Monday, October 7, 2013

Gerimis Kasih Kita 18

Sejam sudah talian dimatikan, tapi senyum kecil masih bergayut di bibir. Terngiang-ngiang lagi suara ceria Ayuni di hujung sana. Bercakap dengan dia memang takkan bosan punya. Ada aje bendanya jadi bahan. Riuh pulak tu.

Ayuni kata dia mahu datang ke Johor dalam beberapa minggu lagi. Ada majlis kahwin kawannya di sini nanti. Seronoknya, tak sabar nak jumpa adik aku yang seorang itu.

Terkenangkan Ayuni mengheret aku mengimbau ingatan pada keluarga di kampung. Dah hampir enam bulan aku tak balik kampung. Lama sangat. Rindunya nak jumpa mak, jumpa Syafiq, Adila, Amna ...

Tak semena-mena rasa sebak menghenyak perdu hati. Rasanya aku patut balik ni .. leraikan kerinduan pada mak dan adik-adik. Tekadku yakin. Ya, insya’ALLAH ...


“Aturkan temu janji dengan Tan Sri Adif dalam masa terdekat ni.” Arahnya lembut, tetapi tegas. Sepasang matanya memandang tepat wanita di hadapan.

“Baik, encik. Ada apa-apa lagi?” Penuh komited wanita genit berbaju kurung itu menyambut. Rautnya serius bilamana bekerja, tetapi manis dengan segarit senyum kecil di bibir.

“Tak ada. Itu saja. Terima kasih.” Seraya itu, fail di hujung tangan ditarik. Helaiannya dibelek cermat. Fokus mata sudah beralih arah.

“Ok. Saya keluar dulu.”

Hanya anggukan menjadi jawapan. Dan kelibat Asma’ yang sudah melangkah keluar dikerling sekilas.

Sedetik .. dua detik ..

Liur ditelan. Rengkungnya memanjang. Gerak tangan terhenti pada helaian kertas fail.

Serius dalam kerja sudah dibuat. Sibukkan diri pun sudah, sehingga tubuh sering keletihan. Tapi .. kenapa terlalu sukar bayangan wanita itu dilupuskan?

Rizhan menarik nafas dalam. Matanya dipejamkan.

Kesakitan terasa mencucuk-cucuk hati. Sukarnya kenyataan itu ...

Tapi malang sungguh, kesibukan dan keletihan masih belum mampu mengusir kelibat wanita pujaan pada sudut hati. Semalam matanya sukar sekali lelap. Ingatannya melekap kuat pada Anis. Entah apa puncanya dia pun tak tahu. Puas dipaksa minda untuk bersihkan kotak fikiran, tapi tak berjaya. Entah pukul berapa barulah matanya pejam.

Dia mencelikkan mata luas-luas. Bangkit, Rizhan! Ini bukan masanya nak layan perasaan. Banyak rahsia perlu dibongkar. Tan Sri Adif .. target yang semakin hampir!



“Dokumen ni .. buat lima salinan. Lepas makan tengah hari mesti ada atas meja saya.” Muka kelat serius itu ditentang lembut.

“Ya.” Kepala dianggukkan bersama kerdipan mata.

Kelibat Muhsin yang makin menjauh dihantar dengan hujung mata. Nafasnya ditarik dalam. Sakitnya hati. Sesungguhnya keterpaksaan sahaja satu-satunya sebab kenapa dia masih cuba bertahan. Kalau tidak ...

Dalam hati yang berbuku rasa sebal, dia melangkah ke arah mesin fotokopi. Kadang-kadang dia pelik jugak, apa sebenarnya skop kerja dia? Ke hulu ke hilir, semua tempat ada kerja untuk dia. Tapi tak mahu kecoh punya pasal, dia turutkan sahaja.

“Abang ...”

Spontan kepalanya mendongak. Muka Rizhan tersembul di depan mata.

“Riz ..” Dia membalas.

Matanya lebam dan layu. Keruh riaknya.

Hati Rizwan terkesan. Melihat wajah sang adik yang begitu jelas keletihan dan berserabut, serta-merta rasa kasihan melimpah ruah. Naluri seorang abang membuak-buak. Melindungi, berkongsi rasa ... itu yang mahu dia lakukan.

“Jom makan.” Lemah saja suara itu. Senyum tawar yang diukir tak cukup perisa untuk memaniskan roman mukanya.

“Jom.” Lalu dia menurut sahaja. Mungkin inilah masanya untuk memperbaik semula hubungan abang dan adik ini.


Makanan sudah di depan mata. Tetapi kedua-duanya seakan-akan tidak berselera. Nasi dalam pinggan dikuis-kuis perlahan.

“Abang dah makin kurus.” Rizhan memecah kesunyian. Pelik pula bila masing-masing senyap.

“Um .. Riz pun. Banyak sangat kerja?”

“Boleh la tahan. Baru nak belajar, memang huru-hara sikit la.”

“Ok la tu. Mama macam mana?”

“Sihat. Sibuk dengan kawan-kawan dia tu la. Kak Nurul ngan baby apa cerita?”

Rizwan terdiam seketika.

“Sihat, Alhamdulillah.”

“Dah berapa bulan dah ya?”

“6 .. 6 bulan.”

“Um .. entah bila la Riz boleh kenal kakak ipar Riz, tu ya? Baby pun dah nak lahir.”

Kelat-kelat dia senyum. Tawar sekali.

Sedang adiknya mengukir senyum di juring bibir. Ada riak terkilan terlakar.

“Nama penuh kakak ipar pun Riz tak tahu.”

Rizwan sudah rasa kering tekak. Memanjang rengkungnya menelan liur.

Rizhan tayang muka selamba.

“Nurul .. Nurul Anis .. Abdul ‘Azim.”

Senyum kecil itu mati tiba-tiba. Masing-masing membeku. Dengan muka kelat .. bisu .. hingga akhirnya.

2 comments:

  1. akhirnya.. TQ cik writer.. tapi pendek je tak puas baca..next n3 please

    ReplyDelete
  2. tq erie mastura tanaka.akan disambung dalam masa terdekat =)

    ReplyDelete