Saturday, April 30, 2016

Aku Tak Percaya Cinta! 2



            Tit .. tit ..

            Tangan cepat menggagau gajet yang sentiasa setia di sebelah.

            1 mesej diterima.

            Pad kekunci aku buka laju.

            “5 minit. Saudara-mara kita curi masa saya.”

            Aku tergelak kecil. Terasa lucu perkataan “curi” yang dia gunakan. Manakan tidak, dari dalam bilik ini pun aku sudah dapat dengar hingar-bingar pengumuman ketibaan pihak lelaki dibuat tetamu-tetamu yang hadir. Tapi boleh pula dia menghantar mesej. Tentu dia masih tersekat di luar. “Penjaga pintu” rumah aku memang ramai. Berpeluhlah dia nak melepasi mereka.

            “Hana, sedia. Tok Imam pesan dah dekat nak mula.” Tangan Kak Farahayu mendarat di bahuku. Tersentak aku dibuatnya.

            “Hmm ..” Senyum nipis beserta anggukan kecil aku lemparkan, tanda mengiyakan.

            “Saya tunggu.” Butang Hantar ditekan.

            Aku membetulkan duduk. Tangan menggenggam erat tisu di tangan. Makin banyak detik berlalu, makin terasa basah telapak tangan. Makin kejap tisu digenggam. 

            Mata singgah ke jam yang tergantung di dinding. Jarum yang sentiasa berputar itu menambahkan detak jantung yang semakin kuat memukul dada. Sedetik demi sedetik .. membuai diriku ke saat-saat yang telah berlalu. Masa silam yang beransur pergi.

             “.. saya akan buktikan. Apa yang saya mahu, akan saya peroleh. Sebab saya percayakan cinta .. dan awak juga akan mengakuinya ..”

            Senyum kecil hadir di bibir. Terngiang-ngiang kembali ayat itu, macam baru semalam aku dengar. Padahal sudah tiga tahun peristiwa itu berlalu. Peristiwa yang telah mengubah hampir seratus peratus rentak kehidupan. Membenarkan saat ini berlaku dalam perjalanan hidupku yang mencapai angka hampir suku abad.



Tiga tahun lalu ...

            “Aku tak cakap kat kau ke, yang Abang Naz ni memang tinggal sekali dengan keluarga aku .. dari kecil lagi?”

            Mata ini terkebil-kebil menentang muka perempuan itu. Berkerut-kerut muka Tia, tapi lagi berkerut muka aku. Dengan letih sebab perjalanan jauhnya, ditambah pula dengan kejutan yang tak disangka-sangka. Memang patut aku tayang muka keruh penuh kerutan tika ini.

            Dia! Lelaki yang terpijak kaki aku dengan kasut ketap-ketupnya tiga bulan lepas .. lelaki yang bermadah tentang cinta .. kini terpacak tegak di depan mata aku!

            Pandangan aku silih berganti antara muka Tia dengan muka jejaka murah senyuman itu. Sedang lidah kelu tanpa sebarang kata.

            “Oh .. ok. Kenalkan, Abang Nazril .. sepupu, merangkap abang susuan, merangkap abang angkat, merangkap abang .. aku.” Barangkali kebisuanku sudah memberi jawapan lengkap kepada Tia.

            Serentak itu, lelaki yang tak putus-putus dengan sengih panjang itu mengangkat tangan. 

            “Hai.” Ucapnya girang.

            Aku hanya mengangguk. Segarit senyum paksa dilorek tawar. Membalas .. sebagai tanda menghormati tuan rumah. 

            “Kita jumpa lagi!” Sambungnya lagi.

            Aduhai ..! Apalah nasib aku ni? Nampaknya silap besar aku datang ke sini!    



            Tetamu sudah semakin ramai. Khemah perempuan sudah hampir penuh, begitu juga dengan khemah lelaki. Nampaknya ramai sungguh jemputan ke majlis perkahwinan Kak Nadia ini. Agaknya semua yang diundang berusaha menghadirkan diri kot.

            Aku menarik nafas panjang. Nasib baik awal-awal tadi lagi aku sudah menjamu selera. Masa tetamu masih belum ramai. Kalau tidak, alamatnya sampai perut dah peringkat bernyanyi lagu rock kapak pun belum tentu aku sanggup menyertai lautan manusia tersebut.

            Tapi .. suka atau tidak, aku tetap kena menyertai mereka! 

            “Tolong bahagikan goody bag!”

            Begitu kata Tia. Aku pun tak tahu sama ada itu permintaan atau perintahan. Yang pasti, tugasan tersebut benar-benar buat aku berasa sesak nafas.

            Macam mana Tia boleh terfikir untuk memberikan tugas sebegitu kepadaku? Bukan dia tak tahu aku ini bagaimana. Senyum .. menyapa .. bermesra .. sungguh, aku sangat tak reti! Kepakaranku hanyalah mempamer muka toya. Atau muka bengang. Tapi, senyum panjang ..?! Argh ..!

            Tak guna jadi tugu kat sini! Sampai bila pun takkan habis goody bag yang kau pegang tu. Go! Kau boleh buat, Hana!

            Kata-kata semangat untuk diri sendiri.    
  
            Perlahan-lahan aku menapak ke bawah khemah. Menuju ke arah ‘insan bertuah’ yang pertama. Penuh semangat ... 

            Tapi akhirnya terpacak kaku semula. Hanya melihat manusia-manusia yang sedang makan-makan.

            Tiba-tiba seorang manusia memunculkan diri. Satu goody bag daripada bakul yang aku pegang diambil. Diangkat tinggi kotak kecil itu hingga separas mukaku, sambil matanya memandang muka ini.

            “Cenderahati untuk akak. Terima kasih sudi datang.”

            Aku melihat tanpa berkelip.

            “Terima kasih.”

            Tersengih-sengih wanita yang menerima. Dari air mukanya, dianggarkan usianya sekitar pertengahan 40-an. Cantik, tapi .. akak?!

            “Mudah, kan?” 

            Tanya atau beritahu .. aku sudah tak dapat bezakannya. Yang aku tahu, balasannya tetap “Tak!”

            “Ok, jom buat sama-sama.” Selepas beberapa saat membatu, akhirnya dia bersuara. 

            Bagus, Nazril Hakimi! Sekarang sudah ada satu sebab untuk aku terima kau sebagai kenalan. Tapi .. senyum, menyapa dan bermesra .. aku serahkan pada kau! Aku akan tolong pegangkan bakul ni saja. Itu yang pasti!



            Penat. Itu yang aku rasa. Tapi seronok. Bukan selalu dapat membantu menjayakan majlis kahwin daripada mengemas, menghias, menyediakan goody bag dan membahagikannya, sampailah mengemas semula. Lagi-lagi di rumah rakan sekelas, bukan saudara-mara terdekat.

            Last demand untuk hari ni .. boleh?” Suara dibuat lirih dengan muka berharap.

            Aku pandang muka Tia. Langsung tak ada rasa kesian. Tapi dek kerana matlamat utama datang sejauh ini sememangnya untuk membantu dan memeriahkan majlis, maka aku mengangguk.

            “Tolong kemaskan kerusi meja. Aku kena kemas bahagian dapur.”

            Angguk.

            “Terima kasih.” 

            Laju dia berlari masuk ke rumah. Tapi dia berhenti sekejap.

            “Jangan risau, Abang Naz tolong kau.” Ujarnya.

            Bantahan! 

            Serta-merta kerisauan mencanak naik ke kepala. Lelaki itu suka bercakap. Suka juga bertanya. Bertentangan sekali dengan perkataan ‘privasi’ yang aku pegang. Ditambah lagi dengan kisah yang pernah berlaku antara kami. 

            Kau silap, Tia! Memang aku patut risau!

            “Penat, kan?” Satu suara tiba-tiba bergema.

            Tengok!

            Cadangnya nak buat tak dengar saja. Tapi macam tak logik pulak sebab suaranya tersangatlah high volume untuk dibuat begitu. Teringatkan pula bantuannya tadi, lagilah tak patut cadangan dilaksanakan.

            Maka, senyum tawar aku garitkan. Dan angguk kepala sedikit. Kemudian tumpukan perhatian terhadap kerusi meja.

            “Tak apalah, saya buat. Awak rehatlah.” 

            Saranan yang sebenarnya mahu aku sambut dengan “Baiklah.” Tapi ..

            “Tak apa.” Nyata sekali lidah tak sekata dengan hati.

            “Mungkin masa ni kurang sesuai, tapi .. kenapa awak ignore bila saya mesej?”

            Ini yang buat aku rasa nak marah orang ni. Dah maksud ignore tu sendiri pun buat tak peduli, tentulah sebab aku malas nak ambil peduli!

            “Soalan yang sama buat kali kedua? Hmm .. mungkin maksudnya saya kena jawab. Mudah .. sebab itu pilihan saya.” Aku dah jawab soalan yang kau tanya dari semalam. Puas hati?

            Dia mengangkat kening. Dan kemudian melakar senyum.

            “Malang, kan? Awal-awal lagi dah kena reject.” Ujarnya. Secara tak langsung membuatkan aku pula melakar senyum.

            “Terlalu berterus-terang.” Selanya lagi.

            “Tapi, too bad .. apa yang saya mahu, akan saya peroleh. Itu prinsip saya.”

            “Kita tengok nanti.” Seakan-akan mencabar .. tak, memang mencabar. Itu yang sedang aku lakukan sekarang.
            


            Getaran kecil terasa. Membuatkan mata kembali terbuka luas. Serta-merta membawa pergi lali-lali yang hampir melelapkan.

            Gajet di sebelah kanan kepala aku capai.  
 
            1 mesej diterima.

            Pad kekunci dibuka.

            Tiada nama, hanya deretan nombor penghantar terpampang.

            “Penampilan memuaskan. Prestasi kerja memuaskan. Cuma kemahiran bersosial sangat teruk. Perlu tingkatkan usaha ..”  

            Hampir tiga minit skrin kecil empat persegi itu menyala. Rasanya adalah 4, 5 kali aku mengulang baca.

            Kalau macam ni struktur ayatnya, tak perlu simpan nombor dalam Senarai Kenalan pun tak apa. Dah boleh agak siapa yang rajin membuat karangan Bahasa Melayu pada waktu yang sukar dipercayai sebegini.

            Sudah sebulan Peti Masuk aku tidak menerima kiriman daripada nombor yang tertera. Tapi nampaknya nombor aku masih dalam simpanannya. Dan aku sangat pasti, mulai malam ini, kiriman-kirimannya akan terus memasuki Peti Masuk aku. Cuma sampai bila, aku tak pasti. Kalau aku ignore, mungkin paling lama sampai 2 bulan sahaja, seperti sebelum ini.

            Tidak perlu buat sebarang pertimbangan, aku letakkan semula telefon ke tempat tadi. Dan mata kembali dipejam rapat.   


            Dua bulan sudah berlalu. Aku meneruskan rutin hidup sebagai penuntut di negeri Bandar Raya Pesisir Air dengan aman. Cuba memberikan komitmen terhadap perkara utama sepenuhnya, dan sedaya upaya mengelakkan diri serta menyingkirkan perkara-perkara lain yang kurang atau tidak penting. Termasuk dalam usaha tersebut ialah tindakan memadamkan memori-memori yang tidak penting.

            Tapi ternyata ia tidak semudah yang disangka. 

            Buktinya, tika ini aku ‘terkepung’ di antara manusia-manusia yang tidak punya kaitan secara langsung dengan hidup aku. Hanya pertalian secara rantaian. Tia, Kak Nadia dan suaminya, .. serta Nazril Hakimi!

            Aku tidak punya sebarang idea yang munasabah untuk mengaitkan rasionaliti turut serta dalam perhimpunan keluarga ini. Berkali-kali minda mengemukakan beberapa andaian, tapi pada akhirnya, ia tetap kedengaran tidak masuk dek akal.

            Mencegah sudah tentu lebih baik daripada melarikan diri. Tetapi untuk bertindak sebegitu sudah semestinya sangat mustahil kerana ia berlaku di luar jangkaan. Hanya kerana mengulangi rutin keluar joging bersama Tia seperti waktu-waktu terdahulu, aku turut ‘diseret’ ke sini apabila sepupu kesayangan merangkap abang Tia itu memunculkan diri secara tiba-tiba bersama dua lagi ahli keluarga mereka. 

            Dengan situasi sebegini, melampaukah kalau aku katakan bahawa aku telah menjadi mangsa ‘culik’? Kerana sememangnya aku telah dipaksa menempatkan diri dalam kalangan mereka di sini ...

            “Maaf .. pasal tadi.” Tia bermukaddimah. Tangannya masih bekerja mengeringkan rambut dengan tuala.

            “Tak apa. Cuma rasa terasing sikit. Perhimpunan keluarga kau, kan.” 

            Benda sudah berlaku, tak elok diungkit-ungkit, kan. Lagi pula, seharusnya aku tunjukkan penghargaan atas layanan Kak Nadia yang jelas-jelas berusaha ‘membawa’ aku dalam perbualan mereka. Dan kesudian suaminya mengeluarkan belanja untuk makanan tadi.

            “Lega aku, kau cakap macam tu.”

            Sebagai isyarat balas, aku senyum dan mengangguk.

            “Pasal Abang Naz .. aku minta maaf.” Tia bersuara kembali.

            Serentak kepala yang tadinya menunduk menghadap buku aku dongakkan. 

            “Dia kacau kau, kan? Aku minta maaf untuk tu.” Dia menyambung.

            Aku tak memberi respon. Hanya mata berkelip-kelip.

            Senyap seketika.

            For teasing 20-year-old girl .. that’s so mean! Plus .. kawan aku .. kawan adik dia sendiri.”

            Terangkat kening aku.

            Ignore him. Nanti dia akan berhenti.”

            Trust me.” 

            Tak tahu dan tak mahu mencelah, maka aku hanya mendengar. Membiarkan Tia berkata-kata.

            Ignore him. 

            Memang itulah yang aku buat. Dari dulu lagi. 

            Tapi tak jugak. Selepas kenduri di rumah Tia hari tu, tak semua mesej dia aku buat tak peduli. Ada satu, dua aku balas. Bila dirasakan perlu.  

            Mungkin lepas ni aku dah tak perlu buat begitu. Biarkan saja semua mesej dia. Tia pun nampaknya mahu begitu. 

            “Sampai hari ni .. dia ada contact lagi?” Tia bertanya.

            “Hmm .. ada.” Jawabku ringkas. Kepala dianggukkan.

            “Huh ..” Keluhan kasar dilepaskan. Terang-terang kelihatan riak tak puas hatinya.

            “Aku tertanya-tanya ..” 

            Perhatian Tia sudah tertancap kemas pada mukaku.

            “Banyak yang dia tahu.” Sambungku.

            Pernyataan yang membawa maksud menyoal. Mendengarkannya membuatkan Tia menarik nafas panjang.

            “Kesilapan dari awal.” Dia berjeda.

            “Abang Naz tengok gambar kita. Daripada situ, dia mula sibuk nak tahu hal kau. Keluarga, tempat asal, kesukaan kau .. semuanya dia tanya. Aku layan aje lah, sebab bukan kau sorang .. Moon, Yana dan Dayah pun jadi topik jugak. Tapi .. tak sangka pulak dia ingat benda yang aku cakap.” 

            Mendengar kenyataan sebegini, reaksi macam mana perlu aku tunjukkan? Suka .. sebab menjadi tumpuan ... atau marah .. sebab maklumat diriku dibocorkan?

            “Oh ..” Respon paling selamat yang mampu aku berikan. 



Cuti semester ...

            Lelaki itu bersantai di tepi kolam ikan. Ralit di situ meskipun kelam malam kian memekat. Mungkin kedinginan bayu malam di taman ini memberikan keselesaan buatnya.

            Tia melabuhkan duduk di sebelah. Menarik perhatian Nazril Hakimi yang tadinya menatap dan menekan butang telefon bimbit di tangan. Senyum manis diukir.

            “Mesej kawan?” Tia memulakan bicara. Berminat untuk mengetahui gerangan si penerima mesej di sana.

            “Hurm .. set masa untuk konvoi balik Terengganu esok.” 

            Jawapan yang cukup melegakan hatinya.

            “Malam ni .. tak mesej Hana?” Tona tidak puas hati kedengaran.

            Nazril Hakimi terpana. Tia di sebelah dipandang. Sekejap sahaja, sebelum tawa diletuskan. 

            “Hana?” Soalnya semula.
            Tia mengangguk. Bibirnya dikemam. Tingkah-tingkah kecil yang tidak dapat dikikis bilamana berada dalam situasi yang tidak memuaskan hati.

            “Kalau Hana, bukan setakat malam .. pagi, tengah hari, petang .. bila-bila masa pun Abang Naz mesej. Bukan malam saja.” 

            Tia mengeluh.

            Dia tergelak lagi. Sengaja mahu mengusik Tia sebenarnya. Dah nampak tak puas hati sangat. Walhal tidaklah sampai ke tahap itu kegilaannya. Jarang-jarang sahaja mesej Hana. Itupun tak berbalas. Dulu-dulu ada la juga dibalasnya satu, dua mesej yang dihantar. Masa tu seronok bukan main rasanya, macam dah terawang-awangan. Tapi semua itu sekejap saja. Hana dah buat balik ... ignore .. sebab itu pilihan saya! Kecewa rasanya. Tapi belum terasa mahu berhenti.

            “Tia, Tia .. nak cakap apa sebenarnya ni?” Akhirnya dia mengalah. Sudah dapat mengagak yang Tia mahu memperkatakan sesuatu.

            “Abang Naz .. takkanlah dengan Hana ..” 

            Why not?”

            “Tia tak sukalah Abang Naz dengan Hana. Hana tu kan kawan Tia.” Riak wajah perempuan itu bertukar kelat. Siap berkerut lagi. Muka sepupunya di sebelah kiri dipandang tepat.

            “Kenapa pulak?” Nazril tidak cepat melatah. Perlahan aje bertanya. Dia turut menuntas pandangan ke seraut muka cemberut di sebelahnya.

            “Ya la, elok-elok kawan, tiba-tiba nak masuk dalam keluarga pulak. Tak nak la macam tu. Tak suka. Macam dah tak ada orang lain.” Beria gadis itu memprotes. Siap dengan muncung panjang lagi. Ekspresikan perasaan sepenuh hati nampaknya.

            “Laa .. kan bagus macam tu. Sekurang-kurangnya Tia dah kenal, dah faham dia. Silap-silap boleh jadi member paling kamceng lagi. Tak gitu?” Kening dijongket dengan muka selamba. Seolah-olah tak terkesan dengan kata-kata sepupunya. Tak nak mengalah punya pasal. 

            “Tak payahlah, Abang Naz. Cari orang lain, la. Ramai lagi perempuan kat luar tu. Kak Drea pun ada, kan? Cantik lagi daripada Hana. Dah kerja, sama dengan Abang Naz lagi. Itu lagi elok, saling memahami. Senang pun senang, tempat kerja sekali.” Beria-ia lagi memujuk, siap ditarik-tarik lengan si sepupu.

            “Apa thrill kerja sekali? Tak mencabar langsung.” 

            Berpegang teguh pada pilihannya. Tak tergugat dengan acahan Tia. Memang Drea cantik, tapi .. cantik lagi Farahana! Ada personaliti tersendiri .. walaupun kadang-kadang nampak macam memeningkan. 

            Terbayang gelagat perempuan itu. Spontan gelak kecil terluah. 

            “Abang Naz ni nak cari bini ke saja-saja mengurat, siap nak yang thrill bagai?” Geram mendengar respon sang sepupu. Berasap rasanya.   

            “Hamboih ..” Tidak senang dengan ayat lancang Tia, dia menegur. Tak salah nak membantah, tapi tatasusila harus tetap diutamakan. 

            Sorry .. “ Tia menunduk. Rasa bersalah dengan kelancangan berbahasanya.

            Nazril Hakimi menarik nafas. Tia kelihatannya menentang keras pilihan hatinya. Padahal rasa suka itu baru berputik. Dan dia masih berusaha untuk lebih mengenali .. walaupun huluran perkenalannya ditolak mentah-mentah si empunya diri! Tak kisahlah. Kalau dah mahu, sampai ke sudah dia akan dapatkan. Tapi kalau ahli keluarga menentang, memang naya!

            “Kenapa Tia tak suka dia? Perangai teruk?” Perlahan aje dia bertanya. Memujuk, sambil mengorek cerita.   

            “Tak ada la teruk. Tapi ada masa annoying jugak la.”

            “Kalau macam tu, kesian la. Kalau bukan Abang Naz, tak ada la orang yang nak kat dia. Kan?” Sengih lebar ditayangkan. Berseloroh sambil meluahkan perasaan. 

            Tia mencebik.

            “Oh, silap tu! Salah, salah.” Sepasang tangannya digawang-gawangkan di udara. Nampak bersemangat sekali nak berhujah.

            “Ya? Sebab apa?” Makin berminat pula dengan respon si Tia. 

            “Sebab Hana tu, pergi mana-mana pun, ada aje orang nak approach dia.”

            Nazril mencelikkan mata luas-luas. Isyarat yang dia mahukan kepastian. Terkesan sekali dengan pendedahan Tia. Detak jantung sudah tidak di zon selesa.

            “Iya, Abang Naz. Guard, pekerja kedai makan, technician .. budak yang muda dua tahun daripada dia pun pernah main kirim-kirim salam kat dia, tau. Itu yang memang ada bunyi. Yang tak bunyi apa-apa, main jeling-jeling aje pun ada jugak.” 

            Sengih Tia melebar. Bangga dapat berkongsi pengetahuan yang dimiliki. Tak sia-sia melepak selama ini dengan Farahana tu.

            Lelaki itu terdiam. Tak senang hati dengan cerita yang didengar.

            “Apa respon Hana?” Akhirnya ada juga kata terluah. Dah tak ada rupa sengihnya.

             Tia mengukir senyum. Geli hati melihat perubahan rona muka sepupunya.

            “Nak respon apa, Abang Naz? Dia tu mana reti nak bercampur dengan orang. Muka ketat tu la yang dia tayangnya. Siap jeling tajam lagi. Tak faham betul. Macam manalah orang boleh tertarik dengan dia tu?”

            Muncung Tia kembali memanjang. Berkerut-kerut mukanya. 

            Tapi lain pula halnya dengan Nazril Hakimi. Tenang rasa hati. Lega ...



Semester baru ...
            Baru seminggu berkuliah semester baru, sudah ada tragedi berlaku. Membuatkan aku, Yana, Moon dan Dayah terpaksa bermusyawwarah di sini .. di suatu sudut dalam hospital.           

            “Tak apa, korang baliklah. Aku temankan Tia kat sini.” 

            Penuh yakin aku bersuara. Membuatkan tiga lagi rakanku terdiam. Diam, tapi bersetuju .. sebab antara kami berempat, aku yang paling sesuai berada di sini. Aku kan teman sebilik Tia. Maka, tatkala temanku itu ditahan dalam wad gara-gara demam teruk, adalah sangat wajar untuk aku menjadi penjaganya. Itupun sementara menanti ketibaan ibu bapa Tia dari Seremban sahaja.

            6.56 pm. Rakan-rakanku terpaksa beredar dengan hati yang berat. Untuk keselamatan dan kebaikan semua, maka ada perkara yang perlu dikorbankan. Aku melambaikan tangan menghantar kepulangan mereka.

            Hilang kelibat mereka, aku menghadap Tia yang lena di pembaringan. Tangan kanan mencapai tuala kecil dari dalam beg sandang yang dibawa, lalu muka Tia aku lap cermat.

            “Maaf lambat. Tia ok?” Satu suara tiba-tiba menampan pendengaran. 

            Laju aku berpaling.

            Terpaku seketika melihat manusia ini.

            “Er .. tadi suhu lebih 40. Awal petang 39.5. Dan terbaru, 39.” 

            Dia mengangguk mendengar jawapanku.

            “Terima kasih.” Ujarnya. Sambil sepasang mata itu mencari kelibat mukaku. Buat seketika, kami bertatapan. Cepat-cepat aku mengangguk kecil, dan melarikan pandangan.

            Dia muncul lagi!

            Aku menarik nafas panjang-panjang. Ia sebagai suatu cara untuk mempersiap diri bagi menghadapi lelaki ini. Kehadiran dia sememangnya mengacau-bilaukan ketenanganku. Lagi teruk aku rasakan, sebab kami akan bergandingan menjadi peneman setia Tia malam ini.


            Ibu bapa Tia sudah tiba pagi tadi. Mereka mengambil alih peranan menjaga Tia. Maka, aku sudah boleh kembali ke kampus.

            Suhu Tia sudah semakin normal. Kalau tiada sebarang masalah, mungkin petang nanti dia sudah dibenarkan keluar wad. Rasanya ia kesan kehadiran ibu bapa dan abang sepupunya. Berada dalam lingkungan orang yang disayangi dan menyayangi, memang itu ubat yang sangat mujarab bagi setiap pesakit.

            “Minta diri dulu .. pak cik, mak cik.” Ujarku seraya membetulkan beg sandang.

            10.43 pagi. Waktu yang sangat sesuai untuk beredar, fikirku. 

            Ibu Tia aku salami.

            “Terima kasih banyak-banyak tolong jagakan Tia.” Ungkap ibu Tia. Aku ditarik ke dalam pelukannya.

            “Tak jadi masalah, mak cik. Tia kan kawan saya.”

            “Balik dengan apa, ni?” Ayah Tia bertanya.

            “Nanti saya ambil bas.”

            “Tak perlu. Saya hantarkan.” Nazril Hakimi mencelah.

            Aku terkedu.

            “Naz hantar Hana.” Dia memberitahu ibu dan ayah Tia.

            Terangguk-angguk kedua-duanya.

            Membulat mataku. Bila masa aku bersetuju?

            “Ya, lebih baik begitu.” Sokongan daripada ibu Tia.

            “Jom.” 

            Dia sudah berlalu ke pintu.

            Terkebil-kebil aku di situ.
             


            “Saya boleh naik bas.” 

            Rundingan untuk kesekian kalinya. Aku masih berharap perancangannya dibatalkan dan keputusan aku diterima pakai.

            Dia sudah membuka pintu sebelah pemandu. Aku pula memaku langkah hampir 5 kaki darinya. Isyarat tambahan yang aku tidak bersetuju dengan tindakan yang dia ambil.

            “Tak. Saya hantar. Naik.” 

            Agak dingin kata-katanya. Siap ditinggalkannya aku dengan meloloskan dirinya ke perut kereta.

            Dua saat menimbang .. akhirnya aku akur.

            “Buat baik dibalas baik, kan? Dan untuk keselamatan.” 

            Ok, aku terima ayat itu sebagai pujukan untuk menerima tindakannya. Sebagai cara untuk dia berterima kasih, dan untuk jaminan keselamatan supaya selamat sampai ke kampus. 

            Tapi .. sangatlah tidak selamat untuk detak jantung aku yang tak pernah reti bertenang sejak semalam!

            Nazril Hakimi bin Sulaiman .. ‘pemandu’ aku yang beku dan kelu. Tidak ada sebarang bunyi keluar dari bibirnya. 

            Dia yang aku biasa lihat selalu murah dengan senyuman. Jadi, kalau tidak ada senyuman pada muka itu, terasa janggal pula. Sedikit takut juga. Barangkali fikirannya tengah berserabut. Terlalu banyak perkara perlu diberi perhatian.

            “Maaf .. mengganggu selama ni.” Dia bersuara tiba-tiba.

            Oh .. dia merujuk kepada mesej-mesejnya. Mungkin dia menyangka aku berasa  terganggu kerananya. Walhal, sebarang rasa yang aneh-aneh sudah kalis dek kerana penangan masa. Mesej-mesejnya sekarang ini langsung tidak mendatangkan perkataan “mengganggu” padaku.  

            Barangkali dia beranggapan antara kami timbul sengketa dingin angkara mesej-mesej tersebut. Agaknya sebab malam semalam pun, kami diam membisu sahaja. Bahkan, aku mengelak daripada bercakap-cakap dengan dia.

            Terasa satu keperluan untuk aku memberi respon. Tapi ...

            Kekok semacam rasanya. Makin sukar untuk aku menjawab. Bahkan juga makin aku yakin yang dia sedang menghadapi masalah. Rumit sangat sehingga memberikan tekanan agaknya.

            Aku diam sambil otak bekerja mencari perkataan sesuai untuk membalas. Sekurang-kurangnya untuk buat dia sedar yang dia perlukan rehat seketika. Barulah tidak berasa tertekan berdepan masalah-masalah di sekeliling..

            I take it for ‘yes’.” 

            Mungkin terlalu lama, sampai dia menganggap diam aku itu tanda mengiyakan.

            “Senang .. selepas susah. Kan?” Akhirnya, terpacul jugak sebaris ayat.

            Sepi.

            Dari hujung mata, aku dapat menangkap segarit senyum kian memekar di bibirnya.

            Secara tak langsung, buat aku kembali berfikir tentang kata-kataku sebentar tadi. Cuba menggali semula mesej yang ingin disampaikan. 

            Senang .. selepas susah. Kan?

            Tapi .. mungkinkah ...

            l’ll take your words!  

            Argh!!! 

            Gigi aku kacip kemas dengan mata yang melayur ke sebelah kiri.

            Bodoh! Bodoh! Bodoh!

            Menyesal sungguh menjawab. Nyata sekali dia tersalah faham. Aku maksudkan masalah yang dihadapi akan selesai. Dan kemudian dia akan senang hati. Tapi maksud yang dia dapat .. menjurus pada mesej-mesej itu. Tidak menjadi pada awalnya, tapi akan berhasil di kemudiannya.

            Kau memang patut diam daripada bercakap, Hana!

            Berkali-kali aku marah pada diri sendiri.

           

            Satu, dua tiga ...

            Tangan memulas kunci ke kanan. 

            Gagal!

            Tarik nafas. Bertenang, Hana! Mungkin sekali lagi.

            Ok .. baca Basmalah. Satu, dua ..

            Pusingkan kunci ke kanan.

            Gagal!

            Terus laju sejurai, dua air mata menerjuni pipi. Percubaan mungkin sudah kali ke-23 masih tidak berhasil. Maka adalah sangat normal bagi aku, manusia yang lemah ini menitiskan air mata. Kecewa, takut .. semuanya bersatu. 

            5.47 pm. Sirna mentari petang kian beransur hilang. Kelam malam pula makin hampir melabuhkan tirai. Dan aku tersadai seorang diri di tepi jalan yang agak lengang. Ada sebuah, dua kenderaan melintas, tapi tidak ada yang berhenti. Apatah lagi mahu membantu. Ketakutan benar-benar sudah menguasai diriku. Menyedarinya membuatkan aku bertambah sedih.

            Mengongoi-ngongoi sambil memeluk stereng dengan air mata berjejeran. Entah berapa lama berkeadaan begitu, aku juga tak tahu. Hanya tersedar dan membetulkan duduk setelah bunyi mesej yang bertalu-talu memasuki telefon akhirnya berjaya menarik perhatianku. 

            33 mesej. Dan semuanya daripada Nazril Hakimi. 

            Mesej yang teratas aku baca. Nazril bertanyakan perjalananku. Bait-bait perkataannya berbaur risau. Iya, tentu sekali. Sebab sejak tengah hari tadi lagi aku tidak memberi sebarang respon terhadap mesejnya. Dan sekarang, sudah hampir 8 jam berlalu.

            Kepala yang tadinya berasa kosong terus menjerit kuat. Bagitahu dia!

            Butang hijau terus aku tekan. Tangan dan seluruh tubuh terus menggeletar. Dua, tiga saat menanti talian bersambut sudah cukup untuk menambahkan lagi paluan jantung.

            Cepatlah jawab! Hati terus berharap.

            “Hana ..” Hanya satu seruannya menyebut namaku, aku sudah meraung. Terlalu kuat sehinggakan tidak terkeluar sebarang kata-kata.

             Beberapa ketika berkeadaan begitu, barulah aku dapat memberitahunya apa yang dah terjadi. Tak banyak petunjuk dapat aku berikan sebab keadaan sekeliling yang agak jauh daripada rumah orang-orang kampung mahupun kedai-kedai. Jadi, dia berusaha meneka, sambil menyebut beberapa tempat sama ada aku sudah melintasinya atau belum. Itulah satu-satunya cara untuk dia mengagak lokasiku.  

            Dia meminta aku bertenang. Duduk diam di dalam kereta dan pastikan pintu berkunci. Bersedia dengan apa-apa senjata untuk sebarang kemungkinan. Sepanjang perjalanannya ke tempat aku tersadai, talian tidak diputuskan. Bahkan, dia meminta aku terus bercakap supaya panik, cemas dan takut yang menggila tadi surut. Dengan begitu, barulah aku dapat bertenang dan berfikir.

            Sepotong ayatnya yang membuatkan aku terdiam dan tenang, “Tunggu saya.”

             
           
            Kaki sudah memijak tanah. Satu, dua langkah dibuka, sambil mata meliar ke sekeliling. Sekejap cuma, kerana susuk tubuhnya sudah berjaya ditangkap pandangan mata. Serta-merta senyum manis terlukis di bibir, menyambut lambaian tangannya.

            Thanks for coming. Walaupun sebenarnya saya lebih prefer naik teksi.” Kataku. Mata mengerling sekilas ke sebelah pemandu. Melihat dia yang memandu dengan tenang dan ceria.

            Welcome. But .. biarkan awak naik teksi, no way.” Balasnya. Kata Nazril lagi, dia bercadang untuk mengambil cuti untuk menjemputku dari rumah Abang Fakhry dan Kak Yanti di Kuala Lumpur.

            Berkerut kening aku. Kedengarannya sudah melebih-lebih.

            “Syukurlah awak kerja.” Balasku selamba, sambil mengusik. Melihat dia yang ternganga membuatkan aku tergelak. 

            Sejak kejadian kereta tersadai di tepi jalan semasa dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Terengganu, aku dilarang memandu jauh. Lebih-lebih lagi seorang diri. Ya, silap aku jugak. Berani tak bertempat, alih-alih menyusahkan orang dan membahayakan diri. Entah apa masalah enjin, aku pun tak faham. Yang aku ingat, aku ternanti-nanti kedatangan Nazril Hakimi. Dan saat dia tiba, aku telah memberikan dia sepenuh kepercayaan untuk menguruskan hal kereta, serta menghantar aku pulang ke kampus. Menantikan semuanya diuruskan, aku hanya diam tercongok di satu sudut. Bila dia kata “Jom.”, barulah aku bangun dan mengikut.

            Setahun sudah berlalu, tapi rasanya macam baru berlaku beberapa hari lepas.

            Yang nyata, peristiwa itu mengeratkan lagi hubungan aku dan dia yang bermula selepas Tia ditahan dalam wad dulu. Mujurlah, bila tiba masa sukar terpaksa aku tempuhi, dia memunculkan diri. Tidaklah aku terkontang-kanting sendiri.




            “Terima kasih. Maaf menyusahkan.”

            Ucapku dengan sengih tawar. Rasa bersalah juga sebenarnya. Sepatutnya aku elakkan dia daripada terlibat dengan hal aku. Takut dianggap mempergunakannya.  

            “Sama-sama. Tak ada susahnya .. kalau dah cinta.” 

            Dibalasnya dengan sengih lebar. Macam seronok sangat nampaknya. Tak tahu pulak aku ada orang seronok bila terpaksa bersusah-payah demi orang lain. Macam-macam ragam sungguh manusia ni. Pelik, pelik ...

            Aku menjongket bibir. Itu aje la modal dia.

            Ini bukan kali pertama dia berseloroh begitu, jadi aku agak ‘kebal’ dengan kata-kata manisnya.

            “Ok lah, saya naik dulu. Jumpa lagi nanti. Hati-hati memandu.” Kataku sambil menutup pintu kereta. Aku sudah berura-ura untuk naik. Beg sandang aku betulkan sambil tangan aku lambai-lambaikan padanya. Dia tak boleh berlama-lama di sini, sebab kampus masih lengang. Ramai lagi yang belum pulang dari bercuti di kampung. Aku sahaja kot yang meluangkan cuti di rumah Abang Long yang baru menyambut kelahiran bayinya yang ke-5.

            I’m supposed to be your driver. But ...” Suara Nazril Hakimi yang tiba-tiba melantun membuatkan tingkahku terhenti. Terkebil-kebil aku memandangnya, menantikan dia menyudahkan ayat.

            “5 bulan. Start minggu depan .. please, jaga diri.” Sambungnya.

            Pesanan yang membuatkan aku tersenyum panjang. Ingatkan apalah yang nak diperkatakan, sampaikan sebegitu serius.

            “Tentu sekali. Awak pun.” Ringkas aku membalas. Teringat yang dia akan ke tengah laut nanti.

            “Hana ..” Sekali lagi dia berjaya memaku perhatianku padanya. Tapi .. terasa semacam ada aura aneh mengelilingi.

            You’re my precious!”

            Zup! 

            Lemas! Oksigen, oksigen!

            Terasa seakan-akan terputus salur pernafasanku. Sistem tubuh seakan terhenti berfungsi. Untuk beberapa saat, aku hanya mematung. Terkejut yang amat. Sungguh, kejutan sebegini sangat tidak baik untuk jantungku.

            Sedetik dua berlalu, barulah terasa kembali denyut jantung. Dan muka mula terasa panas. Aku tersangat yakin mukaku sudah semerah udang kena bakar. 

            “Dan untuk itu .. saya yakin, saya tak sendirian merasainya. Kan?”

            Aku menelan liur berkali-kali. Nak menjawab soalan ini rasanya berlipat kali ganda lebih sulit daripada menjawab soalan SPM atau MUET atau lain-lain peperiksaan pun.   

            “Err ..”

            Gugup. Tersangat gugup. Lagi-lagi kerana matanya tertala tepat ke mukaku. Menanti jawapan, pastinya.

            “Kalau tanya pasal cinta, saya sendiri pun tak tahu. Tapi .. apa yang pasti .. saya sayang awak.” Dengan suara yang makin merendah, aku pandang tepat ke matanya. Berlagak tenang, biarpun jantung bergendang bagai nak pecah dada, dan dengan lutut yang terasa menggeletar.
           
 Serta-merta seulas senyum manis hadir di bibirnya. Rona merah memercik ke seluruh raut tenang itu. Menambahkan darjah kehensemannya yang sudah sedia kuakui. Dan turut menambahkan lagi darjah paluan jantung ini! 

            Pandangan kami bertaut. Tiada lagi bicara terluah. Hanya mata saling bertatapan, meluah rasa yang tidak terucap dengan kata-kata. 

            “.. saya akan buktikan. Apa yang saya mahu, akan saya peroleh. Sebab saya percayakan cinta .. dan awak juga akan mengakuinya ..”

            Dan saat ini aku akui .. cinta itu ada, bagi orang yang mengakuinya. Aku sendiri? Mungkin ada, tapi kepercayaanku hanya pada dua perkataan .. Kasih .. dan Sayang. 

            “Tunggu saya.” Luahnya lagi.

            Aku tidak bersuara balas. Hanya mengukir senyum, dan mengangguk yakin. Memetri janji.

-Tamat-



No comments:

Post a Comment