Sunyi. Sepi. Tiada sesiapa lagi di ruang tamu ini. Hanya
dia seorang diri terhenyak di sofa, selepas Tatiana yang dipanggil Mak Cik Tati
dia suruh pergi berehat saja.
Ditarik dalam nafas dengan mata yang terpejam. Butang
kemeja coklat tua dibuka satu persatu. Tali leher memang sudah lama ditanggalkan,
selamat diam dalam beg sejak masih di pejabat lagi.
Penat. Itu yang dia rasa. Nak panjat tangga pun macam dah
tak larat.
Tak apalah, lelap dulu sekejap kat sini. Dah dekat pukul 1 pagi ni, orang
lain pun semua dah lena agaknya.
Dibaringkan tubuhnya di sofa. Nyaman terasa.
“Riz!”
Baru sesaat dua fikiran mula melayang, terasa namanya
dipanggil.
Kacau!
“Riz”
Nak tak nak, dia membuka mata. Terpacul tegak dua manusia
di pandangan.
Bila jelas muka-muka itu, baru dia mula bagi respon. Diukir
senyum tipis sambil membangkitkan tubuh daripada pembaringan.
“Baru balik? Dari mana?” Bersusah-payah dia membuka mata
dan mulut demi melihat figura wanita itu. Ya, wanita itu! Kerana wanita itu,
dia gagahkan jugak bangkit. Kalau hanya Rizwan seorang diri di situ, sah-sah
dia pekakkan telinga. Itu kalau nasib baik. Kalau nasib tak baik, entah-entah
ada yang dapat habuan sebab ganggu dia tidur.
“Dari masjid. Riz baru balik ke? Kenapa tidur sini? Ni ..
dah makan ke belum?”
Panjang pulak soalan Nurul Anis. Tak pasal-pasal Rizhan
rasa tercuit. Terluah tawa kecil. Membuatkan dia mengabaikan saja soalan – “dari masjid pukul 1 pagi??”
Sempat dia mengerling, terbias muka berkerut si kakak
ipar yang memaku anak mata pada dirinya. Dan Rizwan di sebelah pandang mereka
silih berganti. Mungkin tak puas hati. Siapa tahu?
Dia tertawa kecil lagi.
“Hm ... baru balik. Penat sangat, duduk sini kejap. Belum
makan. Dan tak nak makan ... nak tidur je. Riz naik dulu, ya.”
Lalu dia bangkit, menuju ke tangga. Satu persatu anak
tangga di daki. Sambil itu, pandangannya jatuh ke badan sendiri. Butang kemeja
sudah selamat terbuka semua, terserlah baju panas yang masih membaluti tubuh.
Patutlah! Kalau tak ada baju panas ni, agaknya Anis takkan pandang pun aku.
Dalam langkah lemah, segarit senyum menyinggah di bibir.
Makin lebar bila teringat kata-kata perempuan itu tadi.
Ambil berat!
Dan terus perbualan tengah hari tadi datang ke kotak
ingatan.
Anis! Malam ni ... aku boleh bawak senyum ni sampai ke tidur. Cukuplah ...
kalaupun malam ni saja!
“Kenapa tengok saya macam tu?”
Aku terus melipat telekung. Tak pandang dia, tapi aku
tahu dia dari tadi pandang aku. Mungkin tak silap kalau aku kata, pandangan tak
puas hati. Sebab pertanyaan aku pada
Rizhan tadi agaknya.
Dia terbata-bata untuk bertanya.
Perlahan-lahan dia menghenyakkan duduk berhadapan
denganku, di birai katil.
“Yang abang perasan, Nurul biasanya tak macam tu.” Itu
mukaddimah dia.
Mungkin ini masanya!
Hati berdesis. Rasa ingin tahu memang sangat
membuak-buak. Tapi takkan aku nak soal dia direct,
kan? Tak pasal-pasal ribut kecil yang memang dah bertiup ni terus bertukar jadi
puting beliung. Tak pun tornado terus. Bukan ke haru jadinya?
“Macam tu, tu ... macam mana?” Kali ini baru aku angkat
pandangan, menentang anak matanya.
“Nurul sendiri tau ...”
Bicaranya terputus. Dia tarik senyum nipis sambil
menggeleng kecil.
Aku pulak yang jadi pelik.
“Apa dah jadi ni? Hmm .. Riz cakap apa?”
Selepas berjeda seketika, itu yang dia tanya. Suaranya
dilunakkan.
Terhenyak dengan soalan dia ... terkelu lidah.
Dah! Terkena!
Aku pulak penasaran. Mata tak tahu nak tala ke mana. Konon
nak jadi penyelamat keadaan dalam diam-diam, macam tak tahu apa-apa .. sekali
belum apa-apa lagi dah tertangkap.
Dia ni memang la ... tahu saja apa benda dalam kepala aku ni! Psikik ..
sixth sense .. telepati; ... atau apa saja nama yang dilabelkan; ... Tolonglah!
Tolong nyah dari sini!
Selalu aku yang kalah! Sangatlah tak adil!
“Apa yang Riz cakap dekat Nurul, hmm? Cuba bagitau
abang.”
Lembut gigi daripada lidah!
Mungkin sebab aku dah nampak kalut di mata dia, tapi
masih membisu, jadi dia dah mula pakai strategi dia ... serangan psikologi.
Buat lutut terasa longgar.
Aku tahu aku dah kalah. Tak guna menjawab lagi, nanti
makin kaw-kaw demerit kosong tu
merudum jatuh jadi angka negatif. Jadinya baik aku angkat kaki saja.
Dan dia masih dengan psikiknya, terus tangannya laju
melilit lenganku.
Aduh!
Macam mana dia tahu aku nak lari ni?!
Tak jadi angkat kaki. Tapi tak bermakna aku akan angkat
anak mata untuk ‘mengalahkan’ diri sendiri dengan lebih teruk lagi. Sudahnya
aku tilik telekung di tangan tanpa rasa jemu.
“Sayang diam macam ni .. macam mana abang nak terangkan
benda yang sayang nak tahu tu?”
Rizwan mampir. Diusap-usap lengan isterinya.
Sesungguhnya dia bersyukur sangat dikurniakan isteri yang
lurus, polos sebegini. Senang sangat-sangat dapat kesan perubahan Nurul Anis.
Tingkah lakunya cepat sahaja dibaca, difahami. Dan paling penting, TUHAN
senantiasa membantu, mempermudah dia memujuk, dan memperlembut hati isterinya
untuk dipujuk.
Arif sangat dengan sikap Nurul Anis, sebab itu dia
semakin pandai melunakkan kata. Kadang-kadang terasa diri semakin lembut.
Manakan tidak, kalau dah selalu pakai suara volume paling terkebawah.
Tak kisahlah, yang penting TUHAN peliharakan rumah tangga
ini agar sentiasa damai tenteram. Begitu lebih baik. Tak perlu
jerkah-menjerkah, apalagi naik kaki tangan. Cukuplah sekali itu suaranya naik,
tak mahu lagi diulangi. Tersayat hati sendiri bila mana jerkahan itu mengundang
air mata Nurul Anis.
“Mana ada cakap apa.”
Jawapan perlahan daripada Nurul Anis. Buat Rizwan tertawa
kecil.
Alahai, isteriku ... terang-terang tak pandai menipu! Jangankan menipu,
berdalih pun tak reti!
Err ... nak kena ajar ke ni?!
Sempat soalan itu singgah di benaknya.
“Dah, tu?” Dia turutkan saja rentak Nurul Anis. Telekung
di tangan isterinya diambil, lalu dibawa ke penyidai di tepi dinding.
“Dari dalam kereta tadi lagi rasa macam ada orang nak
cakap sesuatu dekat kita. Kat rumah Haji
Hashim tadi pun, rasa macam orang tu sekejap-sekejap tengok kita,
sekejap-sekejap tengok kita. Masa balik tadi pun sama. Tapi yang herannya, dah
berjam-jam lepas, tak pulak dia bukak mulut.”
Nurul Anis diam membatu di tempat tadi.
“Sambung pikir nanti pulak. Dah lewat sangat ni. Cuci
muka, cuci kaki, tidur dulu.” Bila isterinya terus tidak bersuara, tangan itu
ditarik lembut ke arah bilik air. Tak membantah, Nurul Anis akur sahaja.
Dia menarik nafas panjang. Rizhan sudah makin ‘mengganas’!
Pasti!
Lihat sahaja keadaan sekarang. Perubahan sikap Nurul
Anis. Paling ketara selepas Mama bawa isterinya itu keluar bersama Rizhan
tengah hari tadi. Tak perlu diperhati, dia sangat peka segala hal tentang
isterinya. Sedikit perubahan, terus dia sedar.
Rizhan beria-ia mahu mereka tinggal sebumbung.
Rizhan beria-ia memujuk Mama ‘menghadiahkan’ dia kereta
baru. Sebenarnya lebih tepat lagi kepada Nurul Anis. Tapi disebabkan dia yang
menjadi pemandu isterinya, secara automatik kereta itu jatuh ke tangannya;
walaupun sekarang ini Rizhan sering kali menawarkan diri menjadi pemandu Mama
dan isterinya.
Rizhan ... permainan apa kau bawak ni??!
“Riz kata awak berhutang dengan dia.”
Muka Rizwan aku pandang tepat. Dah tentu! Ini hal besar.
Rizhan mengaku dia sakit hati. Abangnya berhutang, dan dia berdendam.
Sebab itu aku tak dapat lena walaupun mata sudah hantar
isyarat mahu ditutup. Tapi yang tak patutnya, baru sekarang aku dapat kumpul
kekuatan untuk suarakan. Saat jam dah tunjuk pukul 1.47 pagi!
Dia mengacip geraham. Reflek yang terbias daripada
samar-samar lampu meja.
Tengah hari tadi ... aku tergamam. Nafas rasa tersekat
tatkala Rizhan bagitau punca hubungan mereka berdua makin renggang.
“Dia hutang Riz.”
Bila aku tanya berapa, dia ketawa.
“Kebahagiaan ... agak-agak berapa nilainya, kalau kebahagiaan yang dia dah
rampas?”
Aku nampak mata Rizhan marak berapi. Gerun. Dah hilang
sinar mata beningnya yang pernah aku tengok masa di Langkawi dulu.
Aku isteri Rizwan ... terlongo kala adik ipar aku itu
isytiharkan akan membalas dendam.
Sebab itu aku mahu berusaha jernihkan keadaan. Yang aku
nampak, Rizwan sudah banyak melalui kesakitan. Aku tak tahu bentuk macam mana
balas dendam yang Rizhan maksudkan, jadi aku tak dapat bayangkan apa lagi yang
bakal lelaki di sebelah aku ini akan lalui. Tapi sejujurnya, aku tak sanggup,
hatta membayangkannya sekalipun.
Rizwan berdiam diri.
“Boleh tak awak bagitau saya, apa hutang awak dengan Riz?”
soalku selajur.
Dia tetap membisu. Pandangannya kelihatan berat, tapi
masih menengadah ke langit. Dadanya makin kuat berombak.
“Kalau duit .. berapa?”
Rizwan menelan liur.
Soalan kedua .. masih dia biarkan.
“Tapi ... tentu bukan duit, kan?” Aku masih belum mahu
berhenti. Rasa sayu dihimpit situasi sebegini. Permusuhan adik-beradik, yang
secara tak langsung mengheret aku bersama. Terasa diri bertanggungjawab
memperbaik kekeruhan ini.
Dia mengalih pandang ke arahku. Ada kerut berlapis di
dahi itu. Kali ini dia menentang muka ini. Ada riak risau terbias. Desah nafasnya
juga kian memberat.
Aku cuba menebak perubahan rona mukanya. Tapi tak ada apa
dapat diandaikan. Apalagi dengan dua bibir yang bergerak-gerak, tapi masih membeku
itu.
“Sebab dia kata awak rampas kebahagiaan dia.” Terasa air panas
menerjuni kolam mata bilamana ayat itu meluncuri bibir.
Terbayang wajah Rizhan. Terbayang kesakitan yang ditanggung.
Rizwan memejamkan matanya. Rapat. Rengkungnya memanjang. Dan
dari juring mata yang terkatup itu mengalir air hangat.
Turun naik dada itu menahan buakan perasaan. Larian air jernih
makin laju menerjuni pipi.
Meskipun tiada jawapan aku peroleh, tapi hati turut terjentik
hiba. Melihatkan dia begini, tak salah kalau aku katakan, dia turut terasa sakit.
Dia tega menelan semua perasaan itu sendiri, sehinggakan membuka
mata pun seakan satu kesalahan untuk dilakukan.
Aku jatuhkan tangan kanan ke bahu kanannya. Aku usap perlahan
bahu itu, cuba mententeramkan ledakan emosinya. Sementara kanan kiri menggenggam
jari-jemarinya. Perlahan-lahan, kepala aku sandarkan ke bahu itu. Membuatkan dia
membuka mata. Lantas merangkul erat batang tubuh ini.
No comments:
Post a Comment