Saturday, March 28, 2015

Gerimis Kasih Kita 23 (ii)


“Okey. Bye.” 

Punggung dilabuhkan seraya batang tubuh disandarkan pada dada kerusi. Telefon bimbit yang masih di tangan diletak cermat ke atas meja. Tetapi tidak dibiarkan sahaja, alat komunikasi itu dipusing-pusing dengan hujung jari kanan. Berulang-ulang kali pusingan perlahan membentuk bulatan dihasilkan, sambil bebola mata terus-menerus menerobos jauh menggerudi permukaan meja kaca.

Tan Sri Adif. 

Sepotong nama yang takkan mungkin dipadamkan daripada sejarah kelangsungan RZ Holdings. Sehingga ke saat ini, kewujudan lelaki itu bagaikan seekor ular berbisa yang tidak henti-henti menyemburkan racunnya. Sejauh mana pun melarikan diri, racun itu tetap menempias, menyengat hingga ke dalam saraf. 

Dan sekarang ... dia sendiri mempertaruhkan nyawa di hadapan sang ular!

Risiko yang sangat membahayakan. Menyedarinya membuatkan Rizhan menarik nafas dalam. Rengkung pula memanjang, menelan liur. Dari dulu dia menimbang, perlu atau tidak dia berundur. Tetapi tiada jalan keluar mampu ditemui, melainkan ‘bertarung’, bukannya ‘bersembunyi’ seperti yang RZ Holdings lakukan sejak sekian lama.

Temu janji hujung minggu nanti. Mengeratkan lagi perkenalan yang dibina. Walau masing-masing menabirkan berbuku-buku agenda di sebalik senyum lebar, tetapi masing-masing telah menyedari. Mengikut rentak permainan sang lawan, mempertaruhkan diri sendiri dalam permainan yang tiada batasan peraturan, tiada batasan masa, bahkan tidak diketahui watak-watak lain yang turut terbabit. 

Lelah sendiri dengan simpang-siur yang membeliti minda, dia bangkit dari kerusi. Menyusun langkah ke muka pintu sambil kotak memori mengulang tayang selafaz kata-kata magis yang terbit daripada mulut Ayuni semasa di Langkawi dulu, “Mati itu pasti. Hidup .. insya’ ALLAH”. Beriya dia memuji kepandaian Ayuni bermadah, alih-alih, “Yang pandai tu Ramlee Awang Murshid. Saya tolong ulang aje.”

Semerta segarit senyum menempel di bibir.


            “Tidur sini la. Dah malam-malam ni, berembun. Tak elok ibu mengandung jalan-jalan kat luar lagi.” Lunak suara Datin Saira menerobosi telinga. Kedua-dua tanganku turut digenggam wanita itu.

            Tingkah yang merenjatkan tindak balas tubuhku. Jadi tak jadi senyum yang cuba aku tarik di bibir. Mata pula melingas-lingas antara muka Mama dan Rizwan. Berharap dan terus berharap lelaki itu tidak meneruskan kesenyapannya. 

Tetapi .. sepertinya harapan tinggal harapan! 

Boleh pula dia diam dengan mulut membisu macam tu.

“Tidur sini, ya?” Sambung Mama lagi. Matanya dikerdip-kerdipkan beberapa kali.

            “Err ... tapi .. “

            “Kenapa, Ma?”

“Hah!”

Baru fikiran merangkak-rangkak mencari alasan, tiba-tiba datang satu suara menyergah. Aku dan Mama sama-sama terjerit dengan sergahan itu.

Sudah nampak figura Rizhan di situ, barulah masing-masing mengurut dada. Meredakan degup jantung yang masih menggila.

“Han ... terkejut Mama, tau!” Marah Mama. Tangan masih melurut-lurut dada.

“Masuk tak bagi salam, disergahnya pulak. Nasib baik Mama tak pengsan, tau!”

Dahi Rizhan berkerut-kerut. Tak pasal-pasal kena marah.

“Dah tiga kali Han bagi salam.” Sepertinya Rizhan mempertahankan dirinya.

“Kenapa, Ma?” Rizhan mengulang lagi soalannya. Sudahlah dia tidak tahu abangnya akan berada di sini malam ini, ada pula drama sebabak. 

“Kenapa, apa?” Giliran Datin Saira pula kerut dahi.

Aku juga tak faham soalan Rizhan. Tiba-tiba saja tanya macam tu.

“Tadi ... Mama ... dengan Kak Nurul ...” Rizhan semakin mampir ke sofa yang kami duduki.

Terkebil-kebil seketika mendengar soalan Rizhan.

“Oh! .. Tadi tu? ... Tadi, .. Mama pujuk Nurul bermalam sini. Dah jauh malam ni ... tak elok berembun kat luar lagi.” Datin Saira sudah memahami soalan ditanyakan Rizhan. Bersemangat kembali dia menuntas pandangan ke arahku.

Rizhan sekadar membuat muka kelegaan. Sangkanya ada sesuatu telah berlaku sehinggakan drama seperti tadi bersiaran.

“Betul kata Mama, Kak Nurul. Bermalam sini je. Bilik Abang Wan kat atas, dah lama Mama kemas. Mama sebenarnya dah lama nak suruh Abang Wan dan Kak Nurul balik duduk sini semula.”

Habis saja Rizhan berkata-kata, semua mata tertala ke arah Mama. Berubah sedikit riak muka Mama. Diam saja dia.

“Cuma Mama belum jumpa masa sesuai nak bagitau.” Sambung Rizhan lagi.

Aku dan Rizwan ... masih memaku pandangan ke wajah Mama. Masih terlukis riak kehairanan pada muka kami. Aku pasti itu.

Dan Mama tidak lagi berkata-kata, apalagi menafikan. Hanya berusaha memaniskan roman mukanya. Sedang pandangan mata sedaya mungkin dialihkan daripada berpapasan dengan aku mahupun Rizwan.

Rizhan bernafas kelegaan. Kebaikan demi kebaikan semakin menyirna dalam keluarga mereka. Hati yang berantakan terasa semakin kental. Lelah mengatur segala macam langkah terasa menghilang. Sedikit masa lagi ... mungkin kebahagiaan yang kian bercambah ini akan mekar menyubur, mengharumkan kembali kediaman ini. Dalam diam, dia terus berharap ...

No comments:

Post a Comment