“Saya mintak maaf
sangat-sangat, Irfan. Saya tak boleh penuhi permintaan awak tu. Untuk
pengetahuan awak, tempat di hati saya ni sudah lama terisi. Jadi ... harap awak
faham.”
Aku pandang muka pemuda 21 tahun itu sekilas. Ada garis kekecewaan di situ.
Tapi hatiku langsung tidak terusik. Pendirianku tetap sama. Penyakit yang
elok-elok tak ada, jangan dicari! Pesanan keras Along yang benar-benar tak
mampu dilunturkan dari kotak ingatan. Dah 5 tahun berlalu sejak ayat itu
menerjah gegendang telingaku, tapi powernya,
fuh ...!! Sampai sekarang pun melekat elok dalam kepala otak. Agak-agaknya
kerana si penuturnya itu telah lama mendapat tempat teratas dalam hidupku.
Siapa tak kenal Lukman Hakimi bin Wahid! Garang dan tegasnya sampai orang takut
nak tegur!
Bagaimana Along boleh menuturkan ayat berbisa begitu?? Kisahnya ... 5 tahun
yang lalu, aku telah melakukan satu tindakan yang telah menaikkan kemarahan
Along. Dalam usia 15 tahun, aku kira normallah kalau aku mula sukakan seseorang,
mula berkawan dengan seseorang, yang berlainan jantina denganku. Apatah lagi
budak lelaki itu sememangnya punya rupa dan menjadi sebutan dalam kalangan
pelajar-pelajar perempuan di sekolahku. Jadi sebaik sahaja Amar Raziqi bin
Rashid yang sudah lama aku curi-curi pandang itu menghulurkan salam perkenalan,
memang aku tak tunggu lama lagilah, terus sahaja aku angguk, senyum. Bermulalah
sketsa-sketsa indah di sekolah. Kalau dulu sikap malasku ke sekolah yang selalu
membuatkan Along sakit kepala, sekarang kerajinanku pula yang buat Along risau!
Kenapa aku takut sangat kat Along?? Kerana Along telah memainkan peranannya
sebagai ‘ketua keluarga’, menggalas
tanggungjawab yang arwah ayah tinggalkan. Walaupun usianya baru menjangkau 22
tahun, Along langsung tak pernah bersungut. Pemergian arwah ayah dua tahun
sebelumnya benar-benar membawa perubahan dalam diri Along. Daripada seorang
yang agak mementingkan diri, Along terpaksa berkorban dan mengalah dalam banyak
hal semata-mata untuk membantu ibu menjaga dan membesarkan empat orang adiknya
yang masih bersekolah. Masa tu, Angah (Fikri Hamidi) di tingkatan 5, aku
(Maisara Adila) di tingkatan 3, Achik (Fahri Hazim) baru darjah 6, dan Adik
(Fariz Hazwan) dalam darjah 3.
Kerajinan aku ke sekolah walaupun alasannya kerana PMR dah dekat, tetap
membuatkan Along yang ketika itu sedang bercuti semester mengerutkan dahi.
Tembelangku pecah tatkala Along tiba-tiba terpacak di depan pagar sekolah untuk
menjemput aku pulang selepas habis perbincangan secara kumpulan. Memang benar
aku bersama beberapa orang rakan sekelasku belajar bersama. Tapi ketika
berjalan keluar dari pagar sekolah sebaik sahaja selesai group discussion, aku berjalan seiringan dengan Amar Raziqi! Ya,
dia bukan sekelas denganku! Tetapi mendapat ‘jemputan khas’ untuk menyertai
kumpulanku pada hujung minggu itu.
Aku sedar pandangan tajam Along. Dahlah hanya kami berjalan bersama,
pakaian pula sama merahnya! Lagi teruk, aku langsung tak sedar Wira kelabu
milik arwah ayah yang dipandu Along sudah lama tersadai di seberang jalan,
betul-betul bertentangan dengan pintu pagar! Dah tentu Along nampak kami
bergelak ketawa sejak dari dalam kawasan sekolah lagi. Aduh ... !!!
“Patutlah rajin sangat pergi sekolah! Kononnya ulang kaji! Padahal ... !”
Sinis suara Along menegurku sebaik sahaja kereta itu mula meluncur di atas
jalan raya. Sengaja dia tidak menghabiskan kata-katanya, tapi aku tetap dapat
menangkap maksud yang ingin disampaikan. Aku hanya mampu telan liur, tadah
telinga, dan kunci mulut. Benar, aku mengaku aku salah! Dan aku terima setiap
ayat yang dimuntahkannya!
Namun, gugur juga air mataku disebabkan Along. Ya, aku terima sahaja
kata-katanya! Meskipun hati terasa pedih. Cumanya, kepiluan itu mencengkam
apabila Along tidak terus membawaku pulang, sebaliknya menghalakan kereta ke
arah kawasan perkuburan. Berteleku, berzikir dan menyedekahkan bacaan suci di
kuburan arwah ayah.
“Penyakit yang elok-elok tak ada, jangan dicari! Along harap sangat Sara
ingatkan sikit harapan arwah ayah, ibu, masa depan Sara sendiri! Belajar dulu
sampai berjaya! Lepas tu baru fikir benda-benda lain!”
Ringkas, padat, dan paling penting, pedas sehingga terasa panas dadaku!
Saat itu juga aku menangis teresak-esak. Menyesali tindakanku, dan sedih kerana
Along benar-benar telah ‘menjatuhkan hukuman yang sangat berat’. Niat Along
baik, tetapi caranya terlalu kasar dan menyakitkan.
Semenjak peristiwa itulah aku jadi serik. Amar Raziqi juga sudah hilang
keistimewaannya pada kaca mataku. Aku menoktahkan kemesraan kami yang baru
berputik, sehinggakan dia tertanya-tanya dan penasaran. Tetapi mujurlah dia
akhirnya menerima keputusanku, walaupun dalam keterpaksaan dan penuh tanda
tanya. Biarlah! Biar aku seorang yang menanggung semua ini! Aku tak mahu
melibatkan sesiapa pun lagi dengan kehidupanku!
“Sara ... aku tanya sikit, boleh tak?” Yani tiba-tiba bersuara, memecah
kebisuan yang hadir sejak tadi dalam bilik yang kami kongsi bersama.
Aku pandangnya sekilas sebelum menghalakan mata ke arah helaian-helaian
kertas nota, latihan dan buku rujukan yang memenuhi meja belajarku. Tarian pena
biru yang terhenti seketika kembali meluncur laju, memahatkan ukiran-ukiran
pada dada-dada kertas yang putih bergaris itu.
“Apa dia?” Tanyaku sepatah sambil terus menjawab soalan Ekonomi yang
diberikan oleh Puan Rosmani semasa kuliah pagi tadi.
“Irfan.” Yani menjawab. Sepatah juga.
Dah agak dah! Dari tadi lagi aku tengok mulut dia macam nak cakap sesuatu!
Tak lain dan tak bukan, mesti si Irfan tu cerita kat dia! Eh ... lupa! Kan
budak Yani ni yang sibuk suruh Irfan mencuba! Kalau Irfan tak bukak cerita pun,
mesti Yani sibuk nak tahu jugak!
“Hm ... Kenapa dengan Irfan?” Aku masih meneruskan kerjaku, berpura-pura
tak reti walhal memang dah masak sangat dengan situasi macam ni. Agak-agaknya
macam mana muka si Yani kat belakang sekarang ni?! Mesti dia buat ‘muka-muka’
dia tu!
“Kenapa ... kenapa kau tolak dia? Sedangkan aku tahu yang kau solo, dia
solo, dan aku rasa korang sesuai bersama.” Hah ... itu dia! Siap dengan andaian
dia lagi!
Aku pusingkan tubuh dan menghadap Iryani Rahila, teman sebilik yang juga
rakan satu fakultiku. Mukanya jelas menunjukkan rasa ingin tahu. Sambil itu,
otakku ligat berfikir. Mencerna bait-bait kata yang patut aku lafazkan biar
minah ni faham, dan terus menghentikan niat baiknya untuk mencarikan aku
‘seseorang yang istimewa’!
Apa yang patut aku cakap kat minah ni ye?! Kalau cerita benda betul kan,
nanti dia sibuk nak jadi orang tengah lagi! Kelentong je la! Tapi ... apa ye?!
O ... ok! Set!
Senyum kecil tiba-tiba muncul di bibirku, serentak dengan kehadiran ide
yang sebelum ini tak pernah-pernah terlintas di kepala otak ni. Nasib kau lah
Yani! Aku mintak maaf sangat-sangat!
Bohong sunat! Halallah!
“Kau nak tau tak Yani, kalau boleh kan, memang aku nak sangat jadi macam
kau. Nak makan ada teman, kalau sakit ada yang risau, nak shopping lagi la, ada yang nak kongsi bilnya. Bukan aku tak nak.
Aku nak. Tapi ... sebenarnya, dah ada ‘orang istimewa’ dalam hidup aku. Macam
kau dengan Syafiq, tapi kami ... kami dah ‘diikat’. Jadi ... sebab tu lah aku tak
pernah nak main dengan api. Memanglah ‘dia’ tak ada kat sini, tapi aku rasa tak
patut kalau aku buat benda-benda camtu kat ‘dia’”.
Seperti yang aku duga, terbeliak biji mata perempuan itu! Mulutnya
ternganga sedikit, tapi cepat-cepat ditekup dengan tangan kanannya.
“Maksud kau ... tunang??!” Tanyanya lagi sambi membuat isyarat dengan
mendekatkan jari telunjuk kiri dan kanannya. Berkali-kali sambil memandang
mukaku tanpa berkelip.
Lambat-lambat aku mengangguk. Yani terdiam.
“Gila kau Sara!! Tak bagitau aku pun!! Gila la kau!!”
Tersentak aku dengan jeritan tiba-tibanya, ditambah lagi dengan tamparan
tangannya yang cukup perit dirasakan pada bahu kiriku. Aduh!! Ganas sungguh
minah ni!!
Aku meletakkan jari telunjuk ke bibir, memberi isyarat agar Yani merahsiakan
perkhabaran tersebut. Kalau disebarnya cerita ni, naya aku!
Terangguk-angguk anak jati Tapah
itu sambil turut meletakkan jarinya ke bibir. Senyuman lebar menghiasi
bibirnya.
“Eh ... sape?! Orang mana?! Dah
keje ke blaja lagi?! Macam mana korang boleh jadi?!”
Bertalu-talu soalan ditujahnya.
Nah! Amik kau Maisara Adila! Kan dah kena!
“Em ... em ...” Terkulat-kulat
aku nak jawab pertanyaan Yani. Tak terfikir pulak tadi!
Nak letak nama ape?! Takkan nak
tiru Arissa, letak nama Akif Zamani kot?! Kantoi nanti!
“Kawan Along yang nama Khairil
Hafiz tu sekarang tengah sibuk nak sambung Master
kat University of Wales pulak. Adik
blaja lah rajin-rajin, nanti kalau dapat sambung kat luar negara, sambil-sambil
blaja, dapat jugak tengok negara orang. ” Tiba-tiba terngiang-ngiang suara
Along yang bercerita tentang kawannya pada Adik semasa cuti hari raya tahun lepas.
Adik pun nampak berminat sikit nak belajar bila dengar cerita Along. Siap turut
berborak sekali masa kawan Along itu datang berhari raya di rumah. Tapi aku tak
keluar pun, malahan tak pernah tengok pun macam mana rupa mamat tu!
Bagus! Dapat ilham lagi!
“Nama dia Khairil Hafiz bin Khairuddin.
Kawan Along aku. umur pun sama ngan Along, 27 tahun. Sekarang tengah buat Master kat University of Wales. Orang Fizik, dari Petaling Jaya.” Dengan penuh
yakinnya aku bercerita. Maaflah wahai Khairil Hafiz!
Siapa sangka dalam 3 tahun ni aku hidup dengan meneruskan penipuan
tersebut. Bukan setakat pada Yani, malahan semua rakanku! Itupun gara-gara si
Yani yang gatal mulut pergi sebar kat rakan-rakan yang lain! Habis semuanya
tahu dan percaya bahawa aku tunangan seseorang!
Kadang-kadang kesian jugak kat Yani, bertahun-tahun kena tipu hidup-hidup.
Tapi, demi kebaikan aku jugak! Macam-macam helah aku bagi bila Yani mintak nak
tengok rupa ‘tunanganku’. Terlalu peribadilah, tak ada dalam simpananlah, tak
sempat amik gambar terbarulah, semuanya alasan yang selalu aku utarakan pada
Yani! Agaknya dia pun dah jemu dengar!
Entah mengapa, tiba-tiba timbul rasa tak sedap hati. Meronta-ronta
keinginan untuk melihat rupa ‘tunang’ sendiri. Dua tiga hari ini perasaan itu
makin mendesak, sehinggakan hati menjadi resah gelisah. Sekarang ni musim cuti
semester. Kalau nak tengok sangat, senang aje,
mintak kat Along! Tapi tanggunglah apa akan jadi nanti! Ei ... tak
sanggup pulak nak membayangkannya!
Dengan hati yang tak tenteram, memang aku perlukan teman berborak
sangat-sangat. Angah sahajalah rasanya yang boleh mendengar dan memahami dengan
baik. Walaupun Angah orang sains, bidang pulak perubatan, namun setakat ini,
Angah tak pernah menghampakanku. Kalau nak bermanja pun, pada Angah jugak!
Lagi-lagi dengan statusku, anak tunggal perempuan! Sibuk macam mana sekalipun,
Angah tetap melayan kerenah adik perempuan kesayangannya ini!
“Angah pernah tengok, kan rupa kawan Along yang nama Khairil Hafiz tu?
Macam mana orangnya? Hensem tak?” Selepas berbasa-basi seketika, aku terus ke
tujuan asal. Aku perasan pandangan Angah dengan muka berkerut kehairanan.
Tetapi sengaja aku buat tak tahu, terus menggemburkan tanah untuk mengeluarkan
ubi. Kalau diikutkan, malas aku nak bersama-sama dengan Angah kat kebun ni,
bergelumang dengan tanah, tapi kerana hajat yang satu itu, aku tahankan juga.
“Macam kita jugak. Ada dua mata, dua kening, satu mulut, tapi lubang hidung
tetap dua.”
“Ala Angah ... janganlah main-main.” Tak berminat nak bergurau saat-saat
rasa ingin tahu membuak-buak.
“Hm ... hensem tu memang hensem! Kulit sederhana, agak tinggi, tubuh sasa
dan tegap. Kenapa tiba-tiba Sara tanya pasal dia pulak ni?!”
Serba-salah jugak aku nak bukak cerita. Tapi kalau tak kongsi dengan Angah,
nak cerita kat sape lagi?! Hanya Angah yang suka layan aku!
“Sebenarnya kan, Sara tipu kawan-kawan Sara, guna nama dia. Diorang sibuk
nak carikan Sara boyfriend. Mula-mula
dulu Sara biarkan aje. Bila dah lima enam orang budak laki diorang ‘hantar’,
Sara mula bengang! Jadi ... last-last,
Sara kata Sara dah bertunang. Diorang pun tanya sape, orang mana, semua pakat
duk selidik. Masa tu yang terlintas kat kepala ni nama kawan Along tu je. Angah
bayangkanlah, dah 3 tahun cerita ni berlarutan. Lama sangat! Sara nak jugak
tahu macam mana orangnya ‘tunang’ Sara tu.”
Akhirnya, aku ceritakan juga pada Angah. Angah pandang mukaku dengan muka
tak percaya. Bayangkanlah ... 3 tahun aku berjaya menipu! Tak pernah kantoi!
Agak-agaknya boleh digolongkan sebagai penipu handal dah kot!
Lama kami membisu. Angah juga terdiam. Namun seketika kemudian, Angah
bersuara semula.
“Tapi kalau betul-betul jadi pun apa salahnya! Along, Angah, Achik, Adik,
malahan ibu sekali dah kenal dia! Baguslah! Orangnya pun baik! Taklah kami
risau sangat pasal Sara nanti!” Serentak dengan kata-katanya, Angah tergelak
besar. Makin galak tawanya bilamana aku jegilkan biji mataku. Dan tanpa
menunggu lama, aku mencubit bahunya. Menyeringai Angah dengan tawa yang masih
bersisa.
“Angah janganlah mengarut pulak! Tak nak lah dengan kawan abang sendiri!”
“Ai ... jangan cakap tak nak-tak nak! Nanti kalau betul-betul jadi, baru
tau!” Satu peringatan daripada Angah. Benar katanya! Dah ramai yang kena! Yang
tak nak itulah yang dapat!
“Ok ... serius ni. Katakanlah kawan Along tu pun suka kat Sara jugak.
Adakah Sara akan terima dia?!”
Hai! Ni soalan ‘membunuh’ terus ni!
Kali ni mataku pula terkebil-kebil memandang muka serius Angah. Macam mana
penuntut perubatan di UKM ni boleh terfikir soalan macam tu pulak?!
Satu keluhan terluah akhirnya. Aku membuang pandang ke arah bakul rotan
berisi ubi kayu yang aku dan Angah sama-sama korek keluar dari tanah. Sambil
melabuhkan punggung ke atas tanah, aku rapatkan kedua-dua belah lutut. Tangan,
baju, seluar trek, dan tudung yang sudah dikotori tanah aku biarkan dahulu. Memberi
ruang kepada otak untuk menyusun jawapan kepada soalan Angah.
“Entahlah Angah. Kalau buat pilihan sendiri, nanti kalau bermasalah, Sara
jugak kena tanggung. Kalau terima pilihan keluarga, takut masa tu hati Sara dah
tak ada ruang. Sebab tu Sara cuba elakkan semua tu sedaya yang boleh.” Aku diam
seketika.
“Tapi ... kalau ibu, Along, Angah, Achik dan Adik kata orang tu dah cukup
baik, mungkin ... mungkin betul dia yang patut Sara terima.”
Aku pandang semula muka Angah. Terangguk-angguk kepalanya dengan jawapanku.
“Insya’ALLAH, Sara! Kalau ibu, Along, Angah, Achik dan Adik berkenan ...
sebab kami yakin orang tu boleh jaga, boleh bahagiakan Sara! Kalau kami tak
percayakan dia, dah tentu kami tolak awal-awal! Yang penting, Sara bahagia!”
Kata-kata Angah aku sambut dengan anggukan sahaja.
Keriuhan yang tiba-tiba dari halaman rumah membuatkan aku dan Angah sama-sama
menoleh ke arah itu. Kelihatan sebuah kereta berwarna putih dari jenis ...
jenis apa entah, menyusur masuk ke kawasan laman. Setahu aku, tadi Along
dijemput keluar oleh kawannya. Dan aku sempat menitipkan pesan supaya Along
menghantar laptop ke kedai untuk dibaiki. Barangkali Alonglah yang pulang tu!
Aku melihat tiga orang lelaki keluar dari perut kereta. Memang benar, Along
bersama dua orang lelaki yang aku tak kenali. Kawannya, mungkin! Tapi, di
tangan Along ada beg laptop aku! La ... takkan Along lupa nak hantar ke kedai
pulak?! Kalau tak baiki, macam mana aku nak buat kerja?!
“Panjang umur betul! Agak-agaknya memang korang ada jodoh!” Tiba-tiba Angah
bersuara, disambung dengan tawa kecil. Sesungguhnya aku tak faham! Aku hanya
mengerutkan dahi dan terus memandang ke arah 3 orang lelaki di laman rumah itu.
Mereka sedang bercakap-cakap.
“Yang pakai t-shirt biru muda tu lah Khairil Hafiz. Yang sorang lagi tu
Adzhar, kawan Along jugak.” Angah menjelaskan tanpa kupinta. Oh ... patutlah
dia gelak tadi!
Lagilah semangat aku memandang lelaki itu. Jarak kedudukan kami sekarang
yang tidak seberapa jauh membolehkan aku melihat rupanya dengan jelas. Hensem!
Rambutnya pendek dan kemas, matanya sederhana luas, hidung mancung sedikit.
Senyuman yang diukirkan menambahkan lagi kehensemannya! Dan, ah ... lesung
pipit di sebelah kiri itu, lagi mengindahkan rupanya!
“Amboi!! Tengok ‘tunang’ sampai tak berkelip!” Terangkat sedikit bahuku dek
terkejut dengan sergahan tiba-tiba Angah. Sengaja aku memasamkan muka,
lagi-lagi melihat sengihannya itu.
“Dah ... jom naik! Dah banyak dah ni!” Angah sudah mengangkat punggung
seraya menjunjung bakul rotan yang separuh penuh itu. Aku membontoti langkahnya
menuju ke pintu dapur. Untuk naik ke rumah, walaupun melalui pintu dapur, aku
perlu melintasi halaman rumah terlebih dahulu. Entah mengapa, saat melintasi
Along dan kawan-kawannya, bertambah kencang degupan jantungku. Dada terasa
seakan mahu pecah. Aduhai ... langkahan kaki pun rasa macam tak kena je!
Usai mandi, aku menghiris ubi kayu tersebut halus-halus sambil menantikan
masuknya waktu Maghrib. Ubi itu nanti akan digoreng, dan kemudian disira dengan
lada yang telah dimesin dan manisan. Santapan ringan kegemaran kami sekeluarga,
terutamanya Angah. Arwah ayah dulu pun suka makan. Arwahlah yang menurunkan
resipinya. Dulu-dulu ibu yang selalu buat, tetapi kini aku yang mengambil alih.
“Along dah nak hantar laptop ke kedai tadi. Tapi kawan Along kata, dia
boleh tengokkan dulu. Kalau dia boleh baiki, dia baiki. Kalau tak, baru hantar
ke kedai. Malam ni dia datang, lepas Isyak. Sara keluarlah nanti, kot-kot dia
nak tanya apa-apa.” Along memberitahu sebaik melabuhkan punggung atas kerusi
yang ditariknya di sebelah aku. Aku akur sahaja dan meneruskan menghiris ubi
tersebut.
Tiba-tiba terdetik di hatiku, siapa kawan yang dimaksudkan?! Tadi kan Along
bersama dengan Khairil Hafiz dan Adzhar sahaja, tentulah antara dua orang
tersebut. Kalau Adzhar, alhamdulillah! Tapi kalau Khairil Hafiz, ...!
“Er ... kawan Along?”
“Khairil Hafiz.”
Gulp! Ya ALLAH! Hati ini mula tak keruan. Menghadapnya secara bersemuka?!
Oh ... tidak ...!!!
Sejak mengenali ‘tunang’ sendiri, aku dapat merasakan ada perubahan yang
benar-benar meresahkan dalam diriku. Wajahnya menari-nari di ruang mata, senyumannya
terbayang-bayang, di ingatan, suaranya terngiang-ngiang di telinga. Parah!! Aku
sudah terlampau parah!!
Teringat kembali usikan nakal Angah padaku keesokan harinya, selepas
‘bersemuka’ dengan Khairil Hafiz.
“Wah! Dating dengan ‘tunang’ ye
semalam! Depan Along lagi! Apa macam?! Best
tak?!”
Ei ...! Boleh naik gila aku kalau duk layan Angah yang suam ni!!
“Best! Tapi mesti lagi best kalau Hafiz betul-betul masuk
meminang! Betul-betul jadi tunang! Pastu dia tolak offer kerja kat tempat lain, apply
jadi pensyarah kat UPM! Boleh jumpa hari-hari! Kalau camtu mesti lagi best!!!” Sengaja aku ikut rentak Angah.
Hah! Kan dah diam tu!!
Imbauan itu berterbangan hilang apabila telefon bimbitku tiba-tiba
menjerit, menandakan ada panggilan masuk. Sambil mengurut-urut dada, aku
menatap skrin. Hafiz!
Hafiz mana?! Takkanlah Khairil Hafiz! Tak pernah aku simpan nombor mamat
tu!
“Helo.” Aku jawab juga dengan kepala otak yang ligat berfikir.
“Helo! Sara, apasal lambat sangat jawab?! You kat mana?!” Suara di sebelah sana kedengaran. Bukan suara
‘dia’!
“Helo. Er ... sori! You ni sape
ye?!” Sebenarnya teragak-agak jugak aku nak bertanya macam tu. Dah tentulah
terasa hati dia.
“Ya ALLAH! Sara, it’s me, Hafiz! Your ex-classmate! Form 4 Utarid and 5
Uranus!”
“Oh! Ya, Hafiz Bazli! Maaf la, terlupa! Ya, kenapa you call I tiba-tiba ni?! Let
me guess! Nak jemput makan nasik minyak?! Wow! Who’s that lucky girl?!”
Sengaja aku terus-terusan memprovok budak lelaki yang aku tahu, dari dulu lagi admire aku.
“Well! Ya, I nak jemput you makan
nasik minyak! Tapi ... nasik minyak kita berdua! Sara ... would you marry me?!”
“Hah??!!” Ternganga dan terdiam aku seketika. Seketika kemudian, meletus
tawa besarku.
“Hafiz! Okey ... funny! Really funny! So ... the real story is?!” Aku diam sebentar, memberi ruang kepada
lelaki itu menjawab.
“Sara, I’m serious. I nak bagitau you yang I dah suruh mak I masuk meminang! Dalam masa yang
terdekat ni!” Kali ini aku memang betul-betul terdiam. Langsung tak mampu
bersuara.
Langsung tak tenteram hidupku selepas menjawab panggilan itu. Nak cerita
kat Yani kan, nanti pecah habislah tembelangku. Nak mengadu kat Angah, Angah
tengah sibuk dengan projeknya. Sudahnya, aku menangis sendirian. Inikah
balasannya atas penipuanku selama ni?!
Tiga hari kemudian, aku menerima panggilan daripada ibu. Perkhabaran yang
kuterima benar-benar telah melemahkan seluruh tubuhku. Terasa hancur segala
harapan dan impian yang baru nak bersemi.
“Sara ... ibu, Along, Angah, Achik dan Adik bersepakat menerima pinangan
Hafiz untuk Sara. Sekarang, Sara dah jadi tunang orang. Jadi Sara jagalah nama
baik Sara baik-baik. Nanti bila Sara dah habis belajar hujung tahun ni, kita
buat kenduri, ya. Sara pun dah dewasa. Dah sampai masanya untuk Sara
berkeluarga.” Kata-kata ibu akan telan bersama air mata. Ya ALLAH! Aku diuji setelah
hatiku dicuri! Balasankah semua ini, ya ALLAH?!
Hilang segala keceriaan hidupku. Hanya dua bulan sahaja lagi, aku akan
bergelar isteri orang. Isteri kepada seorang lelaki bernama Hafiz! Entah
bagaimana kami akan melayari bahtera rumah tangga bersama sedangkan hatiku
seakan-akan telah mati. Ya ALLAH! Bantulah hamba-MU ini!
Aku mengunyah nasi putih berlaukkan ayam masak merah perlahan-lahan. Nasi
yang keras ini benar-benar menyakitkan tekakku. Ditambah pula dengan lauk ayam
yang melampau masinnya. Dalam ketiadaan
mood begini, segala benda rasa tak kena. Aku makan sekadar untuk menemani Yani dan
mengalas perut yang benar-benar kelaparan sahaja. Kalau tak, memang aku sanggup
pejam mata atas katil di bilik saja.
Aku tak hiraukan keadaan sekeliling yang hingar-bingar. Cuma sesekali aku
melingas ke kiri dan kanan. Namun seketika, aku memandang semula ke sebelah
kanan. Seorang lelaki berdiri betul-betul di sebelah mejaku, yakni betul-betul
di sebelah bahu kananku, dengan senyuman bergayut di bibirnya. Nasi yang masih
memenuhi mulut dan belum dikunyah, dirasakan benar-benar mencekik. Sehinggakan
aku tercekik dan tersedak. Lalu aku cepat-cepat mencapai gelas yang berisi teh
beng.
Lelaki itu pula yang lebih pantas. Disuakannya gelas itu kepadaku,
sehinggakan aku terasa malu pula. Kenapalah kau tengok aku dalam keadaan macam
ni?!
Buat pertama kalinya aku tak mampu menghabiskan nasi yang masih bersisa.
Yani pula cepat-cepat meminta diri, meninggalkan kami berdua. Lelaki itu pula
mengambil tempat betul-betul di hadapanku. Tak keruan aku dibuatnya!
“Awak buat apa kat sini?” Soalku setelah selesai mengelap mulut dengan
tisu.
“Saya mengajar kat sini.” Sepatah sahaja dia menjawab.
Aku terangguk-angguk. Tetapi kemudian, aku memandangnya semula dengan mata
yang terbuntang luas dan dahi yang berkerut.
Lelaki itu senyum lagi.
“Saya apply jadi pensyarah kat
UPM, dan tolak semua offer kerja kat
tempat lain. Sebab kat UPM, saya boleh jumpa tunang saya tiap-tiap hari.”
Tenang sahaja dia menjawabnya.
Ya ALLAH! Argh!!! Terasa mahu aje aku menjerit sekuat hati saat ini jugak!
Sebaik sahaja turun dari kereta tunanganku itu, laju sahaja tanganku
menghubungi Angah.
“Berterima kasihlah kat Angah sebab Angah cerita semuanya pada Along, dan
kat Hafiz jugak!” Ceria suara Angah memberitahuku.
“Angah!!! Malu Sara, tau tak??!! Sara cakap je hari tu!!”
“Kata-kata itukan satu doa! Lain kali tapis dulu sebelum cakap!” Aku
menyambut perlian dan ingatan Angah dengan senyuman paling manis. Hatiku
memanjat kesyukuran. Terima kasih, ya ALLAH! Terima kasih!
Jadi, apa ceritanya dengan Hafiz Bazli?? Kata Angah, nasib baik rombongan
Khairil Hafiz sampai pada waktu pagi Jumaat yang hening itu. Sedangkan
kedatangan rombongan Hafiz Bazli pada waktu petangnya. Terselamatlah aku!
Alhamdulillah ...!
Itulah kisahnya ...
No comments:
Post a Comment