Sunday, November 3, 2013

Gerimis Kasih Kita 20

“Kenalkan, kakak ipar Riz .. Nurul Anis.” Dia bersuara tenang. Walhal kegusaran menggila di dada.

Dan lelaki itu .. tidak ada sebarang kata mampu dilafaz. Tidak ada sebarang isyarat mampu dizahirkan. Hanya mata yang membulat tepat menikam, tanpa kerdipan walau sepicing. Mindanya terbejat, lidah terkelu.

Sedang Anis waktu itu turut terlopong. Terpesona dengan prasangka suratan dalam kebetulan, lelaki yang memegang gelaran ‘kenalan’ menjadi sebahagian daripada ahli keluarganya.

“Awak ni .. Langkawi .. kan?” Teragak-agak Anis menyoal. Rasanya muka memang dah sebijik sama.

Rizhan tidak mampu berkata apa-apa. Hanya kelopak mata dikerdip berkali-kali.

Perlahan-lahan, senyum nipis digarit ke hujung bibir.

“Selamat berkenalan .. adik ipar!” Ceria sekali wanita itu menuturkan. Dan bibir nipisnya idak lekang dengan senyum panjang, menzahirkan kegembiraan dengan kebetulan yang tidak terduga.



Kedua-dua belah tangan meraup muka.

Tika ini ... lukisan wajah, senyuman, bahkan kerlingan mata wanita itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Terasa sangat hampir, sehampir jantung dengan hati.

“Arghh!!” Jeritan kuat dilepaskan. Kesunyian di jambatan yang lengang tanpa hingar-bingar manusia yang lain melantunkan kembali suara nyaring itu lima, enam kali.

Tetapi masih ada rasa belum terluah. Rasa sakit yang mencucuk-cucuk dadanya.

Nyata bayu malam yang dingin tidak mampu menyejukkan hatinya. Sepi di tebing tinggi ini tidak cukup untuk mengusir buakan pergolakan dalam jiwa.

Akhirnya, dia tewas. Dibiarkan air hangat meluncuri pipi. Moga-moga setiap titisan yang mengalir membawa bersama setiap titis perasaan yang pernah bercambah terhadap wanita itu ... wanita yang ditemui 7 jam 35 minit yang lalu.



Tangan kiri menarik juntaian tali leher bahagian dalam sementara tangan kanan menarik juntaian yang di bahagian atas. Ditarik ketat dan kemudian dikemaskan penuh cermat. Sambil-sambil itu, mata memerhati reflek diri pada cermin yang hampir menyamai ketinggiannya.

Kemas sekali. Cukup sesuai padanan kemeja ungu gelap dengan tali leher putih. Terserlah kebaikan rupa parasnya. Kelihatan begitu sempurna.

Tapi ... sempurnakah kalau tak berjaya menawan wanita itu? Satu-satunya wanita yang sangat berkesan pada hati lelakinya.

Dia menelan liur. Memanjang rengkungnya, namun pandangan masih tidak beralih. Melihat imej diri sendiri yang kelihatan sangat tidak bermaya. Tubuhnya makin susut. Lingkaran gelap di bawah mata yang layu dan kuyu, ditambah pula dengan riak muka yang keruh ...



“Selamat berkenalan .. adik ipar!”

Ceria dan mesra sekali wanita itu menyapa.

Tekak terasa kesat. Dia memanjang rengkung, menelan liur.

Tidak ada sepatah perkataan pun mampu diluahkan. Hanya mata dikerlip berkali-kali. Sedang jantungnya ... bergendang hebat memukul dada.

Rizwan yang duduk setentang dengan Rizhan turut mendiamkan diri. Hanya sesekali matanya mencuri pandang air muka Rizhan.

“Tak sangkanya! Rupa-rupanya kita jadi saudara!” Wanita itu bersuara girang. Tangannya memegang sisi meja. Bercahaya sekali mukanya. Dengan pandangan yang ditala tepat ke wajah Rizhan.

Dan Rizhan .. terasa menggeletar seluruh tubuh. Ada rasa pedih menikam dada. Sedang kolam mata terasa membengkak dan panas.

“Maaf .. ada hal. Minta diri dulu.” Dia bingkas berlalu. Langkahnya laju. Tidak berpaling walau sekali.

Tatkala punggung menghenyak perut kereta, terasa air hangat meluncuri pipi.



Dia menarik nafas dalam. Diusirnya bayangan peristiwa dua hari yang lalu dari sudut ingatan.

Dua hari .. dia memencilkan diri. Hanya pesanan ringkas dihantar kepada Asma’ dan Mama, memaklumkan bercuti. Dan dia tidak mahu diganggu.

Dua hari .. moga-moga ia cukup untuk merawat luka laranya.

Kunci kereta dicapai. Langkah tenang diatur. Harapannya .. segala-galanya kembali pulih seperti sebelum ini.



“Saya nak keluar. Kalau ada apa-apa pesanan, mesej saya.” Pesannya perlahan.

“Baik.” Asma’ menjawab tegas dengan muka manisnya.

Berpuas hati dengan respon Asma’, dia mula membuka langkah ke arah lif. Tak semena-mena kelibat Rizwan sudah terpampang di depan mata. Lelaki itu sedang menuju ke mesin fotokopi.

Melihatkan Rizwan, serta-merta kenangan itu menjelma. Cepat-cepat dia menepis.

Masing-masing terdiam. Beku tanpa sebarang respon.

Sudahnya, dia mengangkat tangan. Kepala diangguk perlahan.

Rizwan melukis senyum dan turut menganggukkan kepala.

Walau bibir terkelu, sekurang-kurangnya, masih ada respon antara mereka.



“Tak lama lagi baby akan lahir.” Dia bersuara perlahan, memecahkan kesunyian antara mereka.

Datin Saira yang ralit menonton televisyen berkalih ke arahnya.

Ruang keluarga ini tidaklah sebesar ruang tamu, namun cukup untuk mewujudkan rasa sunyi bila masing-masing bungkam tanpa kata.

“Baby ? Baby siapa?” Berkerut kening wanita itu.

“Abang Wan. Cucu Mama.” Dipandang tepat mata ibunya.

Riak muka Datin Saira berubah. Terdiam terus mulutnya.

“6 bulan. Lagi 3 bulan saja lagi.”

Dia diam seketika. Sengaja mahu menduga respon ibunya. Wanita itu diam tidak berkutik. Hanya mukanya berkerut, menampakkan mindanya sedang bekerja.

“Minggu depan Mama busy tak? Kalau tak, bolehlah ajak An .. Kak Nurul .. dengan Abang Wan ke sini, jumpa Mama.” Akhirnya dia mengusulkan. Lama sangat Mamanya terdiam.

Spontan Datin Saira menoleh. Rasa mahu membantah, tapi .. pada masa yang sama, seakan mahu bersetuju. Membantah kerana Rizwan .. setuju kerana cucu. Sudahnya, hati kecilnya bertelingkah sendiri.

“Macam mana, Mama?” Diam Mamanya membuatkan dia bersuara lagi.

“Minggu depan Mama ada function.” Terkeluar juga suaranya.

Rizhan mengangguk lemah. Hampa.

“Tak apalah kalau macam tu. Mungkin lain kali.”

Diam seketika.

“Ok lah, Ma. Riz naik dulu. Good night. ” Dia bangkit berdiri. Sebelum berlalu, sempat dicium pipi Mamanya.

“Mama jangan tidur lewat sangat.” Sambungnya lagi.

Datin Saira hanya mengangguk, mengiyakan pesan anaknya.

Padahal hatinya juga tak keruan. Sebenarnya dia juga mahukan pertemuan itu. Boleh saja kalau dibatalkan persetujuan hadir ke function Puan Sri Mona. Tapi minggu depan .. masa yang terlalu singkat. Tidak sempat nak buat persiapan apa pun.

Didaki anak tangga dengan rasa kecewa. Kecewa kerana pujukannya masih belum berjaya. Meski hati ranap, meski jiwa hancur .. hubungan Mama dengan Abang Rizwan mesti dijernihkan kembali.

Dan sakitnya? Biarlah dia merawat sendiri.

Hatinya berdesis kecil. Ikrar seorang adik.



Dia berkejaran ke lif. Ditekannya butang bersimbol turun.

Sesaat .. dua saat ..

Ditekan-tekan butang itu beberapa kali.

“Eh .. Abang! Kenapa?” Satu suara tiba-tiba bergema.

Ditoleh ke kanan. Rizhan sudah tegak berdiri di sebelah.

“Anis .. eh, Kak Nurul ..! Kak Nurul jatuh tangga!” Cemas sekali dia memberitahu.

Mata Rizhan terus terbuntang.

“Argh!!” Rizwan yang kekalutan sudah berlari ke tangga kecemasan.

Rizhan turut mengekor.

“Jom, naik kereta Riz!” Rizhan melaung sebaik sampai ke tempat parkir kereta.

Rizwan tidak membantah. Elok sekali, turun saja dari tangga, kereta adiknya betul-betul sudah tersembul depan mata.

Nasib saja bangunan pejabat hanya beberapa tingkat. Kalau tidak, mahu dia pulak jatuh tergolek kat tangga.

“Rumah Abang. Riz tahu, kan?” Rizwan bersuara sebaik tubuhnya diloloskan ke perut kereta.

“Ya.” Sepatah sahaja dia menjawab, tetapi keretanya sudah meluncur laju di atas jalan raya.

Kedua-dua lelaki itu berdiam diri. Masing-masing melayan perasaan, berkerut dahi dan kening .. risaukan wanita kesayangan.

Kebisuan dalam pemanduan pada kelajuan menghampiri 120 km per jam dicabuli oleh deringan telefon yang tiba-tiba menjerit nyaring.

Handset yang setia di tangan pantas diangkat. Butang ‘jawab’ segera ditekan.

Si pemandu turut berpaling. Ternanti-nanti untuk mengetahui gerangan si pemanggil. Tapi lebih tertunggu-tunggu berita yang bakal diperdengarkan.

“Abang Wan! Ni Yuni. Kak Anis dah kat klinik!” Belum sempat sebarang kata diucap, suara di hujung talian sudah bergema.

Hanya beberapa patah keterangan lagi diberikan, talian dimatikan. Dan haluan kereta turut bertukar. Meluncur laju semula. Semuanya gara wanita itu .. wanita bernama Nurul Anis!

1 comment:

  1. hai cik writer..terkelu perasaan saya dengan kehibaan rizhan dan apatah lagi dengan debaran rizwan yang dipendam..rasanya macam ada dua gunung berapi yang nak meletop..

    TQ cik writer untuk n3 kali ini. Konflik dua beradik ini pasti tegang bila kisah sebenarnya tersingkap.. nak lagi..

    ReplyDelete