Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 15


D
ia melabuhkan punggung ke kerusi. Disandarkan tubuh yang kepenatan dengan mata yang terpejam rapat. Nafas disedut rakus, memenuhi rongga hidung.
Entah kenapa hari ini terasa keletihan yang berganda. Padahal ini bukanlah kali pertama dia memerah otak di pejabat sehingga jam tepat ke angka lapan malam. Tetapi penat yang dirasai sekarang seolah-olah dia baru selesai membanting tulang mengerjakan sawah sebendang. Tak tahu macam mana nak gambarkan keletihan itu.
Sekilas peristiwa petang tadi terlayar di ruang mata. Anis, si pujaan hati yang terpacak tegak di depan mata. Berbunga-bunga perasaannya. Namun saat itu juga hatinya bagai dicakar-cakar. Wanita itu sudah dimiliki. Malahan bakal menyambut kedatangan ‘orang baru’ dalam kehidupan yang dikongsi bersama pasangannya.
Satu keluhan berat dilepaskan. Barangkali kerana itulah tubuhnya melemah. Segumpal darah yang tersembunyi nun jauh di lubuk sana sedang dihurung kesedihan. Dia sudah terlewat. Pelangi indah yang baru melakar di langit hati sudah berlalu dibawa taufan kekecewaan.
Album gambar dicapai. Dibelek-belek rakaman wajah wanita itu. Wanita yang telah berjaya menceriakan kembali hatinya yang pernah remuk redam. Tetapi sekarang, dia merasai lagi sakit kehilangan itu.
Tiba-tiba dahinya berkerut seribu. Sekeping gambar tiada!
Dikerah-kerah ingatannya cuba ingat balik mana bila masanya dia keluarkan gambar tu. Tak berjaya! Ini bukan kali pertama dia menjejak gambar itu, tetapi masih tidak berjaya.
Tentu ada dalangnya!
Kata-kata itu berulang kali bergema dalam kepalanya. Manakan tidak, mustahil sekeping objek tak bernyawa itu tiba-tiba ada kaki, berjalan ke situ ke sini. Selamat keluar daripada satu album yang tebal dan tersorok pulak tu. Ish .. ajaib!
“Sah! Dicuri! Tapi .. siapakah watak yang bertanggungjawab atas kecurian ini?!”
Rizhan garu kepala yang tidak gatal.

Lelaki itu bergegas masuk ke dalam bilik tidurnya sebaik kaki menjejak ke dalam rumah. Kemudian, dia muncul semula. Kali ini dengan persalinan yang sudah berganti. Terkocoh-kocoh dia ke dapur. Jalannya tak payah cakap, langsung tak pandang aku yang sedang melihat tepat ke arahnya.
Aku sibuk memerah otak sambil melabuhkan punggung ke sofa. Perut sudah semakin membesar, perlu sangat berhati-hati untuk bergerak.
Kenapa dengan dia? Kejarkan apa kat dapur tu?
Aku kerling pandang ke arah dapur. Manalah tahu kot-kot lelaki itu akan keluar, bolehlah aku bertanya. Dahsyat benar tergesa-gesa dia tu. Aku yang baru balik dari masjid sekali dengan dia ni pun baru nak duduk, dia dah siap bersalin baju.
Kepala sudah berselirat dengan macam-macam persoalan. Tapi sebaik sahaja telinga menangkap bunyi pancuran air, dan kemudian diikuti dengan irama memberus kain, semua teka-teki itu sudah terjawab dengan sendirinya. Dah tak perlu difikir-fikirkan lagi.
Tetapi aku masih kehairanan. Sejak akhir-akhir ini dia sudah tidak menghantar pakaian untuk didobi. Semuanya dibasuh sendiri. Hatta pakaian aku sekali pun.
Kenapa, ya?
Macam-macam perkara tentang lelaki itu bermain di fikiran. Dan sepantas kilat perihal tukar kereta singgah di tubir ingatan. Pasal dia sediakan sarapan pagi, dan dia lebih banyak menghilangkan diri pada hari cuti. Bila aku tanya, katanya ada hal sikit. Tapi takkan tiap-tiap hujung minggu keluar, hal tu tak selesai-selesai? Musykil, musykil ..

Tangan kiri memegang kemas tangkai kole, sementara jari-jemari kanan menari-menari di permukaan. Itu tindakan spontan apabila berdepan dengan lelaki ini di meja makan. Makannya dah selesai, tapi dah jadi tabiat pulak duduk melepak, minum-minum selepas menjamu selera.
Aku tenung je dia. Tapi mulut masih tak mahu berbunyi. Hanya mata setia menyapu wajah bersihnya.   
Dia yang tengah khusyuk menghirup Nescafe panas mendongakkan kepala. Agaknya ketajaman mata aku ni sampai rasa tertusuk ke tubuh dia kot.
Cepat-cepat aku kalihkan pandangan. Berlagak konon-konon ralit tengok kabinet.
Dia tergelak kecil.
“Kenapa? Cakap je, abang dengar.” Rizwan sudah bersuara.
Hah! Amik kau. Kan dah terkantoi.
Untuk beberapa saat, aku diamkan diri. Minda bergerak aktif menyusun ayat.
Tarik nafas, hembus. Ok. Mulakan.
“Er .. em .. “ Alahai .. tersangkut la pulak.
Rizwan kerut kening. “Hm .. ? Tak apa, cakap je.” sambungnya lagi.
Aku cuba nak bersuara, tapi tak terkeluar. Tak tahu kenapa suara ni tak nak keluar daripada peti suara, atau dalam istilah Sainsnya larynx.
“Tak apa lah. Lupakan je.” Akhirnya aku sendiri mengalah.
 “Tukar kereta, sediakan sarapan, basuh pakaian sendiri .. pasal tu ke?” Dia pula menyoal.
Aku senyap tak berkutik. Menanti sahaja apa yang bakal diutarakannya.
 “Sekarang ni .. abang kena usaha sendiri untuk bina hidup kita.” Dia diam sebentar.
 “Harta, pangkat, jawatan, dan semua kemewahan yang abang ada sebelum ni dah tak jadi milik abang lagi. Semuanya dah ditarik balik.” Sambungnya lagi.
“Apa yang berlaku tu, tak perlulah abang ceritakan. Cuma sekarang ni abang nak mintak maaf sebab tak dapat bagi Anis hidup mewah. Setakat ini je abang mampu bagi.”
Pandang matanya yang terpancar bening kesayuan, dengar suaranya yang lirih, terasa hampir luruh jantungku. Rupa-rupanya inilah penyebab perubahan drastik suami aku ini. Baru aku tahu.
Tiba-tiba terlintas di fikiranku .. “Awak dah tak berduit la sekarang ?”
Tapi semua itu hanya berlegar-legar dalam kepala sahaja.


Pusing kanan. Mata terkebil-kebil pandang dinding warna peach. Sesaat, dua saat .. pusing kiri. Langsir rona keemasan jadi habuan mata. Satu, dua ..
Aku bangkit daripada pembaringan. Susah pulak mata ni nak lelap. Dari tadi hanya muka dengan suara Rizwan je terbayang-bayang, terngiang-ngiang. Sampai rasa mengantuk pun sudah melesap ke mana.
Perlahan-lahan aku mengengsot ke kepala katil. Duduk menyandar di situ dengan sebiji bantal diletakkan kat belakang. Bila sudah rasa selesa, barulah aku mula melayan perasaan. Mengenangkan Rizwan. Serta-merta hati jadi sayu. Kesian kat dia.
Kerja memanjang. Susah nak tengok muka dia kat rumah. Nak cakap panjang pun tak pernah ada masa. Kan bagus kalau dia reti jugak duduk rumah lama-lama.
Eh, kejap .. kenapa aku nak dia selalu ada depan mata ni?!
Erk! Tak, tak ada apa-apa! Aku cuma kesiankan dia. Ya. Dia sepatutnya kena banyak berehat. Kena jaga makan. Ni tak, susah benar nak tengok dia makan. Selalu kata dah kenyang, makan kat luar.
Er .. macam mana nak makan kat rumah kalau memasak pun tidak?! Dia tu sah-sah tak reti langsung pegang sudip, pegang senduk. Tengok cara dia basuh baju pun dah tahu. Orang tak pernah hidup susah, mana la pernah buat kerja-kerja rumah ni.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Ya ALLAH .. kenapa aku sibuk sangat pikir pasal dia ni?! Padahal dia tu la manusia tak guna yang dah hancurkan hidup aku. Kalau bukan sebab dia, aku takkan jadi macam ni. Aku tak perlu jauhkan diri daripada semua orang yang aku sayang macam sekarang. Putuskan hubungan dengan Abang Naim .. kalau bukan sebab dia, tentu aku sudah berbahagia dengan lelaki yang aku cintai tu.
Teringatkan semula perbuatannya buat aku rasa panas. Hidup aku berubah 360 darjah kerana dia. Semua impian dan anganan aku musnah. Hancur lebur.
“Kau silap, Anis! Bukankah dulu kau pernah cakap, selepas kahwin kau nak duduk goyang kaki je kat rumah? Kau dah lupa? Sekarang kau dah dapat apa yang kau nak.”
Tiba-tiba ada suara bergema. Aku jadi kaget seketika.
“Ya, memang aku pernah cakap macam tu! Tapi pada Abang Naim, bukannya Rizwan yang datang entah dari pelosok mana tu!”
“Rizwan lebih baik daripada Naim yang kau sanjung-sanjung tu.”
Suara itu masih membalas. Gayanya macam nak menangkan Rizwan sahaja.
“Heh, tolonglah! Dia rosakkan hidup aku! Kalau bukan sebab dia, aku takkan hidup macam ni!”
Aku tahu kata-kata itu keluar daripada emosi aku yang tengah marak.
“Belajar agama, solat di masjid, masuk kelas mengaji .. hidup macam tu ke yang kau maksudkan? Kalau kau kahwin dengan Abang Naim, kau rasa dia akan buat tak macam yang Rizwan buat tu?”
Aku terpana seketika. Ya, Rizwan buat semua tu. Katanya, dia tak mampu nak mengajar aku. Jadi dia mengajak aku bersama-samanya belajar.    
Kali pertama dia suarakan hasrat murninya tu, aku baru sebulan lebih diijab kabulkan dengan dia. Waktu ‘perang’ masih tengah panas. Aku ingat lagi macam mana dia sanggup tahan telinga dengar aku berleter kerana mengganggu privasi aku di bilik ni. Berjela-jela aku marah dia, tapi dia tetap tayang muka cool. Padahal aku dah cuak tengok cuping telinga dia yang merah menyala.
Buat ke sekian kalinya, aku tarik nafas dalam-dalam lagi. Dulu masa keluar dengan Abang Naim, dia lebih suka kami balik solat di rumah. Mungkin dia tak mahu keluar lama-lama sangat, walaupun kami sebenarnya bertiga dengan adik aku. Aku tak tahulah kalau itu boleh dikategorikan sebagai satu sikap buruk ataupun tidak.
 Tapi Rizwan .. ya, dia banyak berubah. Dulu dia panggil aku “sayang”. Lepas aku banyak-banyak kali marah, dia dah tak guna perkataan tu. Dulu .. entahlah, bagi aku semua pasal diri dia merimaskan dan buat aku panas hati.
Sekarang ni, dia layan aku baik-baik. Kalau aku tak suka, dia tak paksa. Kecuali bila melibatkan kandungan dan kesihatan. Dia sediakan semua keperluan aku, walaupun dia sebenarnya sudah hampir kekeringan duit.
Mungkin semua tu disebabkan rasa bersalah, tapi .. sehari ke sehari, layanannya menghakis sedikit demi sedikit rasa benci dan marah aku padanya. Aku sudah boleh duduk semeja dengannya. Sudah boleh berbual-bual, cuma mungkin tidak semesra pasangan lain.
Pandanganku jatuh ke perut. Teragak-agak aku memegangnya. Perlahan-lahan, tanganku mengusap-usap perut yang kian membesar itu.
Saat itu, terasa ada suatu perasaan aneh menyelinap. Kali pertama aku berbuat begini. Kali pertama mengusap ‘dia yang berada di dalam’. Aku tak tahu macam mana nak gambarkannya, tapi sungguh .. aku merasa senang.
“Anakku ..”  

No comments:

Post a Comment