Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 10


A
ku memicit-micit kepala yang berdenyut sambil melangkah ke katil perlahan-lahan. Entah kenapa sudah dua tiga hari aku loya-loya dan muntah-muntah begini. Lemah seluruh tubuh. Nak kata tersalah makan, seingat aku tak ada makanan lain yang masuk ke dalam perut, melainkan yang aku masak sendiri. Terjamin kebersihannya. Tapi nak kata makan pun, tak macam makan. Asal masuk je makanan dalam mulut, terus tekakku kembang.
Kuhempaskan badan yang kepenatan ke katil. Terasa lega sedikit setelah hampir sepuluh kali berulang-alik ke tandas untuk hari ini sahaja. Mata yang hampir-hampir terpejam dek keletihan merayap ke dinding bilik. Jam dah menunjukkan pukul 3 petang. Baru 3 petang! Ya ALLAH, baru 3 petang aku dah sepuluh kali berulang-alik ke tandas!
Kuaturkan pernafasan perlahan-lahan. Degupan jantung yang tadinya tersangat laju semakin lama semakin teratur. Hanya beberapa ketika kemudian barulah dadaku terasa lapang.
Sambil baring mengiring ke kanan, aku melafazkan zikrullah. Ketenangan yang seakan menjauh daripadaku akhir-akhir ini dapat kurasai kembali. Semakin lama mataku semakin memberat, merapat dan melayu. Dan akhirnya, aku hanyut dalam dunia yang penuh ketenangan.

“Riz mintak maaf, bang. Riz tak ada pilihan. Lembaga Pengarah mahu abang bertanggungjawab atas kes hari tu. Diorang nak Riz pecat abang, tapi Riz faham, abang ada tanggungan. Lagipun jasa abang pada syarikat banyak, tak boleh senang-senang singkirkan abang macam tu je.”
Kedua-dua belah tangannya menguak rambut. Kemudian dia memegang kepala dengan siku yang bertongkat pada meja. Dan selepas itu rambut dikuak lagi.
Rizhan memerhatikan tingkah abangnya yang diulang-ulang. Belasnya mencurah-curah. Tetapi dia tidak mampu menjadi penyelamat lebih daripada yang dilakukannya. Kesalahan Rizwan sememangnya besar. Boleh diterima akal hukuman yang Lembaga Pengarah mahu jatuhkan, tetapi tak logik bagi pihaknya sebagai adik, juga sebagai pengganti peneraju syarikat selepas Rizwan. Sumbangan lelaki itu sangat banyak. Malah sangat mengagumkan. Bagaimana tergamak orang-orang itu memadamkan semua tu macam tu saja?
Matanya dipejamkan seketika dengan mulut yang terkumat-kamit. Rizhan menarik nafas dalam mendengar abangnya berzikir untuk menenangkan perasaan. Dilihat wajah keruh abangnya penuh minat. Ada sesuatu yang telah berubah.
Setelah hatinya tenteram barulah dia membuka mata.
“Abang terima, Riz. Terima kasih sebab tolong abang. Potonglah gaji abang, tapi tolong jangan pecat abang. Asalkan ada kerja untuk abang, itu dah cukup. Ambillah semua simpanan abang, cuma jangan ambil satu-satunya rumah yang abang ada. Abang boleh merempat, tapi kasihanilah isteri abang. Dia tak bersalah.”
Dipandangnya muka Rizwan dengan kerut seribu. Betulkah ini abang aku Rizwan?! Kenapa dia jadi begini?! Apa yang sudah jadi ni?!
Dia berlalu setelah menghulurkan salam pada adiknya.
Rizhan menyoroti langkah abangnya sehingga susuk tubuh lelaki itu hilang daripada pandangan. Benar dia hairan. Abangnya benar-benar telah berubah. Bukankah dulu Rizwan suka bercakap ‘aku’, ‘kau’?! Bukankah dulu Rizwan akan memprotes dan bertindak balas apabila haknya dirampas?! Bukankah dulu Rizwan tidak akan beralah apabila dia diketepikan?! Ke mana pergi semua sikap itu?! Mana Rizwan yang dulu?!
Dia meraup muka berkali-kali. Sungguh menghairankan! Rizwan sekarang tak lagi agresif. Rizwan sekarang menenangkan dirinya dengan kalimah-kalimah suci. Rizwan sekarang meletakkan kepentingan orang lain berbanding dirinya. Rizwan sekarang .. argh! Terlalu banyak lainnya! Termenung dia memikirkannya.
Tanganku memicit-micit kepala. Aku masih tak boleh percaya berita yang hampir sejam lalu disampaikan ke telingaku.
“Tahniah, puan! Puan mengandung.”
Tidak, tidak! Semua tu tak mungkin! Mustahil! Mustahil!
“Mustahil!”

Rizwan mampir ke sisi isterinya yang termenung sejak pulang dari klinik tadi. Dilabuhkan punggungnya pada birai katil, betul-betul di sisi Anis.
“Sabar, sayang.” Ucapnya. Kalau diikutkan, memang dia nak bersorak gembira. Tetapi perasaan itu tergugah sedikit melihat reaksi Anis yang bagaikan melihat kematian.
Dia mengusap-usap belakang Anis.
“Doktor tu tipu aku, kan? Aku tak mengandung. Aku baru saja kawin, mana mungkin aku dah mengandung, kan?”
Bibirnya diketap kemas. Mengucap panjang mendengar kata-kata Anis.
“Dia tu penipu. Kau tau, dia tipu aku. Dia kata aku mengandung. Bodoh! Macam mana dia boleh jadi doktor. Penipu.”
Setitis air mata gugur. Ya ALLAH! Tabahkanlah hatiku.
“Kau ni teruklah. Aku dah kata tak nak pergi klinik dia, kau paksa aku pergi. Tengok, dia tipu kita. Doktor penipu. Aku tak mengandung la. Aku tak mengandung.”
“Cukup, Anis! Cukup!” Bibir halus itu ditekup dengan tangannya.
Berderaian air mata menerjuni pipinya. Wajah terkejut Anis kelihatan berbalam pada matanya.
“Terimalah hakikat. Sayang mengandung.” Bahu wanita itu digoncang berkali-kali.
“Tak! Aku tak mengandung! Kau penipu!” Air mata sudah terjun laju dari kolam matanya. Ditepis laju tangan lelaki itu yang memegang kemas bahunya.
  “Mengucap, sayang. Mengucap. Sayang mengandung. Terimalah hakikat. Jangan macam ni, tak baik.”
“Tak! Aku tak mengandung! Aku tak mengandung! Kau tipu aku!” Kedua-dua belah tangan digenggam, lalu dipukul-pukul perutnya sendiri. Sungguh semua ini mustahil. Sungguh semua ini tidak dapat diterima.
“Astaghfirullahal’azim. Mengucap, Anis! Mengucap!” 

No comments:

Post a Comment