Saturday, August 31, 2013

Gerimis Kasih Kita 17

Tan Sri Adif!

Diulang-ulang sepotong nama itu dalam fikiran.

Beberapa dokumen berselerak di atas meja. Dokumentasi hal ehwal syarikat dari awal penubuhan oleh arwah datuk sehingga ke hari ini. Bersusah payah Asma’, setiausahanya yang kurus kering itu memunggah semua fail ke atas meja ini, maka bersengkang matalah dia menelitinya. Tidak ke mana-mana sejak 4 jam yang lalu!

Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Matanya tidak lepas daripada coretan nama itu pada dokumen di atas meja. Spontan, telunjuknya membulatkan nama itu. Tabiat apabila sesuatu subjek berjaya mencuri perhatian dan menuntut penjelasan.

Hairan!

Selama ini, RZ Holdings sememangnya sentiasa bersaing dengan Isle Holdings. Tapi apa yang jelas, ada masanya RZ Holdings berjaya merebut beberapa tender ekslusif berbanding Isle Holdings. Namun, ada tender yang tidak disempurnakan sepenuhnya oleh RZ Holdings, sebaliknya bertukar tangan kepada Isle Holdings. Akibatnya, RZ Holdings mengalami kerugian. Nasib baik delegasi RZ Holdings masih mampu bernyawa. Perlahan-lahan ia kembali bangkit meneruskan hidup.

Keningnya berkerut seribu.

Apa yang pernah berlaku dahulu kini berulang lagi. Tapi .. bagaimana?

Isle Holdings ..!

Lantas telefon bimbit dikeluarkan. Beberapa nombor ditekan. Diam seketika. Dia sabar menanti.


9.45 malam.

Dia menggaru pelipis. 15 minit sudah terbuang begitu saja.

Matanya diliarkan ke sekeliling. Meja sebelah kanan sudah bertukar pelanggan. Meja sebelah kiri pula sedang dibersihkan perempuan berambut tocang yang berkemeja putih dengan padanan seluar slack hitam. Tetapi kerusi di hadapannya ini masih kosong. Orang yang ditunggu-tunggu belum muncul-muncul.

“Awal.”

Serentak dia berpaling ke hadapan. Lelaki berambut putih hampir seluruh kepala dengan kemeja merah sudah tercegat di sebelah kerusi kosong tadi.

Serta-merta dia tersenyum seraya bangkit berdiri dan menghulurkan tangan kanan.

“Baru lagi. Apa khabar, Tan Sri?” Senyum dileretkan.

Huluran bersambut. Genggaman tangan bersatu.

“Sihat.”

Genggaman dileraikan. Spontan Rizhan mengunjukkan tangan ke kerusi di hadapan, isyarat mempersila lelaki separuh abad itu duduk.

Tan Sri Adif menganggukkan kepala dan terus melabuhkan punggung. Rizhan turut duduk.

“Aku kira ada hal besar kau nak jumpa aku.” Tan Sri Adif memulakan bicara.

Senyum tipis diukir di juring bibir. Dia dapat mengagak ada sesuatu yang diinginkan anak muda di hadapannya ini. Kalau tidak, masakan musuh tradisi seperti dia diajak bertemu. Hampir seminggu juga lelaki ini menjejaknya, meminta pertemuan. Pada awalnya, dia buat tidak endah. Anak bongsu arwah Dato’ Rashid ini terlalu mentah, bukan saingannya.
Tergelak juga dia bila mana setiausahanya memaklumkan waris Dato’ Rashid mengundangnya bertemu. Waktu dan tempat, dia tentukan.

Tapi apabila ia berlarutan hampir seminggu, tertarik juga hatinya. Rasa ingin tahu agenda dan ‘permainan’ yang budak mentah itu aturkan.

Rizhan turut senyum.

“Orang lama ni arif, orang baru kenalah berguru.”

Tan Sri Adif ketawa besar. Kata-kata Rizhan buat dia sedar yang taring anak muda itu tidak sekontot yang disangka. Tapi pada masa yang sama, pujian itu buat dia berasa bangga.

“Kau lagi faham bussiness daripada abang kau.”

Rizhan senyum. Jelas bahawa lelaki berumur itu memaksudkan sesuatu.


Sejag teh panas siap dibancuh dan diletakkan di atas meja. Sepinggan kek gulung yang siap dipotong diletakkan bersama. Saji diambil, tudungkan kek tersebut.

Kaki menuju ke ruang tamu pula. Sebakul kain baju yang sudah siap dilipat bersusun tinggi diambil. Aku bawa ia ke tangga. Nak simpankannya dalam almari di dalam bilik di atas. Sambil mendaki, sempat mata mengerling jam di dinding ruang tamu. 10.53 malam!

Kejap lagi tentu dia balik!

Hati berdesis.

Senyum kecil hadir di bibir. Hati terasa senang. Riang aje aku buat kerja rumah hari ni. Dari pagi tadi sampai sekarang. Tapi aneh sekali .. tak rasa penat pun! Kenapa, ya?

Selesai menyimpan pakaian, aku kembali ke sofa di ruang tamu. Alat kawalan dicapai dan televisyen dipasang. Tubuh dibaringkan sambil tangan ligat menekan butang-butang, mencari rancangan menarik. Ada filem Inggeris sedang ditayangkan. Entah apa tajuknya, aku layankan aje.

Kononnya! Padahal mataku dua tiga minit sekali terteleng. Tak lain tak bukan, ke jam di dinding!

11.17 malam!

Haish! Mana ni, tak balik-balik lagi?!

Rasa senang hati yang melalut-lalut tadi kian mengendur. Sekarang ni kebosanan pula makin menjengah. Jadi sebal pulak menanti macam ni.

Peralihan rasa ini aku cuba alihkan dengan menumpukan perhatian pada cerita yang sedang aku tengok. Fokus, fokus ..
Sedetik .. dua detik ...

Mata kembali ke jam.

11.27 malam!

Aku pejamkan mata. Gigi dikacip rapat.

Geram! Geram!

Sungguh, aku tak suka rasa macam ni! Rasa bodoh, rasa sia-sia ..

Tiba-tiba datang rasa sedih. Cepat-cepat aku pejamkan mata. Tidurlah, tidurlah .. aku malas layankan perasaan yang mengarut-ngarut nih. Fikir benda lain .. ingat mak, ingat adik-adik. Yuni .. Dila .. Syafiq .. Amna .. datanglah dalam mimpi akak! Ayah .. mak .. adik-adik ..


“Anis!”

Sayup-sayup aku dengar namaku dipanggil. Kepala mula melilau mencari.

“Anis!”

Sekali lagi. Tapi kali ni rasa macam makin kuat bunyinya. Aku tercari-cari arah datangnya suara itu.

“Anis!”

Lagi kuat. Siap tubuh rasa digoncang.

“Anis!”

“Hah?!” Mata sudah terbuka luas. Muka seorang manusia tersembul betul-betul di depanku dalam jarak hampir satu meter. Terkebil-kebil sekejap aku dibuatnya.

Rizwan?!

Oh, tertidur rupanya!

Perlahan-lahan aku tegakkan tubuh lalu sandarkan belakang ke sofa. Tengok muka dia ni baru teringat yang tadi aku sengaja tidurkan diri.

“Ni tengok tv ke, tv tengok Anis?” Lembut sekali dia berkata-kata. Siap dengan senyum kecil lagi. Tapi malangnya, agak sinis di telingaku. Mungkin sebab aku dah ingat sebab-musabab yang jadi kes daripada aku tengok tv, jadi tv pulak tengok aku.

Dalam tak sedar, aku terjeling dia. Membuatkan dia terdiam terus.

Geram yang dah terbang dibawa mimpi tadi datang semula. Buat aku rasa mahu menyekeh orang aje.
Aku bangkit berdiri tanpa sebarang bunyi. Tak juga melihat mukanya. Menonong berjalan ke arah tangga. Tapi mata sempat mengintai jam.

1.13 .. baru reti nak balik?!

Huh ..!

“Air kat dapur.”

Di hujung tangga, baru aku bersuara. Dengan muka masam kelat, aku pandang sekejap muka dia. Sesaat saja. Kemudian, terus mendaki tangga dan tak kalih-kalih dah.

Dan tak ada sebarang bunyi daripadanya. Yang aku perasan, dia pandang aku tak putus-putus, dengan muka pelik.
Masuk saja ke bilik, terus aku rebahkan belakang ke katil. Bantal ditarik dan ditekupkan ke muka. Satu .. dua ..

“Argh!!”

Lega.

Rasanya terapi ini agak bagus untuk orang-orang yang mudah angin macam aku. Sangat praktikal sebab rasanya semua orang ada bantal. Dan jeritan boleh dilakukan bila-bila masa, tanpa sebarang kecederaan. Bersyarat, jangan tekup hidung! Dan paling penting, suara anda takkan didengari oleh orang-orang yang anda tak ingin dia dengar sebab sebahagian besar bunyi tersebut telah diserap oleh bantal.

“Anis marah abang?”

Erk ..?!

Aku membatukan diri. Dengan bantal dibiarkan terus menutup muka.

Aiseh! Aku lupa kunci pintu ke tadi?

Gendang-gendut di dada mula berubah rentak.

Tilam di sebelah kananku terasa melendut ke bawah. Alamatnya dia sudah melabuhkan punggung di sebelahku. Lagi haru detak jantungku!

Walaupun memang terlindung dengan bantal, tapi aku tetap merasakan darah menyerbu naik ke muka. Panas mukaku. Malu!
Senyap. Aku tak sanggup nak bersuara. Malu berinci-inci rasanya.

Aku dapat rasakan dia tengah tengok aku terus-menerus.

“Abang minta maaf.” Dia menyambung.

Eh?

Tiba-tiba dia minta maaf, memang aku rasa pelik. Padahal tak ada silap pun dia. Aku aje yang beria-ia menunggu. Alih-alih dia balik lewat, sendiri naik angin. Tak patut langsung! Kalau memang dia yang suruh aku duduk tercongok tu, ada logiklah jugak aku nak mengamuk macam tadi, macam sekarang.

Tapi malu punya pasal, aku tetap membisu. Rasa pelik tu sikit aje kalau dibandingkan dengan malu tertangkap tadi.

“Anis marah abang, tentu abang ada buat silap, kan? Abang minta maaf. Ok?”

Aku mengemam bibir. Ni ayat bermotif memujuk ni, bukan highlight pada minta maaf. Kalau minta maaf, setakat “maafkan saya”, “saya maafkan awak”, dah cukup. Tapi kalau motif macam ni, itu tandanya dia nak aku alih bantal dari muka, tengok muka dia. Lagi parah kalau dia suruh aku senyum. Tak nak ... !!!

Rasanya kalau aku terus senyap, ada lagi la akal dia tu. Jadinya, baik aku cantas aje akal-akal yang akan lebih menyeksaku nanti tu dengan satu balasan.

“Hmm ..” Itu yang termampu.

Senyap lagi. Aku menelan liur. Dia masih di situ rasanya. Agak-agak cukup selamat tak jawapan tadi? Kalau tak puas hati, dia takkan berganjak. Aih .. sesak, sesak!

Tiba-tiba ada rasa sebak bertandang. Terharu bila diberi perhatian.

Zup!

Kan dah cakap! Bantal dah selamat di tangan dia. Dan muka aku terpampang terus pada matanya.

Tak ada apa dapat aku buat melainkan tutup mata rapat-rapat. Biarlah dia tengok muka aku pun, asalkan aku tak tengok muka dia. Cepat aku palingkan tubuh, mengiring ke kiri. Tapi cepat lagi dia menahan! Wargh!! Rasa nak menangis sekarang jugak.

“Kenapa? Hmm? Cuba cakap apa salah abang.” Suaranya meleret-leret di pendengaranku.

Tolong!! Seriau aku dibuatnya. Lagi haru bila tangan dia turut menarik tangan aku, usaha nak bagi aku mengadap muka dia.

Aku tak nak bukak mata. Tak sanggup!

Tak semena-mena, ada air mata mengalir keluar.

Itulah kau, Anis! Mengada-ngada sangat. Kan dah kena!

Hati mula membebel pada diri sendiri.

Bila dah terperangkap macam ni, tak tahulah apa patut aku buat nak lepaskan diri. Kalau dibiarkan, berterusanlah jawabnya. Perlu buat sesuatu. Kalau tak ..

Tak dapat palingkan tubuh, dapat palingkan kepala saja pun dah cukup. Mata terus terpejam. Dan air jernih bertambah laju mengalir.

Air mata yang merembes di pipiku dia seka. Membuatkanku bertambah terharu. Rasa dihargai .. disayangi ... Tapi aku takut kalau-kalau aku hanyut, dan akhirnya dikhianati. Mampukah aku menghadapinya?

Dia terus di situ. Tanpa sebarang suara. Hanya desah nafasnya kedengaran.

Aku cuba tahankan perasaan-perasaan asing yang makin kuat menggangguku itu. Bila hati sudah makin tenang, aku tarik nafas dalam-dalam.

“Tak ada apa. Awak tak buat salah apa pun.” Masih ada seraknya, tapi lancar dan teratur kata-kataku. Yang pentingnya, mata tetap pejam!

Bila aku cakap macam tu, dia lepaskan tangan aku. Daripada pendengaranku, rasanya dia tegakkan duduknya. Membetulkan tulang belakang mungkin.

Aku dengar dia tarik nafas dalam.

“Abang pergi kerja. Sebab tu balik lambat. Abang tahu Anis tunggu abang, kan? Abang minta maaf.”

“Kerja?” Dalam tak sedar, aku dah talakan mukaku tepat menghadapnya. Dan sepasang mata ini telah menentang kehendak asal tuannya bilamana ia menentang pandangan lelaki itu.

Dua tiga kali berkelip, baru tersedar. Malu lagi!

Lelaki itu tersenyum manis. Seronoklah tu berjaya kalahkan aku! Haish ..!

“Ya, sayang. Abang pergi kerja. Bukan pergi tempat lain.” Mesra sekali dia menjawab siap dicuitnya pipiku. Terbeliak terus mata ini. Cepat-cepat aku toleh ke arah lain.

Sayang?!

Datang balik seriau tadi. Tak pasal-pasal makin merah muka aku. Sudahlah! Cukup-cukuplah buat aku malu. Jantung ni pun dah nak meletup, tau!

“Abang buat kerja sampingan. Macam-macam kerja. Tapi Insya’ALLAH, yang halal aje. Jadi .. Anis tak payah risau, ya.” Dibaringkan tubuhnya disebelahku. Aku hanya terkebil-kebil memandang. Pelik jugak. Lebih dah ni. Tapi tak terasa nak membantah. Biarkan saja dia menarik selimut, kemudian mengiring ke arahku.

Tangan itu jatuh ke perutku. Pandangan redupnya terus memamah muka tergamam ini.

“Terima kasih .. sebab tunggu abang, buatkan abang air. Abang hargainya.”

Aku tak mampu cakap apa-apa. Lidah terus terkelu, dengan tubuh yang terkaku.

“Terima kasih .. sebab jadi isteri abang.” Tona suaranya makin merendah seakan berbisik. Tapi masih cukup kuat untuk merenggut ketenteraman jantung yang sudah cukup bercelaru detaknya ini.

“I love you.” Getar suara itu berbisik lagi serentak dengan satu ciuman yang hinggap di pipi.

Seluruh tubuh sudah keras membeku macam ais. Bila mana tangannya memeluk pinggangku, kejung terus!

2 comments: