Langkahan kaki diberhentikan. Masing-masing berdiri tegak
di situ.
Sudah terbiasa, aku terus membuka pintunya. Berkira-kira
untuk meloloskan diri ke dalam, tetapi tingkahku terhenti bilamana melihat riak
di muka Ayuni. Jelas terpampang kebingungan di situ.
Ayuni mengalihkan pandangannya ke arahku.
Mata kami saling bertatapan. Lalu, aku garitkan senyum
kecil untuknya, beserta anggukan. Hanya beberapa ketika kemudian, barulah rona
mukanya kian tenang. Dan dia terus menempatkan diri ke dalam perut kereta.
Peristiwa tadi terbayang-bayang kembali di ruang mata.
Secara semerta menarik segarit senyum nipis menempel di juring bibir.
Kami bertiga keluar makan tengah hari .. bersama-sama
Burhan, dan juga Rizhan. Sesi perjumpaan yang Ayuni usahakan .. dan membuka
ruang untuk dia melihat perubahan dalam kehidupan aku dan abang iparnya.
Aku juga mempamerkan respon sebegitu, tika pertama kali
menghadapinya. Hyundai Genesis bertukar menjadi Kancil .. suatu kejadian yang
sudah pastinya mengundang pelbagai persoalan memenuhi benak.
Kole yang masih berasap nipis aku tarik rapat ke bibir.
Disisip perlahan Horlicks yang masih panas suam-suam kuku itu.
Nikmatnya!
Tiba-tiba, susuk tubuh Ayuni muncul di depan mata. Tegak
terpacak dalam persalinan t-shirt lengan panjang rona biru laut dan seluar track blue black. Tudung hitam kemas
tersarung membaluti kepalanya.
Dia mampir, dan melabuhkan duduk di kerusi sebelah
kiriku.
“Abang Wan kerja, belum balik lagi.” Tanpa dipinta aku
memberitahu. Secara tak langsung memaklumkan yang dia tidak perlu bertudung
buat masa sekarang.
“Kerja?” Soalnya sepatah.
Sudah kujangka dia akan bertanya. Dan raut mukanya tak
sunyi daripada kerut-kerut yang berlapis.
“Hurm .. kerja sampingan. Dalam pukul satu baru balik.” Sambungku
perlahan.
Ayuni kulihat menelan liur. Kelihatannya dia cuba
memahami situasi yang tidak terjangkau sebegini. Diam tanpa menyambut
kata-kataku.
“Air apa?” Dia menyoal lagi, setelah sepi seketika.
“Horlicks.” Aku menjawab ringkas. Kole itu aku unjukkan
kepadanya.
Ayuni menyambut. Diteguk perlahan-lahan sebelum
meletakkannya kembali di depanku.
Dia diam lagi. Mungkin sedang merangka ayat-ayat yang
manis didengar.
“Akak .. apa sebenarnya dah jadi ni? Yuni tak faham ..
macam banyak benda dah berubah.” Akhirnya dia bermukaddimah.
Persoalan yang sudah aku jangkakan. Tapi aku diamkan diri
dahulu. Senyap sebentar sebelum mula memberi penerangan.
“Sejujurnya, akak pun tak faham apa yang dah jadi. Cuma
yang akak tahu, Abang Wan dah tak semewah dulu. Semua kesenangan tu dah ditarik
balik. Dan sekarang .. dia banyak buat kerja sampingan lepas waktu pejabat.”
Tenang aku tuturkan. Namun, tidak sebegitu perasaan dalam dada. Terjentik rasa
sayu, rasa sebak.
“Dah lama? Mak tak tahu, kan?” Jelas sekali dia cuba
memahami dengan sedalam-dalamnya.
“Sejak lepas kahwin .. Akak tak pernah bukak cerita ni
pada siapa-siapa. Dan akak harap benda ni kekal rahsia .. melainkan Mak sendiri
dapat tahu.”
Panjang lebar aku menjawab. Dan sempat aku titipkan pesan
agar ia menjadi rahsia kami.
Kelopak matanya dikerdipkan beberapa kali. Aku tahu dia
gusar dengan keadaanku. Namun, aku terus berharap. Memandangnya dengan raut
wajah penuh pengharapan. Akhirnya dia mengangguk. Bersetuju walau tanpa rela.
Cawan yang masih berasap ditarik mendekat. Sudu kecil
yang ditenggekkan di birai piring ditenggelamkan hujungnya dalam larutan berwarna
hitam pekat itu. Dilarikannya dalam gerakan membulat, mengikut arah putaran
jam. Hampir lengkap tiga pusingan, ia dikeluarkan dan dikembalikan ke posisi
tadi.
Gerak laku yang penuh tertib. Terpesona Rizhan
melihatnya.
Penuh cermat cawan itu dibawa ke bibir, dan disisip
perlahan-lahan.
Sekali lagi kekaguman melanda. Nampaknya lelaki ini
benar-benar menikmati minumannya.
“Aku kenal dia sejak kecil. Sekolah sekali, sekelas pulak
tu.”
Bicara tiba-tiba Burhan mematahkan ralit Rizhan. Lekas
anak mata yang masih melekap pada gerak tangan beralih ke muka lelaki itu.
“Dia ok, tak ada perangai pelik-pelik.” Dia menyambung
lagi.
“Setahu aku, kau pun kenal dia.”
Selepas beberapa baris jawapan diluahkan, dibalikkan pula
persoalan pada Rizhan. Secara tak langsung menzahirkan kehairanan atas
pertanyaan yang diajukan.
“Um .. Langkawi. Setakat tu je.” Ringkas Rizhan menjawab.
Membela dirinya atas rasionaliti bertanyakan perihal Nurul Anis pada Burhan.
Burhan tergelak kecil.
“Tiba-tiba jadi kakak ipar kau, kan? Hidup ni memang
pelik.”
Ada rasa hairan, ada juga rasa lucu mengenangkan rantaian
perkaitan antara satu sama lain. Rizhan yang pernah cuba mendekati Anis kini
menjadi adik ipar perempuan itu. Anis yang bercinta sakan dengan Naim,
tiba-tiba berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah dikenali. Dan dia sendiri
.. daripada kawan Anis, bakal melengkapkan hidup bersama adik kepada kawannya
itu.
Itu belum lagi sentuh tentang Naim yang bakal berumah
tangga dengan Raudhah, sepupunya yang pernah menjadi rakan serumah Anis. Dan
lebih mengujakan .. Rizwan dan Rizhan adalah dua beradik peneraju RZ Holdings,
empayar yang sangat dikagumi .. pesaing tradisi bekas bapa saudaranya.
Tapi perihal Naim didiamkan sahaja, tidak dikhabarkan
pada Anis. Ayuni juga bertindak begitu. Mereka yakin ia yang terbaik buat
wanita yang telah berumah tangga itu.
Mungkin lucu bagi Burhan, tapi kata-kata itu bagaikan
pisau yang menggores luka pada hati Rizhan. Yang termampu dilakukan hanyalah
menggarit senyum tawar di juring bibir. Tidak mengiyakan, tidak juga menafikan.
“Han?” Satu suara tiba-tiba bergema.
Rizhan dan Burhan serentak memanggung kepala. Seorang
perempuan berdiri tidak jauh dari meja. Seorang lagi berada terkebelakang
sedikit. Mungkin itu rakannya.
“Adah! Dari mana?” Burhan bernada ceria. Terkejut disapa
sepupunya tika berada di meja restoran.
Adah turut tersengih riang. Sempat pula matanya
mengerling lelaki yang tekun memerhati antara dia dan Burhan.
“Makan. Sekarang aku ada kursus kat sini, tumpang rumah
kawan aku. Kau? Bussiness?” Laju
mulutnya menyoal. Manakan tidak, mereka berdua sama-sama bekerja di Senai,
tiba-tiba terserempak di Muar ini. Sah-sah teruja tahap gaban!
“Saja je.” Ringkas dia menjawab.
“Eh, kau ada jumpa tak Anis?” Adah lekas memotong bicara
Burhan. Keterujaannya di tahap maksima.
Seruan satu nama yang berjaya membuatkan mata Rizhan
tepat menikam ke muka perempuan yang tiba-tiba terpacak di antara dia dan
Burhan. Kepekaan telinganya bertambah, bersedia menangkap sejelas-jelasnya
butiran percakapan antara dua manusia .. semestinya kerana wanita itu yang
menjadi tajuk perbincangan!
“Ada. Aku hantarkan Yuni pergi rumah dia.” Suaranya
mengendur.
Seronok dapat bertemu semula rakan yang juga bekas
pekerja, tetapi ada kegusaran turut timbul. Adah tentu sekali akan mendesak
Anis menghadiri hari bahagianya. Sedangkan di luar pengetahuannya, lelaki yang
bakal bergandingan memakai persalinan raja sehari itu adalah sebahagian
daripada masa silam Anis. Semestinya ia akan merobek hati wanita itu, meskipun
ada lelaki bernama Rizwan telah memunculkan diri dalam hidupnya.
Dia mula kehairanan. Kelihatannya kedua-dua manusia ini
tercari-cari wanita bernama Anis. Tapi kenapa? Akan mencari kalau berlaku
kehilangan. Tapi .. tak mungkin wanita itu hilang!
Dan panggilan itu .. ‘Anis’! Bukan ‘Nurul’?!
“Ayuni datang sini?” Makin semangat perempuan itu
menyoal, siap membulat biji matanya.
“Ha’ah.” Sepatah sahaja Burhan menjawab.
“Ni .. kenalkan, adik ipar Anis .. Rizhan.” Sela lelaki
itu lagi.
Rizhan tersentak. Tiba-tiba namanya diseru.
Mata kedua-duanya terarah pada dirinya. Sudahnya, dia
menarik senyum nipis perlahan-lahan. Ditentang pandangan Adah yang masih
terkelip-kelip. Barangkali terpana dengan ketidaksangkaan sebegini.
“Adah .. bekas teman serumah Anis.” Sambung perempuan itu
kemudiannya.
Pengenalan diri yang terus meresap masuk ke kotak memori
Rizhan.
Sekejapan, senyum ditarik lebar. Dianggukkan kepalanya
berkali-kali.
“Nice meeting you!”
Lafaz itu meluncur laju dari bibirnya.
Adah hanya membalas dengan seulas senyum.
next en3 please..,.
ReplyDelete