Sunday, December 10, 2017

Gerimis Kasih Kita 29



“Kandungan puan .. tak dapat diselamatkan. Hentakan kuat pada benda keras .. dan terlalu banyak pendarahan. Pembedahan terpaksa dijalankan. Syukurlah, sekarang puan dah sedar.” Sebaris perkataan ‘DR. RAHIMAH’ pada jubah putih sempat aku tangkap sebelum mukanya kutatap. Ada senyum kecil diukirkannya.

“An .. anak .. saya?”

Dia berjeda seketika. Ditenung mataku dalam-dalam.

Tangan kiriku digenggam. Erat sekali.

Lekas aku berpaling pada Rizwan di sisi. Kening kukerut.

Apa ni?! Susah sangat ke soalan aku sampai doktor tak boleh jawab, sampai Rizwan pegang tangan aku?!

Aku pandang kembali wanita yang tercegat berdiri di sebelah kanan katil.

“Tahniah! Puan dapat baby  perempuan. Masa lahir, baby  sangat lemah. Keadaannya kritikal. Beberapa hari ni, baby masih mampu bertahan. Semangat juang seperti ibunya juga saya kira. Tapi .. ALLAH lebih sayangkan dia. Pagi tadi .. tepat pukul 7.03 pagi, dia dah kembali pada Pencipta kita.”

Tenang dia menuturkan.

Aku menelan liur.

“Harap puan bersabar.” Tambahnya lagi.

Mata kupejamkan rapat-rapat. Sedaya mungkin cuba meraih kekuatan untuk menerima perkhabaran ini. Dr. Rahimah yang sudah mahu beransur tidak aku hiraukan. Aku biarkan Rizwan menghantar dia dengan sepatah dua perkataan. Tapi genggaman tangan lelaki itu masih utuh, bahkan bertambah kejap. Sehingga suara-suara lain tidak kedengaran pun, dia masih di situ.

“Khadijah .. comel macam ibu. Khadijah tunggu ibu sedar dulu sebelum pergi. Khadijah akan tunggu ibu .. di syurga pula.”

Air hangat merembesi kelopak mata yang tertutup. Sebaris lafaz yang sungguh syahdu dia bisikkan di telingaku. Mengajarku menerima hakikat. Cukup untuk memaklumkan segala-galanya tentang pemergian bayiku. Bahkan cukup juga untuk merawat luka kehilangannya.

Dalam syahdu, sempat rakaman memori berlayar di ruang ingatan. Khadijah .. nama yang dia pilih. Bersempena nama wanita pertama memeluk Islam, isteri Baginda Rasulullah S.A.W. Amanlah dikau di sana, anakku ... 

Hati terasa tenang. Terus, jari-jemariku membalas genggamannya. Menghantarkan kekuatan seperti yang dilakukannya padaku. Kesedihan .. aku, dia .. masing-masing merasainya. Kerana aku ibu .. dia pula ayah ..


Hari ketiga selepas sedar .. menyamai hari ketujuh terlantar di sini ... Peristiwa itu terbayang kembali di ruang mata. Jelas sekali, bahkan terngiang-ngiang satu persatu suara Datin Saira, Rizwan dan Rizhan. Dari awal, hinggalah ke detik terakhir kejadian ...

Aku menggumam bibir.

Sakitnya!

Tak mampu aku gambarkan perasaan kala mengetahui kebenaran, tetapi perlu menghadapi kembali manusia-manusia itu .. setiap hari!

Mengingatkannya, air mata laju mengalir. Khadijah ...

 Bunyi pintu dibuka membuatkan aku mengiringkan tubuh ke kiri sambil memicing pendengaran. Derap tapak kasut kian mendekat. Terhenti betul-betul di sebelahku.

“Nurul ..” Suaranya dileretkan, seraya tangan mendarat di bahu kananku.

Aku tidak berganjak. Terus mengiring dengan mata terpejam. Air mata aku biarkan tidak berseka.

Dia sudah duduk di kerusi menunggu. Menghadap aku yang terus-menerus tidak mahu membuka mata. Bahuku diusapnya perlahan.

Imbauan jeritan Rizhan bergema dalam ingatan. Satu persatu ... Serta-merta rasa sedih, marah, kecewa .. semuanya bersatu. Tapi yang memuncak tentu sekali amarah! Benci!

Sedetik .. dua detik ...

“Tolong tinggalkan saya.”

Dalam situasi ini, aku tak mahu menghadapinya. Kerana dia, aku hilang segala-galanya. Kerana dia, aku hilang Khadijah ...

Tangannya berhenti mengusap.

“Tolong tinggalkan saya.” Yakin dia masih membatu di situ, sekali lagi aku bersuara. Perasaan ini bukan mainan, boleh diperkotak-katikkan .. boleh pula diremeh-remehkan.

Lama menimbang, dia berdiri. Langkah kecil dibuka perlahan-lahan.

Rizwan teragak-agak. Serba salah untuk meninggalkan isteri yang masih terganggu perasaannya. Batang tubuh Anis yang membelakangkannya dipandang lama. Sedang dia masih tegak berdiri di hujung katil.

“Tolong .. tinggalkan saya.” Suara Anis semakin serak. Terasa sesak dadanya menahan tangis. Cukuplah, dia tidak mahu Rizwan tahu kegalauan fikirannya. Dek kerana itu, sengaja dia memalingkan tubuh ke kiri. Muka ditekupkan ke bantal.

Tapi ternyata dia tidak cukup kuat. Air jernih itu mula merembesi kolam mata.

Langkah kakinya terbata-bata. Beratnya hati, beratnya kaki mahu meninggalkan bilik ini.

Tapi itu permintaan Anis. Tak bersetuju sekalipun, perlu dihormati. Lalu perlahan-lahan dia mula beransur. Sampai di muka pintu, sekali lagi dia menoleh ke katil. Sudah kedengaran esakan kecil isterinya, bahkan sudah kelihatan turun naik tubuh itu melayan sendu. Ikutkan hati, mahu sahaja dia berlari ke katil itu. Mahu sahaja dia tenteramkan wanita itu dengan dua tangannya. Biar dia menyapu air mata pada pipi mulus itu. Tapi tentu saja semuanya mustahil.

Sebaik pasti dia kini bersendirian, rawannya mula menggunung. Tangisan lebat meletus. Dihamburkan segala kesedihan pada bantal lapik kepala.

Bukankah anak itu pernah dibunuhnya? Maka kenapa perlu dia bersedih bilamana anak itu benar-benar terbunuh?

Tiada jawapan untuk persoalan itu. Apa yang pasti, dia hampir-hampir gila tatkala menyedari kehadiran anak itu bersamanya dulu. Dan kini, sekali lagi dia separuh gila .. tetapi kerana kehilangan anak itu pula.

Atau .. adakah sedih ini kerana diri dipermainkan??!

2 comments: