Semua orang ingin
mengasihi dan dikasihi. Tanyalah pada sesiapapun, sudah tentu jawapannya sama.
Tidak terkecuali aku! Memang aku ingin dikasihi. Meskipun aku mengasihi
seseorang, tapi aku tahu, kami tidak berkongsi perasaan itu. Hanya bertepuk
sebelah tangan. Dan aku juga tahu, tidak mungkin dia akan mengasihiku. Kerana
dalam sudut hatinya sudah lama terpahat satu nama lain. Aku pasrah.
Pandanganku masih terarah
kepadanya. Dia masih seperti tadi, berbincang subjek yang paling sukar dalam
kursusnya bersama beberapa orang budak sekelas. Khusyuk sekali. Aku kira dah dekat
sejam mereka berbalas kata, tapi nampak macam masing-masing belum mahu
berganjak dari tempat duduk.
Aku tarik nafas kelegaan. Dapat
melihatnya selama hampir sejam walaupun terpaksa bertahan dalam ketidakselesaan
di perpustakaan sudah cukup membuatkan hari ini berbunga indah. Senyum kecil
hadir sendiri di bibirku.
Tetapi sekejap sahaja! Kelibat
Rania yang baru sahaja muncul dan melintasi tempat dudukku benar-benar
membuatkan aku terasa panas tiba-tiba. Sah-sah dia menghala ke arah itu!
Lagi-lagi dengan senyuman gatalnya tu.
Aku tak dapat terima kemesraan itu meskipun mereka sekelas. Dengan mendapat
jolokan rupawan daripada sekumpulan penuntut lain, perempuan yang lebih
dikenali sebagai Nia itu aku rasakan cukup mengada-ngada. Perasan lawa!
Tersenyum-senyum macam dia tu jadi tumpuan semua orang. Ei ... menyampahnya!
Aizat Haji Ilias menyambut kedatangan perempuan gedik itu dengan senyuman.
Yang lain-lain juga turut berhenti seketika, malahan membuka ruang kepada Nia
duduk semeja. Tak tahan melihat suasana itu, aku menutup kasar buku-buku yang
aku gunakan. Alat tulis dan kertas-kertas nota aku kemas pantas. Lagi cepat aku
berambus keluar, lagi bagus! Kalau tak, mata sakit, hati pun sakit!
Malam sudah semakin sunyi. Aku tengok jam di tangan. Patutlah, dah pukul
2.30 pagi! Kepalaku tertoleh ke katil sebelah. Wawa dah lama lena. Terbongkang
teman sebilikku itu dengan memeluk bantal strawberi merahnya cap Cameron
Highlands. Nasib baiklah anak gadis dari Kuala Pilah itu tidak bermasalah
melelapkan mata dengan lampu terpasang. Dia yang juga sekelas denganku dah
faham sangat-sangat tabiat aku yang suka belajar tengah-tengah malam.
Pernah dulu dia membebel marah kerana katanya, malam adalah waktu untuk
tidur. Waktu belajar yang seeloknya adalah waktu pagi hingga ke petang. Entah
fakta dari mana dikutipnya, aku pun tak tahu! Tapi bebelannya itu berakhir
setelah dia benar-benar mengenali aku. Dah aku memang jenis belajar waktu tu,
nak buat macam mana?! Lagipun, aku berjaga sampai pukul 3 pagi je. Masuk aje
3.05 pagi, aku dah lena. Itulah rutin harianku.
Biasanya pembelajaranku tak pernah terganggu. Tetapi malam ini, fikiran
merusuh, terbayang-bayang wajah Aizat. Dalam keadaan macam ni, belajar apa pun
tak masuk. Jadi aku kemaskan semua barangku, dan membaringkan tubuh ke atas
tilam. Suis lampu aku tutup.
Kalau dia tak membahayakan dirinya semata-mata nak menyelamatkan aku 5
tahun yang lalu, tak adalah aku sampai sekarang tergila-gilakannya. Sehinggakan
sanggup mengekori setiap jejak langkahnya, walaupun hanya dengan pandangan
mata. Bila aku dapat panggilan melaporkan diri ke UM ini pun, aku berharap
sangat yang kami akan bertemu di sini. Alhamdulillah, doaku termakbul akhirnya!
Teruslah aku menjadi si pengejar bayang-bayangnya yang setia.
5 tahun yang lalu, ketika musim cuti persekolahan, aku pulang ke kampung
untuk menemani dan menjaga nenek yang tak seberapa sihat. Sambil-sambil
menunggu keputusan SPM diumumkan, umi yang beria-ia mahu aku belajar duduk di
dapur bergurukan nenek. Lagi-lagi kerana keakrabanku dengan nenek berbanding
cucu-cucunya yang lain.
Tinggal di kampung memang menyeronokkan. Cumanya, timbul ketidakselesaan
jika perlu keluar membeli barangan dapur di kedai Pak Cik Megat kerana perlu
melalui sebatang jalan yang kecil dan agak jauh. Dahlah budak-budak ‘tak
seberapa betul’ asyik melepak di situ. Meremang bulu romaku setiap kali perlu
melintasi kawasan itu.
Mungkin telah tersurat kejadian itu akan berlaku. Entah bagaimana, pada
hari Rabu itu, nenek tiba-tiba sakit teruk. Nak bangun pun tak terdaya. Naik
risau aku dibuatnya. Aku menelefon umi dan memaklumkan keadaan nenek. Bimbang
juga kalau dibiarkan lama-lama begitu. Apatah lagi hujan di luar masih tak mahu
berhenti sejak pagi tadi.
Umi menyuruh aku masakkan bubur dan beberapa sajian untuk nenek. Aku akur
dengan arahan umi. Lega hatiku apabila umi berjanji akan sampai petang nanti.
Sebaik meletakkan gagang telefon, aku cepat-cepat berlalu ke dapur. Mencari
semua bahan yang diperlukan untuk memasak. Sekali lagi aku naik risau
melihatkan kebanyakan barang dapur sudah habis. Sambil berdoa, aku gagahkan
hati mengayuh basikal ke kedai Pak Cik Megat. Kalau nak tunggu umi sampai dulu,
alamatnya kebulurlah aku dan nenek tengah hari ini.
Aku meredah hujan yang renyai-renyai itu. Jantung berdegup kencang
melihatkan ada dua orang lelaki di bahu jalan kecil itu. Mereka
tersengih-sengih dan bersiul-siul mengusikku. Aku telan liur. Berharap
moga-moga kayuhan kakiku bertambah laju dan selamat sampai ke kedai Pak Cik
Megat. Dalam perjalanan balik nanti tak apalah, aku boleh mintak tolong Pak Cik
Megat temankan!
Malangnya, jalan di situ terlalu becak dan dalam. Tayar basikal seolah-olah
terus terbenam di dalam lumpur. Aku kerahkan sekuat tenaga, menghentak pedal
basikal. Degupan jantung makin kuat memukul dada. Apatah lagi dengan sorakan
dan gelak tawa ‘dua makhluk jalanan’ yang makin galak mentertawakan aku.
Sekejap sahaja, mereka sudah mendatangiku. Aku ditarik kasar sehingga
terjatuh ke dalam lumpur. Kemudian, aku dipukul, dan diseret ke pangkal pokok
getah. Sakitnya tak terkata!
Air mata makin lebat mengalir. Aku dah tak sanggup hadapi semua ini! Kalau
diberi pilihan, aku berharap sangat jasadku sudah tak bernyawa tika ini!
Tiba-tiba, satu suara menyergah. Kemudian telingaku menangkap bunyi
pergelutan. Dalam hati, aku memanjatkan kesyukuran pada Yang Maha Esa.
Aku sempat melihat rupa lelaki budiman yang telah menyelamatkanku ketika
dia mendukung aku keluar dari kawasan pokok getah itu. Muka dan tubuhnya cedera
dan luka berdarah, namun aku tetap mampu memahatkan wajah itu dalam ingatan.
Sedar-sedar sahaja, aku dah berada di hospital. Aku menantikannya saban
waktu di hospital, tetapi tidak kunjung tiba. Aku meminta jasa baik nenek
menceritakan siapakah lelaki itu sebenarnya. Kata nenek, dia ialah cucu kepada
Tok Ngah yang tinggal di hujung kampung. Satu-satunya cucu yang paling rapat
dengan wanita tua itu.
Dek kerana rasa terhutang budi, aku kerap mengunjungi Tok Ngah. Menolong
wanita tua itu di kebun, membersihkan rumah dan laman, malahan menghantar
makanan padanya. Tetapi mungkin tiada rezekiku, tidak pernah sekalipun aku
bersua dengan lelaki budiman yang telah menyelamatkanku. Bagus jugak, sebab aku
masih berasa malu dengan kejadian yang berlaku! Dan nasib baik jugak mukaku
berlumuran lumpur, tentu dia tak dapat cam aku!
“Mia!”
Satu jeritan kedengaran, menghentikan kakiku daripada terus melangkah. Aku
pusingkan badan ke arah suara itu.
Wawa termengah-mengah menghayunkan kakinya ke arahku. Aku hanya
menghadiahkan sengihan kepadanya sambil menggosok-gosok mata yang terasa
memberat. Teringatkan Aizat punya pasal, habis terbabas masa tidurku! Sepanjang
kelas hari ini pun aku asyik menguap saja. Entah apa yang belajar tadi, satu
hapa pun tak masuk!
“Kau nak ke mana?!” Wawa yang sudah di sebelahku bertanya. Tangan kanannya
selamba memaut bahuku. Desah nafasnya yang masih tercungap-cungap menampar
kasar pipiku, menyebabkan aku menolak mukanya menjauh. Tapi perempuan itu tidak
melepaskan bahuku. Sudahnya, aku biarkan saja.
“Nak balik tido. Ngantuk la.” Sekali
lagi tanganku naik, menutup mulut yang masih tak habis-habis menguap. Memang
dahsyat sungguh ngantukku kali ni!
“Ada perjumpaan la wei! Pasal match
bola tampar hujung bulan ni!” Wawa bersuara agak kuat sehinggakan terasa mencucuk
gegandang telingaku.
“Argh ... malas aku nak pegi! Ngantuk ni!” Selepas agak lama terdiam, aku
bersuara. Sesungguhnya bukan mudah aku nak buat keputusan begitu. Kalau boleh,
memang aku tak mahu ponteng sebarang aktiviti kampus ni, tapi mata mengantuk
punya pasal ...
Sebaik sahaja punggung mencecah kerusi, aku terus melentokkan kepala ke
bahu Wawa yang duduk di sebelahku. Bising memanglah bising, tapi mataku cepat
saja terlelap! Suara yang tadi kuat berbunyi makin lama makin sayup kedengaran,
dan akhirnya senyap terus.
Aku tersedar tatkala terasa tubuhku digoncang-goncang. Perlahan-lahan aku
buka mata. Muka hijau biru Wawa tersembul di depan mataku.
“Bangun, Mia! Semua orang tengah
tengok kau ni!” Perlahan, tapi keras suara Wawa berbisik memberitahuku.
Serentak, aku pandang ke kiri
dan kananku. Alamak! Semua mata terarah kepadaku. Gulp!
Spontan aku bingkas bangun. Mata
juga segar tiba-tiba.
“Agaknya Cik Mia letih sangat.
Tak mengapalah. Kami cuma nak tanya, boleh tak Cik Mia main hujung bulan ni?”
Suara si pengendali yang tercegat di tengah pentas menarik mataku untuk
memandangnya.
Alamak! Si Budiman?!
Aku terdiam seketika.
“Emm ... main? Main apa?” Soalku
agak bodoh-bodoh. Benar, otakku tak berfungsi langsung tika ini!
Serentak dengan soalan yang terpacul daripada mulutku itu, seluruh isi
dewan yang aku kira seramai 300 orang gamat mentertawakanku.
“Match bola tampar hujung bulan
ni. Inter-university. Cik Mia boleh
main tak?” Lelaki itu menjawab, dengan senyum kecil di bibir.
Sekali lagi aku telan liur. Serta-merta mukaku terasa tebal dan sebu. Macam
manalah aku boleh tanya soalan bodoh macam tu?! Apasal aku tak teringat
langsung pasal match tu?!
“Ada cadangan mahukan Cik Mia perform.
Cik Mia macam mana? Setuju tak?” Sekali lagi dia bersuara setelah melihat aku
masih diam membisu.
Lambat-lambat aku mengangguk. Kalau ikutkan, malas aku nak ambil bahagian
dalam benda-benda camni! Tapi disebabkan tak mahu terus-menerus memalukan diri
sendiri, aku setuju saja.
Selepas itu, cepat saja perjumpaan berakhir. Tetapi aku masih membatu di
kerusi sambil tekun menekur lantai. Budak-budak lain masih tersenyum-senyum,
tergelak-gelak kat aku. Malu, siot!
Hei ... malaun mana yang pandai-pandai glamorkan nama aku ni?! Badigol
sungguh! Mau aku terajang sampai patah riuk tulang dia! Ee ... jagalah!
Sebaik keadaan sudah lengang, barulah aku dan Wawa bangun. Tapi aku masih
menundukkan muka. Malu tak terkira!
“Cik Mia! Nice to meet you! All the best for the match!”
Tiba-tiba dia menyapaku.
Aku mengangkat muka. Sekadar tersengih dan menganggukkan kepala sebagai
ucapan terima kasih. Kemudian cepat-cepat aku melangkah pergi.
“Hei ... malu betul! Malaun mana pandai-pandai sebut nama aku, Wawa?!
Lahabau sungguh!”
Aku bersuara kuat, melepaskan perasaan yang terbuku.
“Fendi. Dia tahu kau pandai main. Yang kau pun satu! Kau tido dalam dewan
tu apesal?! Aku pun turut sama malu, tau!” Agaknya si Wawa ni pun berasap time kitorang ‘diperkenalkan’ tadi.
“Dah ngantuk sangat. Aku tak nak pegi, kau tarik jugak!”
“Eh, eh ... aku pulak yang salah!”
Diam.
“Tapi ... macam mana Fendi tau kau reti main? Kau bagitau dia ke?” Wawa
tiba-tiba menyoal.
“Masa sekolah dulu, aku main untuk sekolah aku, lawan sekolah dia. Sekolah
dia kalah.” Marah yang meluap-luap tadi surut dengan sendirinya bila bercerita
pasal zaman muda-muda dulu. Agaknya inilah keistimewaan aku, mudah benar sejuk.
“Tapi bagus jugak ... sekurang-kurangnya ‘Lelaki Budiman’ kau tu tau
kewujudan kau!”
Serentak dengan sebaris ayat yang dimuntahkan, Wawa melangkah laju meninggalkanku.
Aku terhenti melangkah. Sekadar memandangnya dari belakang tanpa mampu bersuara.
“Tahniah, Cik Mia! Betul kata Fendi, awak memang pandai main!”
Dia insan pertama yang muncul di depanku, dan melontarkan sekalung ucapan
yang membuatkan hati ini berbunga riang.
Bertitik tolak daripada peristiwa itulah aku mula menyedari warna-warni
alam ini. Rasa bersemangat untuk ke kuliah. Kalau program persatuan dan kampus,
lagilah! Dan dia juga mula menyedari rutinku di perpustakaan. Alangkah
bahagianya melihat senyuman manis yang diukirkan khas buatku itu!
Cuti semester sudah tiba. Perasaanku bercampur baur antara seronok dan
sedih. Seronok kerana berpeluang berkumpul dengan seluruh ahli keluarga, dan
sedih kerana tak dapat lagi mengejar bayang-bayangnya buat sementara waktu ini.
Aku tekun mengupas bawang di dapur yang sesak dengan wanita-wanita berumur.
Esok rumah Che Wan Kiah ini akan meriah dengan majlis kenduri kesyukuran
sempena perkahwinan Kak Feera, anak Che Wan Kiah. Kak Feera sememangnya disenangi
semua orang, sebab itulah orang-orang kampung tak kisah bergotong-royong untuk
majlisnya. Tok Ngah yang di hujung kampung pun sanggup datang menolong.
Meskipun Kak Feera hanyalah salah seorang sahabat yang aku kenali di
kampung nenek ini, tapi aku juga tak kisah membantu mana yang patut
memandangkan hubungan kami memang agak rapat. Che Wan Kiah juga selalu
berkunjung ke rumah nenek, menambahkan keakraban yang sudah sedia terjalin
antara keluarga kami.
“Maaf Che Wan, Zat lambat sikit. Ada hal tadi. Mana kelapa yang nak kena
mesin?”
Tiba-tiba satu suara kedengaran, mencuri perhatianku.
Terangkat keningku melihat si empunya suara. Aizat?!
Dia terlopong memandangku.
“Mia?!”
“Kau kenal cucu Mak Nik ni, Zat?!” Tok Ngah mencelah.
“Satu U dengan Zat, nek. Mia ... cucu Mak Nik?!”
Semua yang ada kat dapur itu sudah memandang kami. Dan mulalah
usikan-usikan nakal berkumandang.
Terasa membahang panas mukaku. Malunya tak terkata!
Lagi haru jantungku bila Tok Ngah dengan nenek pun sama naik dengan mak
cik-mak cik itu.
Aizat sudah memulakan tugasnya, tapi aku yakin telinganya menangkap setiap
bicara yang keluar daripada mulut mak cik-mak cik ini.
Sudahnya, aku bingkas berdiri.
“Mia balik dululah Che Wan. Nak minum.”
“Kat sini tak ada air ke? Ala ... buatlah untuk mak cik sekali, Mia. Dahaga
ni. Sejag pun cukuplah. Semua boleh rasa. Ramai tukang ni. Yang kat sini boleh
rasa, yang kat luar tu pun boleh rasa. Tak gitu, Mak Nik? Tok Ngah?”
Terasa macam seketul batu terhempap jatuh atas kepalaku dengar kata-kata Che
Gayah. Aduh ...!!
Dengan lutut yang terasa menggeletar dan sendi-sendi yang seakan mahu
luruh, aku bancuhkan juga teh o ais sejag. Ei ... sakit jiwa sungguh aku kalau
camni!
Selesai buat air, aku melangkah ke arah pintu dapur.
“Nak ke mana, Mia? Minumlah air ni. Takkan nak minum pun kena balik?”
Nampaknya Che Gayah belum puas lagi mengenakan aku. Apa tak cukup kasihan
lagikah dia tengok mukaku yang sudah pucat lesi ini?! Malu, tau tak?!
“Malam karang Mia datang balik.” Kali ini aku buat tak dengar saja suara-suara
sumbang yang masih kedengaran. Laju kakiku melangkah meninggalkan rumah Che Wan
Kiah.
Hei ... macam mana aku nak berdepan dengan si Aizat nanti?! Dengan Tok Ngah
lagi?! Malu!!
Dengan hati yang sebal, aku ikut jugak umi dan nenek ke rumah Che Wan. Kalau
diikutkan, memang aku tak mahu lagi jejakkan kaki ke sana buat masa ni. Tapi
janji punya pasal, ditambah lagi dengan pesanan berkali-kali Kak Feera pada umi
dan nenek, terpaksa jugak!
Asyik mataku menyaksikan upacara akad nikah yang telah memeteraikan ikatan
suci antara Kak Feera dengan pasangannya, Nazril Danial. Sekali lafaz sahaja,
semuanya selesai. Kemudian upacara membatalkan air sembahyang. Tersenyum aku
memandang Kak Feera yang malu-malu menerima kucupan di dahi.
Sedang khusyuk melihat semua itu, silau cahaya yang tiba-tiba memancar
mengejutkanku. Dengan muka yang berkerut, aku memandang jurugambar. Seorang
lelaki yang segak berbaju Melayu rona biru. Tapi wajahnya terhalang dek kamera
yang besar gedabak. Apa kes mamat ni?! Ambik gambar aku buat apa?! Bukannya aku
pengantin! Gatal-gatal pulak snap
gambar aku!
Lelaki itu menurunkan kamera. Sambil tersenyum kecil, dia mengenyitkan mata
kepadaku. Ternganga aku dibuatnya. Aizat?!
Cepat-cepat aku tutup mulut. Lalu kembali memandang pasangan pengantin.
Dia mengangkat kembali kamera dan meneruskan tugas pentingnya itu. Dan
kemudian, sekali lagi cahaya memancar ke arahku. Aku pandangnya dengan ekor
mata sahaja. Nasib baik orang lain tak perasan! Kalau tidak, mau kecoh satu
kampung!
Aku sudah memejamkan mata ketika telefon bimbit tiba-tiba berbunyi,
menandakan ada mesej masuk. Disebabkan keletihan yang tak tertahan, aku biarkan
saja. Tak lama kemudian, ada lagi mesej masuk. Masuk. Masuk. Dan masuk.
Aku buka mata. Telefon bimbit kucapai. Satu persatu mesej aku baca.
“Awk rupanya perempuan rajin yg nenek duk sebut2 ..”
“Awk nmpk cntik dlm baju kurung biru. Tiru sy ye?”
“Jgn terasa sgt dgn mak cik2 tdi tu.
Diorg gurau je. Tp air awk bt ... sdp!”
“Luka hari tu mcm mn?”
“Dh tdo? Ke x nk lyn sy? X pe la, slmt mlm. sweet dream ..”
Tersenyum jugak aku dibuatnya. Tapi tak tergerak hati untuk membalasnya
sekarang.
Semester baru sudah bermula. Semester akhir buat Lelaki Budiman. Lepas ni,
tak tahulah sama ada aku masih boleh mengejarnya atau tidak.
Hari ini aku ke perpustakaan. Tapi dia tak ada. Yang ada hanyalah
rakan-rakan sekelasnya. Hilang semua semangatku. Tapi aku tetap perlu membuat
kajian. Kertas kerja perlu dihantar dua minggu lagi. Dengan kaki yang agak
berat, aku melangkah ke rak-rak buku.
“Aizat kata, buat masa sekarang ni dia sibuk sikit. Buat persediaan.
Katanya nak jumpa keluarga bakal mertua.” Aku terdengar cakap-cakap Hanif
dengan rakan-rakannya.
Terasa jantung berdegup kencang. Mertua?!
“Gila! Muda lagi dah fikir pasal kawin! Sekarang ni masa untuk enjoy! Last sem lagi ni!” Suara si playboy
Krill pula kedengaran.
Serta-merta aku mencebik. Kalau dah dasar playboy!
“Itu la beza dia ngan kau! Yang kena serius, dia serius! Tak main-main! Kau
ni, semua benda main-main!” Em ... nampaknya ada jugak yang realistik!
“Itu pasal la Nia tak pandang kau! Semua hal main-main!” Ada lagi yang
memprovok si Krill!
“Sape yang dia gila-gilakan sangat sampai nak buat bini tu?!” Hish ...
kasar sungguh bahasa si playboy Krill!
“Aku tak tau. Tak ade cakap plak. Yang dia kata, 3 April.” Tenang suara
Hanif.
“Eh ... 3 April?! Bukan ke birthday
Nia?!” Aku telan liur.
“Tak tahu la ada kaitan tak. Tapi ... mungkin!”
“Bukan Nia sorang lahir 3 April. Anyway
... just wait and see.” Akhirnya
Hanif memutuskan. Sudah bosan barangkali.
Aku pulang ke bilik dengan otak yang berserabut. Nampaknya akan berakhirlah
episod kejar-mengejar yang aku syok sendiri ini. Memang benar-benar lelaki
budiman! Dah tak fikir nak main-main langsung dalam soal cinta.
“Rasanya aku patut lupakan dia. Dia dah fikir pasal kahwin. 3 April. Birthday Rania.” Aku bersuara perlahan
sambil merenung siling.
“3 April?! Rania lahir 3 April?! Korang ni kembar ke?!” Wawa dengan muka
berkerut seribunya aku pandang sepi.
“Ya ... 3 April. Kembar macam mana pulak, Wawa? Aku Johor, dia KL.
Kebetulan aje lahir sama 3 April. Mia dengan Nia. Macam aje dekat. Tapi nama
sebenar jauh menyimpang. Mia Nur Sara, Rania. Rania, Mia Nur Sara.”
Terkebil-kebil mata Wawa memandangku. Kemudian matanya memandang siling
dengan mulut terkumat-kamit. Uhm ... tengah interpret
data la tu!
3 April. Aku menghayun langkah ke kafe dengan hati yang berdebar-debar.
Hari ini la hari yang aku tunggu-tunggu. Bukan kerana nak menyambut ulang tahun
yang menandakan bertambahnya penuaan, tetapi kerana Aizat! Semuanya kerana
Aizat! Pergi ke kafe ni pun kerana Aizat!
Ahli Persatuan Bola Tampar berkumpul untuk meraikan ulang tahun ahli-ahli
persatuan. Ada la tu agendanya pilih 3 hari bulan!
Ada dalam 28 orang yang diraikan.
“Sabar la Mia. Enjoy je la. Kau
antara yang diraikan. Sayang kalau kau duk melangut dalam majlis kau sendiri.”
Wawa menepuk-nepuk bahuku.
Aku sekadar tersenyum. Nak kata apa lagi?
Aizat datang menghampiriku bersama beberapa orang kawannya. Semua bergilir-gilir mengucapkan kata selamat. Aku
anggukkan kepala sambil mengucapkan terima kasih. Nak lebih-lebih, segala
semangatku sudah berterbangan. Senyum pun terasa palsu je.
Ingatkan mereka akan beredar, tapi rupa-rupanya semua pakat duduk semeja
denganku. Cakap itu dan ini padaku. Ya ALLAH! Masa aku tak ada perasaan inilah
korang nak bermesra! Tak nampak ke muka aku yang masam macam cuka ni?!
Wawa yang setia di sebelah pula yang tolong menjadi ‘mulutku’. Dia yang banyak melayan budak-budak tu. Sampai
berkerut-kerut dahi diorang pandang muka aku dan Wawa. Silih berganti.
“Kau datang bulan, ke Mia?! Masam je!” Satu soalan terlontar daripada mulut
Krill.
Aku yang sedang mengunyah kek coklat tersedak. Jahanam!
Aizat cepat-cepat menghulurkan segelas jus oren kepadaku. Aku meneguk jus
itu perlahan-lahan. Pedih tekakku!
Terpinga-pinga Wawa mencerlung Krill sambil menepuk-nepuk belakangku. Semua
yang lain kelihatan kurang senang dengan soalan bodoh Krill, menyiku mamat tu!
Malaun betul!
Krill memandang mukaku yang merah menyala dengan sengihan panjangnya. Sambil
menjeling, aku meneguk lagi jus oren.
“Oh ye, Zat! Sape bakal bini kau?! Nia?!” Sekali lagi Krill bersuara.
“Not Nia, but Mia! Ok?!” Aizat bersuara kuat dan tegas.
Aku yang tengah meneguk jus oren tersedak air pula.
Terasa pedih dan sakit hidung dan tekakku. Mata juga berair-air. Terbatuk-batuk
panjang lagi.
Aizat yang bagaikan baru tersedar daripada kesilapannya hanya mampu
memandang aku yang kelihatan tengah sengsara dengan riak muka bersalah.
Sesekali menelan liur, dan menjeling tajam si Krill di hujung meja. Barangkali
dia memang tengah berasap dengan mulut si Krill, sampaikan tak sedar
kata-katanya sendiri!
Lama terbatuk-batuk, akhirnya lega juga aku.
Nasib baik sempat telan, kalau tak, maunya tersembur keluar! Dan dah tentu
akan habis menyimbah muka Aizat yang duduk di depanku. Memalukan!
Aku menggenyeh mata dan hidung yang perit silih berganti. Malangnya hari
ni!
Perasaan apa yang patut aku rasa? Gembira? Tapi kenapa bukan perasaan itu
yang aku rasakan sekarang? Panas dan meruap-ruap adalah.
Semua diam membisu. Memandang aku dan Aizat. Aku turut terdiam. Memandang
Aizat, rakan-rakannya, dan kemudian Wawa. Silih berganti.
“Cinta?” Tanyaku pada Aizat sepatah. Dia terangguk-angguk. Masih dengan
riak tadi.
Aku pula terangguk-angguk. Aku
senyum. “Kujuga mencintaimu.”
No comments:
Post a Comment