Monday, September 17, 2018

Gerimis Kasih Kita 30

“Dah siap mandi nanti, makan. Mak dah bakar ikan haruan.”
            Aku menjawab dengan anggukan kecil. Sambil mata melihat Mak yang mula beransur ke ruang tamu dengan penyapu di tangan.  
            Perlahan-lahan aku melangkah ke bilik mandi. Jejak saja kaki ke dalamnya, satu baldi hijau berisi air panas terus kelihatan. Masih berasap, di sebelah kolah. Di birai kolah pula ada gayung. Mak siapkan sebentar tadi.
            Sudah hari ke-15. Dan dah satu minggu aku balik. Setiap kali nak mandi, Mak sediakan air panas. Kata Mak, kena jaga badan. Pantang tetap pantang, biarpun bersalin secara pembedahan, biarpun baby  dah ‘tiada’.
Makanya aku ikut saja. Mak lebih tahu. Kalau diikutkan, kesian tengok Mak bersusah-payah demi aku. Perhatian dan kasih sayang Mak kadang-kadang buat aku berair mata. Sambil mandi, sambil menangis. Terharu. Sungguhlah orang kata kasih ibu membawa ke syurga.
Di sebalik mata redup Mak, aku tahu ada kesedihan yang Mak sorokkan. Tapi Mak berusaha jernihkan air wajahnya. Melayani anaknya ini sebaik mungkin. Bahkan selalu berada di depan mataku. Menggembirakan anaknya dengan perhatian dan sentuhan kasihnya.
            Ya, hanya ibu yang boleh faham perasaan seorang ibu! Kesakitan .. dan kehilangan .. andai dibiarkan,  tentu saja emosi menguasai diri.
            Dan dalam kes aku, keadaan tentunya lebih buruk. Persoalan yang sekian lama berlegar dalam kepala baru sahaja terjawab. Dan sungguh, aku sudah cukup terhenyak dengan kebenaran. Ditambah pula dengan kehilangan anak, .. sememangnya aku rasa bagaikan kegelapan mengiringi hidup.
            Sebab itulah aku berkeras untuk balik ke kampung. Beberapa hari di hospital dan menghadap muka dua beradik itu sahaja sudah cukup menyakitkan. Datin Saira tidak sekalipun menunjukkan muka.  Dan aku bersyukur untuk itu. Sebaik sahaja keluar hospital, aku mahu terus ke pangkuan Mak. Tapi Rizwan berjaya menahan. Berperang dengan kesakitan, makanya aku kekalahan.
Aku dibawa ke rumahnya. Dan segala-galanya menjadi sangat sukar. Hati sarat dengan kebencian. Setiap saat terasa sangat lambat berdetik, bahkan terlalu menyakitkan. Tiada hari berlalu dengan tenang. Semua tentang dirinya menjadi bahan amukku. Tidak sesekali aku biar dia mendekat. Hingga akhirnya dia beralah. Mungkin dia juga lelah. Lalu kehendak aku dituruti.
Minggu lepas, ketika dia menghantar aku balik, hanya semalaman dia melepaskan lelah. Menjelang 10 pagi keesokannya, aku mendesak dia terus pulang. Tentu saja tanpa pengetahuan Mak. Kalau Mak dapat tahu, tentu saja aku pula kena marah.
           
Satu minggu lagi baru sahaja berlalu. Terasa kekusutan semakin berkurangan bila bersama keluarga. Lupa seketika tentang masalah hidup yang berpanjangan. Luka pembedahan juga beransur sembuh. Manakan tidak, pantang kawalan Mak sungguhlah ketat. Pantang dan larang yang macam-macam. Nasib baik masih mampu diikuti.
Tapi kemarahan cepat saja mencanak naik bilamana dia tiba-tiba terpacak di depan pintu. Sambil menahan sabar, aku diamkan diri. Mak menjemput menantunya masuk. Aku kira dia betul-betul beruntung, dilayan sebegitu baik.

Adik-adik aku masing-masing sudah masuk bilik. Mungkin juga sudah lena. Kesian, disebabkan ada Rizwan, semua terpaksa tidur awal.
Yang belum tidur lagi orang yang masih berborak di luar tu. Tak pasti pula sama ada Mak yang mahu berborak, atau dilayankan saja menantunya. Setahu aku, tadi Mak sibuk dengan kerja menyembat baju kurung. Mungkin sudah siap, mungkin juga tidak.
Aku sudah elok berbaring. Malam ni agak sejuk, tak perlu pasangkan kipas. Lampu pun sudah dipadam. Hanya mata masih terkebil-kebil tak mahu lena.
Seboleh mungkin aku tak mahu dengar suaranya. Tapi apa boleh buat, kuat pulak telinga ni tangkap bunyi. Tidak terlalu jelas, tapi masih boleh tangkap butir bicara. Mak bertanya pasal perjalanan tadi, .. pasal hidupnya akhir-akhir ni, .. dan pasal aku.
“Hmm ... macam tu la, Mak. Dia tertekan sangat agaknya.”
Eh, eh ... mengadu ke?!
“Maaf la Mak, sepatutnya Wan yang jaga Anis. Dah susahkan Mak pulak.”
Tak nak!
Siapa suruh datang?! Tambah susahkan Mak!
“Wan rindu Anis, Mak.”
Jelas sekali menusuk pendengaran.
Aku berdecit. Tiba-tiba rasa meluat. Sudahnya, aku tekupkan bantal, tutup dua-dua belah telinga. Tak mahu lagi dengar. Buat hati makin menyampah saja.

Dua bulan sudah berlalu ..
Aku masih di kampung. Sudah semakin sihat tentunya. Dan emosi semakin terkawal.
Rizwan datang setiap dua minggu. Semuanya masih seperti sebelum ini. Aku tidak mahu bergaduh, jadi aku buat tidak endah bila dia datang.
Ya, tentunya Mak bising! Aku selalu kena tegur, kena marah. Mak mengingatkan aku status dia. Suami. Ya, suami! Sepatutnya dilayan elok-elok .. dimaniskan muka, dilembutkan tutur kata, dirai bila tiba, dihantar ke pintu bila keluar.
Aku telan saja kata-kata Mak. Betul, Mak memang betul! Tak ada yang salah.  Cumanya hati ini tak mampu lagi nak buat macam tu. Lagi-lagi bila mengenangkan kejadian dalam hidupku.
Hari ini dia akan datang lagi. Jadi, aku kena bersedia. Mungkin masanya dah tiba.

Jam di dinding aku kerling. 5 petang.
“Jom keluar.”
Sudah 4 jam dia sampai. Dah siap mandi, tidur dan makan dah pun.
Kepala yang menghadap tv tadi berpusing. Dia tengok aku dengan mata terkebil-kebil. Makin lama makin kelihatan riak teruja. Dan perlahan-lahan terlukis senyum nipis di mukanya. Tambah pula aku sudah lengkap bertudung juga.
“Sekejap.” Dia bingkas bangun mencapai kunci kereta. Dan terus menuju ke pintu. Aku yang sudah di muka pintu mula menginjak satu persatu anak tangga ke bawah.
 Aku minta dia memandu menuju ke pantai. Sampai di sana, dia matikan enjin. Dan belum sempat pintu dibuka, aku tahan. Tak perlu turun bermain pasir atau ambil angin pantai, semua tu hanya membuang masa. Cukup beberapa minit dalam kereta saja, dan aku yakin kami akan selesai.
“Saya nak cakap sikit saja. Kat rumah ramai orang, susah sikit nak cakap.” Mukaddimah aku mulakan.
Selajur, degup di dada bertambah laju. Sebelum mula buka mulut tadi tak terasa pun.
Aku telan liur. Bibir aku gigit perlahan, dengan tangan aku rehatkan di tempat duduk. Cuba tenangkan detak yang kian kuat menghentak dada.
Dari hujung mata, terbias air mukanya yang sudah semakin tawar. Seakan dapat ditebak ke mana arah perbualan yang aku inginkan.
Muka aku palingkan ke luar tingkap yang dibuka luas. Ramai saja pengunjung pantai petang ini, tapi semuanya seakan-akan hanya latar belakang. Tidak kami terusik dengan bunyi dan figura sekeliling.
 Beberapa ketika kami diam. Hanya angin pantai laju menerobos masuk, membelai muka. Sedikit sebanyak mengurangkan panas aliran darah yang makin terasa di kepala.
Yakin rentak paluan jantung kian terkawal, aku berpaling ke arahnya. Di seat pemandu, Rizwan tegak memandang ke depan. Tangan kanannya disandarkan di pintu, dan ibu jari direhatkan di bibirnya.
“S ...”
Sebelum sempat aku bersuara, tangan kirinya pantas mencapai tangan kananku. Spontan termati bicara yang baru nak keluar.
Tiada suara terluah.
Jari disatukan. Digenggam, dan makin dikemaskan genggaman tanganku.
Kebisuan masih beraja.
Mataku menyoroti tingkah tangannya. Dan dirinya. Tenang tidak lagi kelihatan. Bahkan terasa getaran halus pada tautan jari-jemarinya.
Bagaikan terbius, pandanganku terpaku pada mukanya.
Hangat genggamannya tiba-tiba mendatangkan rasa sebak.
Dan genggaman kemas itu diangkat, didaratkan bibirnya pada tanganku. Dua tangannya menggenggam erat tanganku. Lama, .. sehingga dia hanyut dalam emosi dan hangat air matanya membasahi tanganku.
Terasa air hangat laju menerjuni pipi. Sepertinya hati ini merasai sesuatu. Dan tanpa sedar, tanganku juga turut membalas genggaman jari-jemarinya.

1 comment: