Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 4


R
izwan melutut di sebelah wanita itu. Matanya memandang tepat wajah sugul Anis. Lukisan penderitaan terlakar jelas di situ. Hiba hatinya melihat semua itu. Dan mutiara jernih yang berjujuran keluar dari sepasang mata bening itu menambahkan lagi penyesalan atas kesilapan yang dilakukan.
Anis kaku tidak bereaksi.
“Saya mintak maaf. Saya tak berniat musnahkan hidup awak.”
Sepotong ayat lagi dimuntahkan. Tetapi perempuan malang itu masih begitu.
“A .. Anis, saya mintak maaf.” Diberanikan dirinya menyentuh bahu Anis.
“Jangan sentuh aku!” Tangan Rizwan ditepis kasar sambil matanya mencerlung tajam muka si durjana yang menghancurkan hidupnya itu.
Rizwan tersentak.
“Sa .. saya mintak maaf.” Sepasang mata yang sarat dengan kebencian dan kemarahan itu ditentang lembut.
“Maaf?! Kau ingat maaf kau tu boleh bersihkan balik diri aku?! Kau dengar sini, jahanam! Sampai mati pun aku takkan maafkan kau!”
Dia dapat melihat api kemarahan yang meluap-luap pada wajah itu. Dan dia juga dapat melihat kesedihan dan kekecewaan di situ.
“Saya akan bertanggungjawab atas apa yang saya lakukan.”
Rizwan tidak mengalihkan pandangannya daripada si malang yang sedang mengamuk itu. Dia yakin Anis sudah berputus harap dengan hidupnya. Sudah tidak ada cita-cita dan impian yang selama ini dikejarnya. Dan dia yakin, seandainya dia lepas tangan, kemungkinan besar wanita itu akan cuba menamatkan hidupnya. Mungkin benar Anis ada pegangan agama yang lebih kukuh daripada dirinya, tapi dalam keadaan emosi tidak stabil, manusia seringkali melakukan kesilapan. Seperti dirinya semalam!
Anis terkesima. Tajam pandangannya menikam mata lelaki itu.
“Aku tak hingin!”
Sebaris ayat yang sudah dapat dijangkanya. Tapi dia tidak mahu cepat melatah. Kesilapannya bukan sekecil kuman, dan Anis bukan sebesar gajah untuk memikul semua itu seorang diri. Maka dia berikrar, akan dipikulnya tanggungjawab terhadap wanita itu. Biarlah apa pun yang terjadi, dia tidak akan sekali-kali melarikan diri daripada tanggungjawab.
     
Kepala yang berdenyut-denyut memaksa aku menghentikan tarian jari-jemari pada papan kekunci. Kedua-dua belah tangan lekas memegang dan memicit-memicit bahagian yang tidak selesa. Adakah kerana terlalu lama menghadap komputer? Atau ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatanku?
“Kenapa, Anis? Sakit kepala?” Kak Tipah tiba-tiba menyapa. Wanita itu memandangku penuh prihatin.
“Entah la, kak. Berdenyut-denyut.” Jujur aku memberitahu. Hakikatnya memang aku tidak tahu apa yang tidak kena.
Semenjak peristiwa hitam itu berlalu seminggu yang lalu, memang kesihatanku terjejas agak teruk. Kesan disepak terajang, seluruh badan sakit-sakit. Habis lebam-lebam.
Itu yang luaran, dalaman pula hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Waktu tidurku tidak menentu. Selera makan juga berkurangan. Aku lebih banyak menghabiskan masa dengan mengelamun dan menangisi nasib diri. Rasanya berkilo-kilo jugak turun berat badan ini.
“Pergi la klinik, Anis. Risau akak tengok kau sekarang.” Usul Kak Tipah lagi.
Aku hanya tersenyum tawar menyambut kata-katanya.
Ya, tidak ada sesiapa pun mengetahui hal sebenarnya yang menimpaku. Pada manusia di sekelilingku ini, aku khabarkan pada mereka bahawa aku dirompak. Hilangku selama berhari-hari kerana diserang demam panas yang teruk akibat diganyang serta terkejut. Penginapanku pula di rumah sepasang suami isteri yang baik hati membantu setelah menemui aku terlentang di bahu jalan.
Laporan polis? Tidak ada petunjuk yang boleh digunakan untuk mengesan si ‘perompak’.

“Anis, masuk bilik aku sekejap.” Burhan mengarah.
Entah sejak bila Burhan berdiri di sebelah, langsung aku tak perasan.
Aku mengikut langkah bekas rakan sekelasku itu tanpa banyak soal. Dulu kami sama-sama bersekolah di tempat asal kami, Kota Bharu. Dia antara rakan rapatku semasa belajar dulu. Setelah dia berpindah ke Johor mengikut keluarganya, kami masih terus berhubung. Dan terakhir, dia dan bapanya yang juga pemilik perniagaan ini mempelawa aku bekerja bersama mereka di sini. Aku terima sajalah.
“Ya, kenapa?” Soalku perlahan setelah melabuhkan punggung di kerusi. Itupun atas arahan Burhan.
Lelaki berusia 23 tahun itu tidak terus menjawab, sebaliknya membelek muka lesuku lama.
“Aku tau kau ada masalah, Anis. Cuba kongsi dengan aku.” Suaranya menyusup masuk terus ke tangkai hati. Sebak dan terharu aku dibuatnya.
Buat beberapa ketika, aku diam tidak berkutik. Kalau ikutkan hati, memang aku mahu hamburkan segala penderitaan yang berat di pundak ini. Aku mahu seseorang mendengar keperitan yang menjalari hidupku. Aku mahu lepaskan semua yang terbuku di lubuk sanubari ini. Tapi adakah betul tindakan sebegitu?
“Kau tau kan, aku kena rompak. Jadi ... ‘sempitlah’ sikit sekarang.” Sebuah lagi pembohongan aku ciptakan. Senyum plastik aku ukirkan.
“Kau bohong, Anis. Aku tahu kau bohong.” Sebaris ayat itu meluncur laju dari bibir nipis Burhan. Sedang matanya merenungku tajam.
Mahu atau tidak, aku terpaksa menerima kenyataan bahawa Burhan mengenaliku. Teramat kenal. Penipuan yang aku reka tidak pernah berjaya ke atasnya.
Apa lagi boleh aku lakukan selain mengunci bicara.
“Aku mintak maaf, Han. Kali ni, aku tak boleh kongsi masalah ni dengan kau. Biarlah aku tanggung sendiri.” Akhirnya aku memutuskan.
Burhan menarik nafas sedalam-dalamnya. Dan matanya tak lepas melihat aku.
“Abang Naim?” Sepatah soalnya yang membuatkan hati kecil ini bertambah walang.
Aku sekarang tidak layak untuk sesiapa. Apatah lagi lelaki baik seperti Abang Naim. Memang aku sukakannya, tetapi kini ada tembok yang menghalang aku meneruskan rencana kami untuk bersatu menjelang usiaku yang ke-24. Tembok yang tidak mungkin akan runtuh sampai bila-bila.
Menjawab pertanyaan Burhan, aku hanya menggelengkan kepala. Entah macam mana perlu aku uraikan hubungan antara kami nanti.

Nafas kuhela panjang. Cuba membuang jauh segala perasaan kurang enak yang tidak pernah padam dari kotak pemikiran. Sambil itu, langkah aku atur perlahan-lahan menyusuri jalan dari pejabat sebelum mengambil teksi untuk pulang ke rumah sewaku di Taman Aman. Kecil-kecil sahaja langkahku. Kepala masih berdenyut-denyut dan pening, tubuh pula terasa lesu tidak bermaya sahaja.
Sebuah kereta tiba-tiba berhenti tepat di hadapanku. Serta-merta langkahku mati.
Dia lagi!
Aku memesongkan kaki. Tetapi dia lebih pantas menghalang.
“Kita perlu berbincang.”
Naik geram aku dengan kata-katanya.
“Kau ni tak reti-reti bahasa lagi ke?! Aku kata aku tak nak tengok muka kau lagi, takkan itu pun kau tak faham?!” Tengkingku lalu membuka kembali langkah.
Dia halang lagi. Tengkinganku bagaikan langsung tidak berkesan padanya. Dia sebaliknya menarik tanganku ke arah kereta.
“Hei, bangang! Aku kata tak nak, tak nak la!” Aku rentap tanganku daripada pegangan dia bersama maki hamun yang sebelum ini terlampau asing di bibirku. Pegangannya terlepas menyebabkan aku terundur ke belakang dan hampir-hampir terjatuh. Nasib baik sempat berpaut pada keretanya.
Aku cuba berdiri tegak, tetapi denyutan dan pening yang tiba-tiba menggila di kepala menahanku. Sakitnya TUHAN sahaja yang tahu. Sampaikan aku jatuh terduduk di situ sambil mengerang kesakitan.
“Anis, awak ok?!” Cemas suaranya bertanya. Dia memegang bahuku. Memang aku mahu menepis tangan sasa itu, tetapi tidak berdaya. Kedua-dua tanganku memegang kejap kepala.
Tanpa membuang masa lagi, dia mencempung tubuhku ke dalam kereta. Kemudian pedal minyak ditekan laju membelah kesibukan jalan raya. Aku tidak mampu berbuat apa-apa melainkan membiarkan air mata terus menemaniku.

Dia duduk betul-betul di depanku. Sepasang mata itu terus-menerus menilik mukaku. Sedangkan aku membuang pandang ke sekeliling restoran. Tidak ingin memandang mukanya.
Restoran ini agak lengang. Hanya ada beberapa orang pelanggan. Itupun nun jauh di depan sana. Aku pula berada di meja yang berdekatan dinding ini atas pilihan lelaki itu. Privasi untuk berbincang katanya.
Jus tembikai sudah di depan mata. Makanan juga siap terhidang. Tapi aku masih kaku di kerusi. Tidak menjeling pun nasi dan lauk-pauk yang memenuhi meja.
“Makanlah. Awak tak sihat tu, kena makan.” Bosan menunggu agaknya, lelaki yang pernah memperkenalkan dirinya sebagai Rizwan itu bersuara.
Aku buat tak tahu. Perut memang kosong. Tapi aku tak mahu tewas pada pandangan si keparat ini.
“Anis ..”
“Kau yang pesan, kau la makan!” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, aku memotong. Tidak mengerling sedikit pun.
Rizwan mengeluh kecil.  
“Saya mintak maaf. Saya mengaku saya bersalah. Awak hukumlah saya. Tapi janganlah awak seksa diri awak sendiri macam ni.” Suaranya lembut memujuk.
Dia diam seketika.
“Kalau awak tak mahu makan, saya mintak maaf. Saya terpaksa paksa awak makan.”
Aku naik heran.
Rizwan tiba-tiba berdiri dan mendekatiku. Kerusi di sebelah ditariknya dan dia duduk di situ. Sudah! Aku sekarang terperangkap dengan tubuh dia dan meja. Takkan aku nak panjat meja pulak kot untuk lari?
Pinggan nasi di depanku dicapai lalu diisi dengan lauk-pauk yang pelbagai.
Aku memerhatikan tingkahnya dengan hati yang tertanya-tanya. Dia nak suap aku ke?
Terkaku aku bila tiba-tiba dia menyuakan sudu yang penuh dengan nasi ke mulutku.   
Nak tak nak, terpaksa aku mengalah. Daripada membiarkan dia menyuap aku, lebih baik aku makan sendiri. Memang aku nampak riak kelegaan pada mukanya, tetapi aku membalasnya dengan jelingan tajam.

“Turunkan aku kat sini.” Serta-merta Rizwan memberhentikan keretanya di bahu jalan. Patuh jugak dengan arahan aku.
“Kan jauh lagi, ni.” Dia bersuara dengan muka berkerut. Mana taknya, hampir 500 meter ke depan lagi rumah sewaku.
“Aku jalan kaki.” Balasku cepat. Malas nak berlama-lama dengannya.
Baru sahaja aku nak buka pintu tu, dia lock pulak. Hantu punya jantan!
Aku pandangnya dengan muka bengang. Nak main pulak dia!
“Anis .. kita kena bincang.” Ujarnya lembut. Tubuhnya dipusingkan, memandang aku yang duduk di belakang.
“Bukak pintu ni! Aku nak keluar!” Aku membentak kasar. Tetapi langsung tidak mendatangkan sebarang kesan kepada lelaki itu.
“Anis .. saya mengaku, saya salah. Saya mintak maaf. Tolong bagi saya peluang ..”
“Aku tak perlukan maaf kau! Apa kau ingat dengan maaf kau tu, boleh bersihkan balik dosa kau?!” Pantas aku memintas. Menghamburkan amarah yang tidak pernah surut.
Rizwan terkulat-kulat di tempat pemandu. Benar, maaf tidak dapat mengembalikan semula kesucian wanita itu. Tetapi tanpa kemaafan Anis, rasa bersalah akan terus menjerut lehernya. Tak mengapa kalau Anis tidak mahu memberikan kemaafan sekalipun, tapi dia tetap mahu memikul tanggungjawab atas perlakuannya.
Berkali-kali dia mengatur nafas sebelum menyambung.
“Memang tak ada nilainya ‘maaf’ saya, tapi ..”
“Hah! Tau pun tak de nilai! Dah tu tak payahlah kau menyusahkan hidup aku lagi!”
Sekali lagi bicaranya dipotong. Rizwan memejamkan mata, menyabarkan hati yang semakin membahang.
“Bukak pintu ni, jahanam! Aku nak keluar!”
“Diam!”
Dia menjerit tiba-tiba. Tanpa sedar, sebelah tangannya menekup mulut Anis.
Aku kaget seketika. Benar, aku sedang marah. Tetapi wajah bengis lelaki ini cukup menggerunkan, sehinggakan lidah kelu untuk terus bersuara.
Senyap. Perlahan-lahan, Rizwan melarikan tangannya. Memberikan sedikit ruang kepada Anis untuk bertenang. Pada dirinya juga.
“Ya, maaf saya tak boleh mengubah apa-apa. Tapi cuba fikirkan, kalau awak mengandung, macam mana? Apa akan jadi? Awak nak telan semuanya seorang diri? Tidak! Saya takkan biarkan!”
Bagai terhenti seketika degup jantungku. Aku langsung tidak terfikirkannya! Ya, tidak pernah terbit kerisauan tentang hal itu! Sedangkan kemungkinannya sangat tinggi!
Pantas tanganku singgah di perut. Ya ALLAH, aku tak mahu! Aku tak mahu benih hasil hubungan itu! Aku tak mahu!    
Tanpa dipinta, air mata berjuraian mengalir ke pipi.
“Bagi saya peluang, Anis. Bagi saya peluang untuk galas tanggungjawab yang saya cipta. Masih ada masa untuk kita lakukannya sekarang.” Suara itu terus menerobos masuk ke telingaku. Penuh kelembutan, dan penuh harapan.

No comments:

Post a Comment