Friday, April 27, 2012

Gerimis Kasih Kita 14


Langkah diatur laju ke arah lif. Staf-staf yang menyedari kehadirannya tidak melepaskan peluang mengucap selamat. Dia hanya senyum mengangguk.
Sesampai di depan pintu lif, button ditekan. Pukul 3 nanti ada mesyuarat dengan client. Dia perlu bersegera lunch. Kalau tak, nanti terpaksalah perut diisi kenyang ikut selera client. Maunya seharian mual-mual tekak nanti.
Dia masih sabar menanti di situ ketika pintu lif sebelah sudah terbuka luas. Beberapa orang staf keluar, lantas menyapanya. Hanya anggukan kepala membalas sapaan itu.
Tiba-tiba wajah yang sangat tidak asing lagi tersembul di ruang matanya.
“Eh, abang. Makan, jom.” Spontan mulut mengajak. Barangkali disebabkan sudah terlalu lama tak makan bersama. Ya, hampir enam bulan.
“Maaf la Riz, abang nak balik ni. Nak bawak Kak Nurul pergi klinik. Lain kali, ya.” Dia menjawab lembut.
“Kak Nurul tak sihat ke?” Dahi Rizhan sudah berkerut.
“Tak .. appointment. Scanning, checking .. “
“Oh, ya! Lupa. Eh, kalau macam tu, Riz ikut abang. Nak jugak kenal kakak ipar Riz tu.” Beria-ia Rizhan mengusulkan.
“Lain kali. Lain kali abang bawak Riz jumpa dia.” Pantas Rizwan menghalang. Terasa jantungnya tiba-tiba berdegup kencang.
Rizhan diam tidak terkata.
Abangnya yang pantas menyusup masuk ke dalam kotak lif  yang baru terbuka dipandang lama.  Hanya beberapa ketika kemudian barulah dia turut melangkah masuk.

“Abang pergi dulu.” Suara itu membuatkan dia lantas berpaling, tetapi kelibat abangnya sudah menjauh pergi.
Pelik! Sangat pelik!
Apa yang mampu dilakukan hanyalah menarik nafas dalam-dalam dan memerhatikan susuk tubuh Rizwan yang semakin menghilang.
Macam-macam persoalan berlegar-legar dalam fikirannya. Dah berkali-kali dia menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan Kak Nurul. Tapi setiap kali itulah abang Rizwannya beralasan. Kenapa la susah sangat nak kenal isteri abang sendiri? Padahal kakak ipar dia jugak.
Rasa tak puas hati masih menekan-nekan perdu hati, tetapi sengaja tidak diendahkannya. Barangkali belum sampai masanya untuk semua tu.

Langkah Anis yang tadinya laju tiba-tiba terhenti. Tercegat dia di situ dengan dahi berkerut. Dia memandang sahaja Rizwan yang sudah membukakan pintu dan menghidupkan enjin kereta. Kaku tanpa sebarang kata. Hanya setelah Rizwan menghantar isyarat menyuruh dia masuk kereta melalui pandangan mata, barulah dia kembali melangkah perlahan-lahan. Itupun masih dengan muka yang penuh dengan tanda tanya.
Sesekali dia mengerling ke sebelah kanan. Rizwan tenang memandu. Sikit pun tak hiraukan dia. Kemudian dia pandang pula ke sebelah kiri. Belum sampai seminit, ditoleh semula ke kanan.
“Anis nak cakap apa?” Hah, itu dia! Agaknya Rizwan pun sudah naik rimas dengan kelakuan wanita di sebelah.
“Macam mana Hyundai Genesis boleh bertukar jadi Kancil?”
Soalan itu berlegar-legar dalam kepala Anis. Dicubanya untuk luahkan, tapi seakan tersekat di kerongkong. Lama dia memandang Rizwan. Sudahnya, dia menarik nafas dalam.
“Tak ada apa-apa.” Terus kepala ditolehkan ke kiri, melihat ke tepian jalan dengan minda yang berterbangan entah ke mana.
Rizwan turut membisu. Dia tahu, dia faham apa yang sedang bersawang dalam fikiran Anis. Cuma dia masih belum mahu bersuara untuk menjelaskannya. Mungkin sedikit masa lagi.

S
elesai semuanya di klinik, Rizwan membawa aku ke sebuah pasar raya. Katanya nak beli barang dapur. Dan ada hal yang perlu diselesaikan di sini.
Dari satu kedai ke satu kedai, aku bagaikan terpaku melihat koleksi pakaian bayi. Cantik! Pelbagai corak dan warna, semuanya berjaya menarik perhatian aku.
Suami aku sudah hilang entah ke mana ntah. Oh ya, tiba-tiba dia dipanggil, disuruh berjumpa seseorang. Ditinggalnya aku kat sini. Eh, silap! Aku yang tak nak ikut. Malas nak masuk campur urusan kerja dia.
Aku belek-belek pakaian bayi tu sampai tak hiraukan sekeliling. Tak toleh kanan kiri langsung. Melihat-lihat semua kelengkapan bayi membuatkan aku ralit. Agaknya inilah yang dikatakan pembawaan bayi, kot.
“Er .. Anis?”
Tiba-tiba satu suara menyapa. Tersentak aku dibuatnya. Lekas-lekas kepala dipusingkan, mencari pemilik suara itu.
Seorang lelaki tegak berdiri di sebelah. Kemas dalam pakaian pejabat.
Aku menilik-nilik mukanya buat beberapa ketika. Eh .. rasa macam pernah tengok dia ni! Tapi di mana, ya?
 Sedetik, dua detik .. aku diam sambil memerah otak. Tapi memori pasal lelaki ini masih tak datang-datang.
“Awak ni ..” Akhirnya aku bersuara. Sengaja menggantungkan ayat, isyarat supaya dia faham bahawasanya aku tak dapat mengimbas apa-apa profil dirinya dalam sudut ingatan, dan berharap agar dia memperkenalkan diri.
“Oh .. jadi, betullah awak Anis! Saya Rizhan.” Dia menjawab. Mukanya berseri-seri dengan senyum manis di bibir.
Aku kerutkan dahi. Mulut berulang kali menyebut ‘Rizhan’, tapi minda masih belum berjaya menjejak ssebarang ingatan tentangnya.
“Langkawi, lukisan .. Ingat tak?” Dia menyambung lagi. Masih dengan senyum panjangnya. Beria-ia nak menjana ingatan aku pasal dirinya. Mungkin tak keterlaluan kalau aku kata dia sangat gembira dapat berjumpa denganku. Lihat sahaja matanya yang bercahaya itu. Atau .. adakah aku sedang perasan sendiri?!
“Oh, ya! Ingat, ingat! Rizhan yang selalu dengan kanvas, dengan kamera. Maaflah, tadi tak cam. Dah lain. Dah tak ada janggut, tak ada jambang.” Erk! Tersambung ayat yang tak sepatutnya di situ.
“Ya, ya. Sekarang cuba style  baru.” Mendatar sahaja suaranya.
Aku hanya menyambut dengan anggukan kecil. Sekejap-sekejap mendongak ke mukanya, sekejap-sekejap melilau ke arah lain. Semuanya gara-gara rasa kekok bila teringatkan kerenah lelaki ini yang selalu mengekor aku masa di Langkawi dulu. Segan pun ada.
“Minum, jom .. borak-borak. Dah lama saya cari Anis, tak jumpa-jumpa.” Spontan dia mengajak. Tak dirancang. Barangkali dek kerana hati terasa berbunga-bunga.
Erk! Kaget aku dengan pelawaan Rizhan. Gaya macam aku ni member kamceng dia. Padahal masa kat Langkawi dulu adik aku si Ayuni je yang rajin melayan dia. Aku cuma tumpang gelak bila dia buat lawak. 
“Err .. maaf la, mungkin lain kali je kot. Saya tengah tunggu suami. Dia ada hal tadi. Rasanya kejap lagi dia mari sini balik.” Tergagap-gagap aku menjawab. Bimbang jugak kalau-kalau dia terasa hati dengan penolakan aku.
Air muka Rizhan membeku tiba-tiba. Spontan matanya menyorot ke perut aku. Mungkin baru perasan ‘kelainan’ di situ.
Kebisuan mendadak Rizhan membuatkan aku rasa serba salah. Dan tak semena-mena fikiran aku membuat spekulasi sendiri. “Dia terkejut. Tentu dia masih menyimpan perasaan pada aku.    
Sangat tak patut, tapi hanya kenyataan itu berputar-putar dalam kepala aku.

Talian diputuskan. Alat teknologi komunikasi itu diletakkan ke atas meja. Gembiranya rasa hati. Segala ‘urusan projek’ yang dirancang berjalan dengan lancar. Hanya memerlukan dia bersabar untuk sedikit masa sahaja lagi, dan ‘misi’ akan berjaya.
Dia baru berkira-kira untuk menjenguk anak terunanya di atas, tapi dah ada kelibatnya depan mata.
“Riz ..” Si teruna berpaling. Terbantut langkahnya yang sedang menuju ke dapur.
“Mai sini. Mama nak cakap sikit.” Dengan muka riang berseri-seri, dia menepuk-nepuk sofa di sebelahnya.
Rizhan akur. Niatnya turun untuk mengambil minuman sahaja. Nanti nak sambung semula kerja pejabat yang di bawa balik. Tetapi demi ibu yang tercinta, dia patuh sahaja. Dilabuhkan punggungnya di sofa yang bertentangan dengan Datin Saira.
 “Minggu depan Datin Khaty nak buat party untuk birthday Airin. Tapi birthday Riz kan awal sehari dua je daripada Airin tu, jadi apa kata kita buat sekali je majlis tu?”
Rizhan senyap. Ingatkan apa sangatlah yang mama nak cakapkan. Macam terlampau serius je bendanya.
“Ok.” Sepatah sahaja jawapan keluar. Bersetuju sajalah, kesian mama dah bersungguh semacam dah tu.
Datin Saira tersenyum gembira. Macam-macam perancangan bermain-main dalam kepalanya.
“Mama nak jemput semua saudara kita, semua kawan mama. Kawan-kawan Riz pun mama nak jemput semua. Biar party ni jadi party paling meriah. Semua dapat berkumpul sekali .. seronoknya!”
Rizhan diam mendengar perancangan Datin Saira. Nama orang itu disebut, nama orang ini disenaraikan, dengan kenalan-kenalan biasa pun masuk senarai sekali.
“Mama.” Tiba-tiba dia memanggil. Mulut mamanya yang sibuk bercakap itu ini berhenti operasi serta-merta. Tepat matanya memberikan perhatian kepada Rizhan.
“Mama tak nak jemput Abang Wan dengan Kak Nurul? Diorang pun saudara kita. Dekat pulak tu.” Soalan cepu mas!
Tersentak dengan pertanyaan itu, jantungnya terus berdegup kencang.
“Jangan sebut nama budak tak sedar diuntung tu! Mama tak nak tengok muka orang macam tu!” Suara Datin Saira mula meninggi. Dicerlungkan mata tajamnya pada Rizhan. 
“Ma .. kesian Abang Wan. Anak kandung mama sendiri tu. Kak Nurul yang tak tahu apa-apa, takkan dia pun mama tak nak terima? Bagilah diorang peluang, ma. Kesian dia.” Lembut Rizhan memujuk. Dipandangnya muka kelat Datin Saira.
Kadang-kadang dia naik hairan. Kenapalah mama benci sangat pada Abang Rizwan? Padahal Abang Rizwan tu layan mama jauh lebih baik daripada dia melayan mama. Bila disebut, marah. Tapi bila ditanya, menangis sakan pulak. Pelik.
“Riz ni kenapa?! Riz pulak ke yang nak lawan mama?! Derhaka pada mama?!” Rasa berapi dada Datin Saira dengan kata-kata Rizhan.
“Ma .. Riz bukan nak derhaka pada mama. Abang Wan pun tak derhaka. Riz tengok Abang Wan tu dah cukup baik layan mama. Cuma mama je yang tak nak bukak mata.” Dialun-alunkan suaranya untuk terus memujuk.
“Dah, Riz! Cukup! Mama tak nak dengar pasal dia. Cukup.” Datin Saira sudah menggeleng-gelengkan kepala berkali-kali.
“Kesian diorang, ma. Tak lama lagi baby  diorang akan lahir. Mama tak nak ke dukung cucu mama?” Sengaja dia menyebut soal baby. Sebab dia tahu mama sangat sukakan baby.
Lidahnya terkelu. Datin Saira sudah tayang muka terkejut sekali lagi. Tak tahu pulak yang dia bakal bergelar nenek. Tak lama lagi? Sudah berapa bulan? Lelaki ke perempuan baby  tu?
Tiba-tiba hatinya berasa sedih. Isteri Rizwan mengandung. Rizwan langsung tidak memberitahunya. Sampai hati Rizwan.
Eh .. tapi, macam mana dia nak bagi tau? Kan aku dah tak benarkan dia datang sini lagi? Tapi .. takkan sampai menantu aku mengandung pun dia tak nak bagi tau? Tak sepatutnya! Walau macam mana pun aku cakap, dia sepatutnya bagi tahu aku pasal ni!
Hati kecil Datin Saira bertingkah sendiri.
Rizhan memandang sahaja mamanya tanpa sebarang kata. Berikan ruang untuk wanita itu merenungkan tindakannya. Lagipun mama nampak macam sedang berfikir dah tu.

No comments:

Post a Comment