi sebuah bungkusan dan sebotol air. Nasi bungkus agaknya.
“Aku bawak nasik untuk kau. Nah, makan ni!” Aku membiarkan sahaja dia membuka bungkusan itu dan menghidangkannya di depanku. Sebotol air mineral turut diletakkan.
Lelaki itu kemudiannya membangunkan aku. Ikatan tali pada tangan aku pula dirungkainya.
Aku duduk membatu. Tidak memandangnya, tidak juga menjamah nasi. Buat beberapa ketika, semua membisu.
“Woi! Makan, aku kata!” Bengang dengan kebisuanku agaknya, dia menunjal kepalaku.
Aku memandangnya tajam. Dua bijik matanya bulat memandangku.
“Pandang-pandang aku buat apa?! Makan nasik ni!” Kali ini, tangannya mencengkam batang leherku dan menyuakan mukaku ke arah nasi.
Habis mukaku dipenuhi nasi yang berkuahkan gulai ayam itu. Tapi aku masih membisu. Apalagi boleh aku lakukan selain menelan liur, menahan marah. Sedang jauh di sudut hati, aku merintih memohon pertolonganNYA. Memohon agar manusia durjana yang menanggalkan tudungku, yang menyentuh tubuhku serta mendera diri ini ditimpakan balasan yang dahsyat.
“Dia nak tunjuk lagak lagi, wei! Nasib baik bos dah warning awal-awal, kalau tak aku yang ‘gulaikan’ kau, perempuan! ‘Masak’ sampai kau lembik, macam tempoyak!”
Empat durjana itu seronok mentertawakan aku. Hanya dia yang membisu. Membatu di situ.
Perlahan-lahan dia menghampiriku. Di sebalik cermin hitam itu, aku tahu matanya tepat memandangku. Dan aku juga tak mahu mengalah! Aku tidak melarikan pandanganku walau sedikitpun.
  Dia bercangkung di hadapanku. Dan kemudian sebilah pisau ramboo dikeluarkan dari kotnya. Dilarikan-larikan mata pisau itu pada leherku. Sedaya-upaya aku mengawal nafas, menyingkir jauh rasa gerun yang hadir tiba-tiba.
Beberapa ketika selepas itu barulah dia mengalihkan pisau tersebut dan  dimasukkan ke dalam kotnya.
Aku tidak melepaskan peluang, menggunakan kesempatan yang ada dengan mencakar mukanya, menyebabkan kaca mata hitam yang dipakai terjatuh. Serta-merta empat orang lelaki yang menjadi pemerhati tadi menyerangku. Dalam kekalutan itu, aku masih sempat melihat ‘mangsaku’. Matanya ... juling?!
Dalam keterpakuan itu, tubuhku disajikan dengan sepak terajang buat kesekian kalinya. Bertalu-talu sehinggakan aku langsung tidak bermaya. Dan perlahan-lahan, mataku terpejam kembali.

“Apa yang abang buat ni?!” Rizhan meluru mendapatkan Rizwan di bilik pejabatnya. Suara tingginya yang bagaikan halilintar menyoal si abang membuktikan betapa ‘panasnya’ dia saat ini.  Abangnya yang kelihatan tidak terurus sejak hampir seminggu lalu itu diterkam tajam dengan matanya.
“Abang ada alasan, Riz.”
“Gila! Alasan apa sampaikan kena tarik diri daripada projek ni?! Rugi, tau tak?! Rugi! Ratusan juta, bukan puluhan ringgit!” Mencerlung Rizhan mendengar jawapan Rizwan.
Sudah gilakah Rizwan?! Buat kerja tak pakai otak ke?! Boleh gulung tikar syarikat dibuatnya.
“Riz ... abang mintak maaf. Mulai sekarang, abang serahkan urusan syarikat ni pada kau. Buatlah apa yang patut.” Rizwan berlalu begitu saja.
Dia sudah menunaikan arahan Tan Sri Adif. Sekarang dia ada temu janji dengan si tua tak sedar diri itu. Janji orang tua boroi itu, setelah selesai ‘urus niaga’ antara mereka, barulah dia akan melepaskan Anis. Anis, maafkan aku!
Rizhan terkaku di situ. Bukankah selama ini Rizwan bermati-matian memperjuangkan haknya untuk memegang pangkat tertinggi dalam syarikat? Apa yang sudah terjadi sekarang? Kenapa Rizwan seolah-olah langsung tidak sayangkan kedudukannya?   

Rizwan menyoroti langkah Tan Sri Adif yang semakin mendekat. Senyum lebar menghiasi bibir lelaki tua itu. Naik meluat Rizwan melihatnya.
Good job!” Sepatah pujian dikalungkan buatnya. Bukan kebanggaan yang menyelinap, sebaliknya rasa bersalah dan berdosa membelit perdu hatinya. Rizwan menunduk.
“Aku tak nak berlama-lama kat sini. Bagitau aku mana kau sorok perempuan tu.” Akhirnya dia bersuara.
Tan Sri Adif  tergelak. “Kenapa tergesa-gesa sangat ni? Rileks, I belanja minum dulu.”   
Rizwan mencebik. “Mana kau sorok dia?!” Ditekankan suaranya agar lelaki berpangkat bapa itu tidak melengah-lengahkan masa.
“Ok. Kalau itu yang kau nak.” Sekeping kertas bertulis alamat dikeluarkan daripada kotnya, lalu diletakkan di atas meja.
Rizwan pantas mencapai.
Orang tua itu tergelak lagi.
“Oh ya, ada satu benda lagi.” Kali ini, sekeping foto pula dikeluarkan.
Rizwan telan liur. Gambarnya? Tapi ... dia tak pernah ada gambar sebegitu.
Lama terdiam, barulah dia mengerti. Marah punya pasal, kolar baju Tan Sri Adif dicekaknya. Berketap-ketap bunyi giginya yang dikacip kemas. Mata lelaki itu ditentang tajam.
Tan Sri Adif tergelak besar. Mana mungkin orang muda seperti Rizwan dapat menandinginya. Mungkin benar pemuda itu bijak, tapi Rizwan perlu ingat, orang berumur sepertinya ada ‘strategi’.

Aku mencelikkan mata lambat-lambat. Kemudian keadaan sekeliling aku perhatikan. Lain, benar-benar lain! Tangan dan kakiku juga sudah tidak diikat.
Jadi, betullah aku sudah diselamatkan?! Ya ALLAH, Alhamdulillah! Rupa-rupanya bunyi pergelutan tadi bukannya mimpi semata-mata.
Aku bangkit daripada pembaringan. Tubuh masih terasa sakit-sakit akibat disepak terajang, tapi aku rasa segar sedikit dapat keluar dari ‘mulut harimau’ tadi.
Lama aku berteleku di atas katil empuk itu. Minda ligat berputar memikirkan siapakah gerangannya yang menjadi wiraku tadi. Siapa dia yang membawa aku ke teratak kayu ini?
Tiba-tiba kedengaran tombol pintu dipulas dari luar. Mataku tepat terarah ke pintu. Itukah wiraku?
Sebaik tersembul mukanya di balik pintu, jantungku mula berlari kencang. Peluh memercik ke seluruh tubuh.
Dia melangkah perlahan-lahan ke arahku. Aku pula cepat-cepat melompat turun dari katil.
  “A .. Anis .. semua ni salah faham saja. Bukan saya yang buat semua ni.”
Dia semakin mendekatiku. Aku melarikan diri daripadanya. Di saat ini, segala rasa bercampur baur. Sesak nafas, menggigil, ketakutan dan sebagainya menghurungku. Tanpa disedari, air mata menerobos keluar dengan sendirinya.
“Anis .. tolong dengar cakap saya. Saya dianiaya. Macam awak.” Dia masih memintas, dan aku masih kerahkan tenaga yang masih berbaki untuk melarikan diri. Lelaki itu berdiri di sebelah sana katil, sedang aku sudah melompat ke sebelah sini katil.
Ruang bilik yang kecil ini menyukarkan aku. Tetapi kesempatan yang ada aku manfaatkan dengan berlari sepantas mungkin ke arah pintu. Belum sempat tombol dipulas, tubuhku sudah berada dalam rangkulannya.
“Lepaskan aku! Lepaskan! Lepaskan!” Aku meronta sekuat mungkin. Jari-jemarinya yang merangkul erat pinggangku aku pukul sekuat hati. Tapi ternyata tenaga lelaki ini lebih kuat daripadaku.
“Anis, tolong percaya cakap saya! Orang yang culik awak tu bukan saya! Saya dianiaya!” Rizwan masih tidak ingin berputus asa. Kepercayaan Anis sangat penting. Andai kata perempuan itu tidak mempercayainya dan membuat laporan polis, memang hancurlah hidupnya.
“Lepaslah, jahanam!” Sambil meronta, aku menghentakkan tumit ke atas jari kakinya.
Menyeringai lelaki itu. Rangkulan dilepaskan dan dia memegang kakinya.
Aku cepat-cepat membukakan pintu, tetapi sekali lagi dia menarikku. Kejap tangannya memegang lenganku. Aku cuba merungkaikan pegangan itu tetapi ternyata tangannya lebih kuat. Sebaliknya dia menolak kasar tubuhku ke dinding dan menahanku dengan tubuhnya di situ.
“Lepaskan aku!” Aku cuba melepaskan diri. Tak berjaya.
“Bukan saya culik awak, Anis! Percayalah!” Mukanya didekatkan ke mukaku.
“Kau buat aku macam ni, kau nak aku percaya cakap kau?! Aku takkan maafkan kau, keparat! Takkan sekali-kali!” Aku menjerit nyaring. Sudah terang-terang dia pesalah, masih lagi mahu menidakkan?!
“Saya dianiaya! Orang tu buat pembedahan, tiru muka saya!”
“Kau cakaplah apa pun, aku takkan percaya! Baik kau lepaskan aku!”
Lelaki itu masih tidak berpuas hati. Sudah tidak ada jalan lain, aku hantukkan kepala ke mukanya. Dia terundur ke belakang, meraung kesakitan sambil memegang hidungnya yang hampir patah.
Aku berjaya meloloskan diri dari bilik itu, tetapi belumpun sempat pergi jauh, tubuh ini berjaya disambarnya. Lelaki itu menyeret aku kembali ke bilik tadi. Pintu ditendangnya kasar. Jerit-pekikku tidak dihiraukan.
Kemudian aku dicampakkan ke atas katil. Aku cuba merangkak turun, tetapi cepat sahaja ditariknya kembali ke atas katil. Aku meronta kuat untuk menyelamatkan diri. Dan semakin kuat juga pegangannya. Tidak tahan dengan tingkah agresif aku, dia menindih tubuhku. Aku masih berusaha melepaskan diri. Sekuat mungkin aku menolak tubuhnya. Namun sedetik demi sedetik, aku semakin layu. Sedangkan dia semakin hanyut dalam gelora nafsu.     

Aku melabuhkan punggung di ceruk dinding di anjung rumah kayu ini. Pagi ini cahaya mentari masih belum memunculkan diri. Sekeliling rumah masih gelap-gelita. Hanya bias cahaya lampu pendarflour di siling mencerahkan sedikit tempat aku berlabuh.
Kalau sebelum ini, aku memang terkenal dalam kalangan keluargaku sebagai seorang penakut. Takut sangat dengan gelap. Tetapi sekarang semua ketakutan itu terbang entah ke mana. Aku leka melihat panorama di kiri dan kanan rumah yang dipenuhi pokok-pokok kayu. Mungkinkah aku kini berada di dalam hutan?
Kedinginan bayu pagi yang terasa sehingga ke tulang hitam memaksa aku memagut kedua-dua belah lutut. Nyaman. Tapi kenyamanan ini masih belum cukup untuk mengusir segala gelodak rasa yang membelenggu diri. Aku jijik dengan diri sendiri. Tubuh ini terasa sangat kotor. Sangat hina. Tak mungkin lagi aku dapat bersihkan kembali diriku.
Mengenangkan semua itu, air mata kembali bertali arus menerjuni pipi. Ya ALLAH! Kenapa dugaan ini yang ditimpakan ke atasku?! Aku tidak mampu menghadapi cubaan yang sangat besar ini! Aku hambaMU yang lemah, ya ALLAH!
Apakah ini balasan atas dosa-dosaku?! Tapi apakah kesalahan yang telah aku lakukan?! Aku tidak mengenali lelaki itu. Aku tidak ada sebarang hubungan dengannya. Tetapi kenapa dia KAU hadirkan dalam hidupku, ya ALLAH?! Kenapa?!
Esakan halusku bergema, mengisi kesunyian di pagi yang hening ini. Aku sudah tidak nampak masa depan yang cerah menantiku di sana. Segala-galanya sudah hancur. Lebur. Aku bukan lagi gadis suci yang boleh dibanggakan ibuku. Bukan lagi seorang kakak yang boleh dijadikan teladan oleh adik-adikku. Dan aku bukan lagi perempuan suci yang didambakan oleh lelaki-lelaki baik. Semua itu sudah dirampas daripadaku. Yang tinggal kini hanyalah noda-noda hitam yang takkan luntur warnanya sepanjang hidupku.
Satu-persatu wajah insan yang aku sayang hadir di ruang mata. Melambai-lambaikan tangan mereka kepadaku. Wajah tenang arwah ayah, renungan mata emak yang sarat dengan kasih sayangnya, keriangan Ayuni, kepolosan Adila, Syafiq yang nakal, dan Amna yang manja.
Mungkinkah aku akan tetap mengecapi kenikmatan hidup bersama mereka?
Tiba-tiba tubuhku diselimutkan seseorang. Aku yang sedikit terperanjat terdiam seketika. Tetapi kemudian pantas kucampakkan selimut yang melekat di tubuhku ke lantai dan mengengsot ke tepi. Air mata yang masih bersisa aku biarkan tidak berseka.
“A .. Anis .. sa .. saya mintak maaf.” Suara tergagap-gagap itu menendang gegendang telingaku.
Aku membatukan diri tanpa memberikan sebarang respon.

No comments:

Post a Comment