Wajah tua itu masih mendung, tidak lagi seceria pagi tadi.
“Nurul janji, Nurul ajak Abang jenguk Mama selalu. Ok, Ma?”
Nurul Anis belum berputus asa memujuk. Tangan Mama yang masih dalam
pegangannya diusap lembut.
Tiada sahutan daripada Datin Saira. Mungkin begitu berkecil hati apabila
menantu yang semakin mendapat tempat di hati tidak sudi tinggal terus di
rumahnya.
Kenapa? Apa lagi yang tak cukup dalam rumah ni? Sah-sah rumah agam ini
berjuta-juta kali ganda lebih selesa, lebih baik, lebih elok daripada rumah
Rizwan tu!
Hati tua Datin Saira membentak-bentak.
“Esok Nurul ajak Abang datang lagi ... tidur sini lagi. Sayang juga kalau
biar terus rumah sana.” Lembut mendayu-dayu suara Nurul Anis memujuk.
Dia pula memilih untuk berdiam diri sahaja. Lebih ingin melihat daripada
turut bertindak. Tambahan pula hubungannya dengan Mama tidak semesra hubungan
Mama dengan isterinya.
“Ma ...” Manja sekali wanita itu menyeru.
Tercuit secebis cemburu. Dia pun tak pernah Anis buat manja-manja macam tu.
“Ya lah. Nurul balik selalu, ya.” Akhirnya, Datin Saira mengalah.
Sirna senyum manis di bibir isterinya.
“Ya, Ma. Nurul datang selalu.” Sahut isterinya pula.
“Janganlah kata macam tu. Ini kan rumah Mama, patutnya Nurul anggap rumah
ni macam rumah Nurul sendiri jugak. Jangan sebut ‘datang-datang’ lagi. Balik
... baru betul.”
Hampir terlongo dia mendengar kata-kata Mama. Sungguh tidak diduga.
Sedang Anis terus-menerus menayangkan senyuman buat Mamanya.
“Bawak Nurul balik. Jangan lupa!” Mata Mama beralih kepadanya. Bersama
pesanan, atau mungkin juga amaran, dengan suara keras, tegas.
Benar ... Mama belum memaafkannya.
“Kenapa?”
Suara yang tiba-tiba menyapa menerbangkan bayangan
kejadian pagi tadi. Lekas kepalanya berpusing ke arah punca suara.
“Kalau mata awak tu ada pancaran laser, agaknya dah
berlubang, bermeter-meter dalam dah lubang kat dinding tu.”
Dia diam, tidak menjawab sapaan Anis. Atau mungkin sekarang
dia patut biasakan menyebut ‘Nurul’ sahaja, seperti yang dia sendiri canangkan
pada Rizhan dan Mama.
Nurul Anis pada matanya sedang bersusah-payah melabuhkan
duduk. Manakan tidak, perutnya sudah semakin membesar. Sedang melewati usia enam bulan penghuni di dalamnya.
Sekole minuman yang masih berasap nipis wanita itu
letakkan di hadapannya, dan satu lagi untuk dirinya sendiri. Menyeruak naik
aroma coklat panas memenuhi rongga hidung.
“Fikir apa?”
Pertanyaan ringkas terpacul daripada mulut Nurul Anis. Sangat
ringkas, tetapi sangat berkesan untuk membuatkan dia mereflek. Hatinya tercuit,
dirasakan bersemi dengan bunga-bunga indah. Spontan, senyum mula menghadirkan
diri.
Nurul Anis yang sedang menyisip minuman dipandang penuh.
Kebisuan yang panjang membuatkan wanita itu memanggung
kepala. Melihat riak di muka Rizwan menerbitkan kerutan di dahi.
“Peduli jugak Nurul dekat Abang, ya.”
Balasan yang membuatkan wanita itu menayangkan mimik muka
yang macam-macam.
“Awak ni dah kenapa?” Risau betul dia melihat riak
Rizwan. Dah datang la tu aura pelik dia. Muka gatal pun ada.
“Aik ... pagi tadi .. rasanya ‘Abang’. Dah sampai sini,
dah jadi ‘Awak’ pulak, ya?”
Nurul Anis sudah menampakkan riak tak senang duduknya.
“Awak jangan mengada-ngada ... kalau bukan sebab Mama,
tak adanya jadi macam tu.” Cemas suaranya.
“Macam tu, tu ... macam mana?” Sengaja dia menyakat.
“Heish ... malas saya layan awak!” Bersusah-payah lagi
Nurul Anis cuba bangkit. Mukanya sudah kemerah-merahan. Malu .. atau marah ..
dia tak pasti yang mana paling dominan.
“Ok, ok ... Abang tak usik lagi.” Segera tangan wanita
itu disambar.
“Duduklah. Abang
tak buat dah.” Sekali lagi dia memujuk. Diangguk-anggukkan kepalanya, isyarat
berjanji.
Nurul Anis kembali melabuhkan duduk. Tangan Rizwan yang
masih menggenggam pergelangan tangannya dileraikan. Sketsa di meja makan pulak
lah malam-malam buta macam ni.
“Hmm ... patutlah beriya tak nak tinggal sana ..” Dia
masih belum puas menyakat. Sengaja dileret-leretkan suaranya.
“Awak!” Naik seoktaf suara Nurul Anis. Nekad dia untuk
bangkit.
“Ok, ok ... Abang tak buat lagi.” Cepat-cepat tangan
Nurul Anis disambar semula.
Muka tak percaya wanita itu tayangkan.
“Betul, Abang tak buat dah. Duduk, duduk.”
Nurul Anis masih berdegil.
“Duduk.” Sekali lagi dia menyuruh. Barulah Nurul Anis
duduk kembali.
Sedetik, dua detik ... dia biarkan kebisuan mencuri
ruang. Masa bertenang untuk Nurul Anis.
“Thanks.” Tiba-tiba
dia bersuara.
“Untuk apa?” Pelik dia, tiba-tiba lelaki itu cakap macam
tu.
“Abang dapat masuk balik rumah tu .. jumpa Mama .. thanks to you.”
Muram mula mengitari ruang. Sekejapan sahaja suasana
sudah bertukar mod.
“Mama sayang sangat dekat Nurul.” Dia bersuara lagi.
Selajur bicara Rizwan membuatkan rengkung wanita itu
memanjang, menelan liur.
“Bukan saya .. tapi baby
...”
Tiada lagi yang berkata-kata. Bungkam mengambil alih
suasana. Bercampur-baur pelbagai rasa mengitari ruang. Ada kesedihan mengetuk,
ada kesayuan menghambat, bahkan kekesalan, dan pelbagai rasa yang tidak
terucapkan. Hanya terpuruk di suatu sudut, membuku dan kian membuku, sehingga
mematikan fungsi akal normali.
Wanita itu sudah berbaring ketika dia mengetuk dan
mengjengulkan kepala di balik daun pintu. Terkebil-kebil Nurul Anis
memandangnya dengan mata yang ketara memberat. Cahaya malap daripada lampu tidur
pun sudah cukup untuk menyuluh semua itu pada matanya.
“Esok Mama nak bawa Nurul beli barang.” Beritahunya
senafas.
“Hah?” Berkerut-kerut dahi Nurul Anis. Seingatnya, tadi
tak ada pula Mama beritahu.
“Rizhan bagitau kat office
tadi.” Jelasnya.
Selepas menghantar isterinya pulang tadi, dia terus ke
pejabat. Terserempak Rizhan di lif, adiknya itu menyampaikan pesanan Mama,
suruh dia hantar Nurul Anis ke rumah pagi-pagi lagi esok.
Nurul Anis menganggukkan kepala beberapa kali sebelum
menyelesakan dirinya di bawah selimut.
“Selamat malam.” Ucapnya lagi.
Sekali anggukan dengan mata terpejam menjawab ucapannya.
Lalu dia menutup cermat pintu bilik Nurul Anis.
Perlahan-lahan langkah dihala ke bilik tidurnya sendiri.
Nafas ditarik dalam mengenangkan rentak kehidupan yang
cukup sulit.
Nama Nurul Anis beberapa kali meniti di bibir Rizhan
tadi. Meluahkan kekaguman atas hubungan mesra Mama dengan kakak iparnya.
Sepatutnya menggembirakan. Tetapi ada rasa lain yang
bertandang.
Rizhan .. terasa lelaki itu semakin hampir dalam hidup
Anis. Mengingatkannya membuatkan terasa semakin sendat nafas di dada. Kepercayaan
... seakan terhakis untuk lelaki bernama Rizhan. Mengapa begini? Sedangkan yang
bersusah-payah menyelamatkan keadaan juga adalah Rizhan.
Entahlah ... tiada jawapan untuk persoalan itu.
Rizhan memejamkan matanya rapat-rapat.
Letih. Terlalu letih.
Sudah puas otaknya merangka pelbagai kemungkinan, tetapi
langsung tidak menemui sebarang perkaitan. Tidak menemui jawapan, sebaliknya
menambahkan kekusutan yang sedia ada.
Mata kembali ke dada meja. Direnung tajam objek berbentuk
segi empat tepat yang terlayar di atas permukaan licin itu.
Anis!
Lelaki tua itu ketawa tidak henti-henti.
Gerahamnya dikacip kemas. Kerut di dahi berlapis-lapis. Kepala bingkas
mencari lelaki itu, memaku pandangan tajam tepat ke mukanya. Memuntahkan persoalan tanpa sebarang
suara.
Terperanjat! Sangat terperanjat! Sehingga bergunung-gunung persoalan
memuncak naik.
Tan Sri Adif mendekat dalam tawa bersambung-sambung. Tangan kanan dan
kirinya menepuk-nepuk perlahan bahu kanan dan kiri Rizhan, seolah-olah terpalit banyak debu di situ.
Dia ingat gambar itu. Takkan mungkin lupa ...
satu-satunya wanita yang berjaya memukau pandangan matanya. Wanita yang
menjadikan dia hampir sasau, lantas dipotretkan sebanyak mungkin figura yang
sudah sebati dalam mindanya itu.
Wanita yang sama yang digelar ‘Kak Nurul’, kakak iparnya.
Dia masih ingat sekeping gambar telah hilang.
Hairan! Sangat hairan!
Apa kaitan Kak Nurul dalam semua ni?!
Macam mana gambar ni boleh hilang daripada simpanan?!
Dan kenapa pula orang tua tu ada gambar ni?!
Penumbuk digenggam kejap. Geram. Terasa dirinya dipermainkan.
“Siapa pun kau, aku takkan biar kau lepas!” Serentak ngauman garang, satu das tumbukan padu menghentam
meja.
TQ cik writer,...akhirnya, setelah sekian lama ketinggalan
ReplyDeleteTq atas sokongan, cik Latifah Manan :)
Delete