Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 9


S
ekeping foto dipegangnya erat. Ditatap dan terus ditatap imej pada foto itu tanpa rasa jemu. Ya, dia tidak pernah jemu! Hampir setiap hari direnung, tetapi rasa jemu itu tidak pernah hadir. Melainkan sebuah kepuasan dan kerinduan yang kian bercambah dari sehari ke sehari.
Segarit senyuman diukirkan. Rasanya sudah berbulan-bulan dia bagaikan pungguk merindukan bulan. Saban waktu dia ternanti-nanti si manis dalam foto itu menghubunginya, tetapi harapan tinggal harapan. Sudah ditinggalkan nombornya, tapi ternyata si ayu itu masih tegar membuatkan dia tertunggu-tunggu sebegini.
Perlahan-lahan kepalanya disandarkan pada kerusi. Sedang foto itu masih setia pada pandangannya. Terkenang kembali pertemuan antara mereka. Sungguh indah saat itu. Tatkala wanita itu asyik menikmati keindahan panorama alam, dia pula tekun melakarkan potret si wanita. Kemudian dia memberanikan diri menghantar lukisan tersebut kepada model tak diiktiraf itu, membuatkan wajah mulus itu berkerut seribu. Taktik perkenalannya hampir tidak berjaya sehinggalah seorang wanita bernama Ayuni muncul. Watak tambahan itulah yang telah menjayakan rancangannya.
Keluhan nipis diluahkan. Memang sehabis cara diikhtiarkannya untuk mendapatkan alamat dan nombor telefon si ayu Anis, tetapi akhirnya terpaksa mengaku kalah. Wanita itu terlalu perahsia orangnya. Ditinggalkan nombornya pada Anis bersama titip pesanan supaya menghubunginya. Tapi sampai sekarang dia tidak mendengar suara lunak itu. 
Teringatkan Anis membawa ingatannya kepada Rizwan. Semalam abangnya itu memaklumkan bahawa dia sudah selamat diijab kabulkan. Kata Rizwan, isterinya orang Kota Bharu.
Perkhabaran itu menggoncang hebat jantungnya. Mungkinkah Anis? Persoalan itu berlegar-legar di minda, membuatkan dadanya menyesak. Lagi sakit jiwanya bila mana permintaannya supaya dikirimkan foto si kakak ipar tidak dilayan Rizwan. Haru-biru hati jadinya.
Bukan Anis seorang saja wanita di Kota Bharu tu. Tentu orang lain yang kahwin dengan Rizwan! 
Dilaung-laungkan kata-kata itu di fikiran, sekadar untuk menyedapkan hati.

   Tangan ditadah untuk mengaminkan doa. Beralun-alun suara menantunya mengalunkan rintihan dan permohonan kepada Yang Maha Esa. Dimulakan dengan puji-pujian kepada Pencipta, kemudian selawat dan doa kepada kekasihNYA, Nabi Muhammad S.A.W., barulah dipohon keampunan atas dosa-dosa dan keredhaanNYA di dunia dan akhirat. 
  Tatkala imam sudah menamatkan bacaan doanya, dia meraup muka. Seorang demi seorang zuriatnya menghampiri, menyalami dan memohon kemaafan, lantas mencium pipi berkedutnya. Lafaz kesyukuran bergema di dalam hati tuanya. Betapa dia berbahagia dengan tingkah anak-anak yang diasuh bersendirian itu.
“Mak nak cakap sikit.” Dia bersuara perlahan setelah menantunya mengambil giliran bersalaman.
Syafiq yang sudah membuka langkah ke bilik kembali ke ruang tamu rumah, tempat mereka menunaikan solat. Punggungnya dilabuhkan di sudut berhampiran. Anis dan Ayuni yang masih belum membuka telekung membetulkan duduk. Kedua-dua beradik itu mengapit Puan Salbiah di tengah-tengah mereka. Adila dan Amna yang baru sahaja berdiri turut duduk semula. Rizwan memakukan tubuh bertentangan dengan mertuanya.
Kini, lima pasang mata menalakan pandangan tepat ke arahnya. Seorang demi seorang anak menantu ditatap silih berganti. Wanita itu menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Dibetul-betulkan letak duduknya.
“Mula-mula sekali, mak nak ucapkan selamat datang kepada menantu sulung mak. Kamu dah jadi suami anak mak, jadi abang kepada adik-adik Anis ni. Jadi, selamat datang ke dalam keluarga kami, Rizwan.” Mukaddimahnya mengundang tawa kecil di bibir Ayuni, Adila, Syafiq dan Amna. Anis pula menundukkan muka. Rizwan sekadar tersenyum.
Sepi seketika. Tidak ada sesiapa yang bersuara kerana anak-anaknya telah dididik dengan adab sopan ketika berkomunikasi, “jangan menyampuk ketika orang sedang bercakap, lebih-lebih lagi orang tua”.
“Bila berkahwin ni, tanggungjawab dah jadi besar. Dah tak boleh hidup macam orang bujang. Ada yang kena menjaga, dan ada yang kena dijaga. Masing-masing kena main peranan.” Anis tidak bereaksi. Hanya Rizwan yang mengangguk-anggukkan kepala.
“Pasal tu, mak harap kamu pandai-pandailah sesuaikan diri. Cuma yang mak nak tegur sekarang, pasal kepulangan kamu hari tu.” Muka masing-masing sudah berkerut dahi memikirkan apa yang tak kena pada mata si emak.
“Mak tahu kamu pulang bersama sebab nak kahwin, tapi apa yang kamu buat tu salah. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram naik kereta sekali, berjalan jauh sampai berbelas-belas jam pulak tu. Semua tu salah. Haram. Memang kamu naik ramai-ramai, ada Anis, Ayuni, Adila, tapi yang tak boleh, tetap tak boleh. Sepatutnya kamu bertiga balik dengan bas.” Bicaranya dihentikan seketika. Direnung wajah muram anak-anaknya.
“Mak, kenapa tak boleh, ya?” Tiba-tiba Amna bersuara, memecahkan kebisuan yang hadir sebentar. Masing-masing memandang Amna dan Puan Salbiah silih berganti.
“Masa balik hari tu, Kakak bukan lagi isteri Abang Rizwan yang sah. Belum ada apa-apa ikatan. Kak Yuni dan Kak Dila pun sama, belum ada apa-apa hubungan. Bila mana perempuan dengan lelaki yang tidak ada sebarang ikatan keluar bersama, syaitan suka sangat-sangat.” Amna menyambut kata-katanya dengan anggukan.
“Mak tahu mak pun salah. Mak gagal didik anak-anak mak ilmu agama elok-elok. Jadi, mak harap yang dah lepas tu jadikan pengajaran, yang akan datang tu beringat-ingat. Mak harap sangat-sangat anak-anak mak belajar ilmu agama. Kadang-kadang kita tak sedar apa yang kita buat salah, tapi kita kata “tak apa”. Sebab jahillah tu. Mak pun baru sedar yang selama ni apa yang kita buat tu tak cukup. Setakat solat dan puasa saja tak cukup. Kita kena kenal ALLAH, kenal agama. Belajar ‘aqidah, belajar syariat, belajar tasawwuf. Tahu rukun, tahu hukum, tahu syarat, barulah beramal, baru amalan kita sah.”
Diam.   
“Rizwan, Anis, dan anak-anak mak yang lain, carilah ilmu. Cari guru yang mengajar ‘aqidah, itu yang paling penting. ‘Aqidah itulah pegangan kita, yang menentukan kita ni betul-betul berada pada landasan yang betul atau tidak. Kalau rosak ‘aqidah, rosaklah semua amal ibadat kita. Jangan kejar dunia, sebab nanti kita yang akan menyesal. Yang bekerja tu, bekerjalah dengan niat kerana ALLAH. Niatkan sebagai ibadah, bukan untuk kumpul harta, sebab rezeki itu DIA sudah jamin.”
“Ingat pesan mak, ya. Jangan sekali-kali lupa yang kita ni hamba ALLAH. Hidup sementara di bumi ini untuk mengabdikan diri kepada DIA. DIA sudah janjikan kesudahan yang baik untuk hamba-hambaNYA yang taat. Jadi janganlah kita sengaja meminta kesudahan yang sebaliknya, sedangkan kita mengetahui. Sifat manusia yang penuh dengan kekurangan, maka berusahalah mengelakkan diri daripada maksiat. Dan bertaubatlah atas segala dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Insya’ALLAH, kita akan selamat.” 
Puan Salbiah menyapu matanya yang basah. Mengenangkan betapa banyak usianya yang berlalu tanpa berusaha memperdalam ilmu agama membuatkan dia berasa takut. Takut kerana bekalannya terasa sangat sedikit. Semenjak dua menjak ini sahaja dia mula membuka kembali langkah ke majlis-majlis ilmu. Sungguh dia bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk mengikuti majlis yang diadakan di surau kampung setiap hari selepas Maghrib itu. Dan dia juga berterima kasih kepada Ustaz Abdullah yang baru sebulan berpindah ke kampungnya. Ustaz itulah yang mengajar di surau, tanpa dibayar hatta satu sen pun. Cuma orang-orang kampung menyediakan hidangan dan memberikan cenderahati sebagai tanda terima kasih kepada guru pencen tersebut.  
Tubuh kurusnya dirangkul lembut.
“Insya’ALLAH, kami akan ingat, mak. Mak dah buat yang terbaik untuk kami semua. Terima kasih banyak-banyak. Kami minta maaf sebab dah buat mak susah hati. Mak tak bersalah, kami yang bersalah. Mak jangan susah hati lagi, ya. Kita sama-sama belajar, sama-sama betulkan kesilapan.”
Terasa tenang hati tuanya. Ternyata Anis sudah dewasa, sudah boleh mengendalikan adik-adiknya. Seandainya sudah tiba saat untuk dia pejam mata, tidaklah dia risaukan Ayuni, Adila, Syafiq dan Amna sangat-sangat. Anis sudah boleh dijadikan sandarannya kelak.
Pelukan anaknya dibalas. Ya ALLAH, rahmati dan redhailah kami, ya ALLAH! Hatinya berdesis.

Zikrullah terus membasahi bibir nipis itu. Hatinya terasa tenang, terasa damai. Tidak ada apa-apa dalam fikirannya saat ini, melainkan DIA Yang Maha Agung, Yang Maha Kuasa.
Bunyi keriut pintu mematikan keasyikannya. Sambil mata dihalakan ke arah pintu, bibirnya masih terus melafazkan kalimah-kalimah suci.
Serentak sebuah senyuman diukirkan tatkala wajah Anis muncul pada pandangannya. Isterinya itu hanya melihat dia sekilas sebelum menonong ke arah almari pakaian di sudut kanan bilik. Tiada senyum, tiada kerutan pada muka si isteri, tetapi dia masih suka meniliknya.
“Sayang, abang nak cakap sikit.” Dia bangun, lalu melipat sejadah dan menyidainya pada besi penyidai. Kopiah turut dibuka, dan diletak di tempat yang sama. Kemudian dia menapak ke katil dan melabuhkan punggung di situ.
Dengan muka mencuka, Anis berpaling  dari almari pakaian. Dia membatu di situ, dengan sehelai kain sepasang di tangan. Dipandangnya Rizwan.
 “Mari sayang, duduk dekat abang.” Ditepuk-tepuk tilam di depannya.
“Berapa kali nak cakap, jangan ber’abang’ ber’sayang’?!” Dalam memprotes, dia tetap patuh. Tetapi hanya di birai katil dia berlabuh.
Rizwan senyum lagi. Entah kenapa kata-kata Anis tak sepedas mana di telinganya. Yang Anis tak suka, yang tu dia suka. Mulut kecil Anis selalu berbunyi, tapi lagilah dia bertambah-tambah suka. Dia pun tak tahu kenapa kesabarannya bagaikan langsung tak tercabar. Barangkali kerana dia banyak menginsafi diri dan mententeramkan hati sejak tragedi dulu.
Melihat Anis yang jauh darinya dan tidak ada tanda-tanda mahu rapat, cepat sahaja dia mengengsot mendekat. Makin berkerut muka cemberut Anis. Dan dia makinlah suka! Kain sepasang di tangan Anis diletakkan di tepi.
“Sayang, abang nak ..”
“Apa pegang-pegang ni?! Ber’abang’ ber’sayang’ lagi! Nak cakap, cakap je la cepat!” Belum sempat dia bercakap panjang, Anis menepis tangan sasanya yang memegang tangan kecil isterinya itu. Terkebil-kebil dia dek terkejut.
Terkesan sedikit hatinya. Tetapi cepat dia mengusir perasaan itu.
“Abang suami sayang, jadi abang tetap akan panggil sayang ‘sayang’. Kalau sayang tak nak panggil abang ‘abang’ pun tak pe, tapi abang akan tetap bahasakan diri abang ‘abang’.” Sengaja dia memegang tangan Anis yang tadinya terlepas daripada pegangan.
Naik geli dia dengan kata-kata Rizwan. Dicubanya melepaskan tangan lelaki itu daripada tangannya. Tetapi ternyata sia-sia. Beria-ia dia berusaha, masih tidak berjaya.
“Abang nak cakap kejap je pun. Kalau tak suka pun, janganlah tunjuk muka cemberut macam tu. Sedih hati abang, tau. Tak nak senyum pun tak pe, tapi janganlah buat muka buruk sangat. Dengar abang nak cakap kejap je. Sayang pun bukan ada marathon pun lepas ni, kan. Tak payah la tergesa-gesa sangat suruh abang cakap cepat-cepat.”
Makin berkerut muka Anis. Tahu sangat yang Rizwan sengaja membakar hatinya. Dah lah mengada-ngada pegang tangannya, saja pulak bermukaddimah panjang lebar.
“Nak cakap, cakap je la! Pegang tangan orang buat apa?! Cepat cakap, orang nak jumpa mak ni!” Ei .. bengang aku!
Rizwan sengih panjang. Kesian tengok muncung panjang Anis, dilepaskan tangan isterinya itu.
   Wanita itu menggosok-gosok tangannya yang agak berbirat. Kurang asam sungguh! Sakit, tau tak?! Mau aje dia jerit camtu. Nasib baik suami.
“Sakit ke?” Tangan kecil itu dicapai semula.
“Tak payah!” Cepat Anis menarik tangannya.
“Mari sini abang tengok.” Sekali lagi dipegangnya tangan Anis.
“Tak payah!” Makin laju dia menarik.
“Kata tadi nak cakap sikit! Ni bukan cakap, ni nak main-main! Hei .. buang masa je!” Anis bingkas berdiri. Baru nak melangkah, dia sudah kembali terduduk.
“Ok, ok. Abang nak mintak maaf pasal yang mak cakap tadi.” Cepat-cepat dia memintas. Memang Anis sudah betul-betul nak keluar tadi.
“Tu je?”
“Pertama .. Kedua, kita balik Johor petang esok, ya. Abang dah bagitau mak awal-awal. Adik-adik pun dah tahu. Sayang je yang susah sangat abang nak cakap sikit.”
Anis mencebik. Ceh .. sempat perli aku!
“Lagi?”
“Itu je.” Rizwan sengih nakal. Mula-mula memanglah dia nak bagitau terus je sebelum dia lena di tikar dan Anis lena di atas katil nanti, tetapi datang pula idea nakal nak kenakan perempuan bermuka cemberut itu.
Buntang biji mata Anis. Beria-ia panggil dia macam nak bercakap masalah negara, rupa-rupanya itu aje halnya. Dijegilkan matanya pada lelaki itu sambil menarik kain sepasang di atas katil dan berlalu keluar. Telinganya sempat menangkap gelak Rizwan. Makin terbakar hatinya. Ei .. geram, geram!

No comments:

Post a Comment