Mataku meliar ke sekeliling. Segala-galanya masih seperti
dulu. Hiasan dinding, bidai pintu, malahan susunan perabot, semuanya dalam
keadaan yang sama seperti dulu. Kerusi rotan kesayangan arwah ibu masih di
tempat duduknya. Masih dalam bentuk bulatan. Meja rotan itu juga masih kekal di
tengah-tengah bulatan kerusi. Cuma kain alasnya sahaja yang tidak dipasang.
Barangkali disimpan dalam almari.
Aku menapak ke arah almari di sudut tepi dinding.
Perlahan-lahan, kubuka pintunya, menampakkan koleksi buku, majalah serta
barangan perhiasan bersaiz kecil. Semuanya barangan yang sama yang pernah
kulihat 10 tahun lalu. Barangan yang amat ibu sayangi!
Tak semena-mena empangan mataku bergenang. Aku pusingkan
tubuh, menghadap Kak Tini yang masih berdiri di depan pintu. Bibirku cuba
menuturkan kata, meminta penjelasannya, namun lidah seakan terkelu. Suara tidak
terkeluar dari kerongkong.
Kak Tini menganggukkan kepalanya. Kemudian, dia membuka
tas tangan, lalu mengeluarkan satu dokumen. Perlahan-lahan, wanita berusia awal
30-an itu menghampiriku. Redup pandangannya menatap mataku. Senyuman kecil
terukir pada bibir nipisnya.
“Kakak serahkan kembali tanah beserta rumah ini pada Lili
sebagaimana yang pernah Lili diami suatu ketika dulu.” Dokumen yang dipegangnya
diserahkan kepadaku. Segugus anak kunci turut disertakan bersama.
Terkebil-kebil aku memandangnya. Sesungguhnya sukar untuk
aku percayai tindakan kakak tiriku ini. Kartini Alia, lakonan apakah ini?!
Kali terakhir aku menemui orang yang membeli tanah
beserta rumah ini adalah 7 tahun lalu. Walaupun aku sudah tidak tinggal dengan
ayah kerana memilih untuk tinggal bersama arwah nenek dan Uncle Ian, tetapi aku tetap mengambil tahu akan hal ini. Tika itu,
lelaki yang bergelar Datuk itu meletakkan harga 350 ribu ringgit atas aset
berkenaan.
Meskipun hati memberontak dengan tindakan ayah menjual
rumah yang menyimpan berjuta kenangan bersama arwah ibu, namun akhirnya aku
terpaksa akur. Geran sudah bertukar milik. Dengan selesainya urusan jual beli
dan pindah milik itu, maka hilanglah sudah tempat aku berteduh selama ini. Lalu
tanpa teragak-agak lagi, aku mengikut Uncle
Ian, bapa saudaraku yang juga adik tunggal arwah ibu balik ke Australia.
Semenjak itu, aku tidak pernah lagi berhubung dengan ayah.
Aku melabuhkan punggung ke pangkin yang masih utuh
berdiri di bawah pohon rambutan di laman. Pandanganku terarah ke dada langit,
melihat kerlipan bintang-bintang yang menghiasi tirai malam. Indah sekali!
Tanpa dipinta, kenangan lalu mula berputar di layar
ingatan. Mengimbau kembali cerita cinta arwah ibu yang berasal dari Australia
dengan seorang usahawan sofistikated berdarah Melayu dari Malaysia, sebagaimana
yang Uncle Ian kisahkan kepadaku.
Kedatangan arwah ibu ke Malaysia bersama-sama Uncle Ian untuk melihat sendiri keindahan negara timur ini dan
membina empayar niaga di sini akhirnya membawa ibu ke alam yang tidak pernah
terfikirkannya, alam rumah tangga. Sedangkan sebelum ke Malaysia, ketika bekas
teman lelaki ibu yang bernama Darien melamar, ibu yang bermati-matian menolak
untuk berkahwin. Tapi lain pula ceritanya selepas ibu bertemu dengan anak jati
Melayu bernama Hairi. Sejak saat itu, Caroline telah bertukar menjadi Aisyah,
suri kepada pemilik sebuah syarikat kecil.
Kebahagiaan hidup arwah ibu memang tidak dapat dinafikan,
apatah lagi setelah kehadiran aku, satu-satunya zuriat yang dikasihi. Meskipun
hasrat ibu untuk melahirkan beberapa orang cahaya mata lagi tidak kesampaian
disebabkan kesihatannya yang sangat membimbangkan, namun ibu tetap bersyukur.
Aku diulit belaian kasihnya sepanjang waktu. Sehinggalah tiba saat ibu ‘diambil
kembali’ olehNYA, aku masih tetap dapat merasakan kehadirannya di sisiku.
Sejak ketiadaan ibu, ayah mula berubah. Makan minumnya
sekadar mengalas perut. Namun aku bersyukur kerana ayah tetap mengambil berat
akan sakit pening dan makan minumku. Cuma bezanya dengan dulu, ayah jarang
senyum. Malahan, cakapnya juga sekadar yang penting sahaja. Terasa?! Memang aku
terasa! Meskipun yang ‘pergi’ ialah ibu, tapi keadaan yang berlaku seolah-olah
ayah turut ‘pergi’. Pada saat itu, pada arwah nenek dan Uncle Ianlah aku menumpang kasih. Dan seorang sahabat yang sangat
memahami, Dira, yang sudi mendengar segala luahanku.
Tatkala usiaku menginjak belasan tahun, aku mula nampak
perubahan sikap ayah. Ayah bukan sahaja kelihatan semakin ceria, bahkan mula
mengambil berat soal pemakanan dan pemakaiannya. Aku sedar, sudah tentu ada
sesuatu yang mendorong ayah berubah kembali setelah sekian lama dia hidup menyendiri.
Jauh di sudut hati, aku takut tempat arwah ibu ‘dicuri’ seseorang. Tetapi aku
juga sedar, aku tidak layak menafikan hak ayah, apatah lagi menyekat hidupnya.
Tanggal ulang tahunku yang ke-16, bukan hadiah yang
menggembirakan yang aku terima daripada ayah. Sebaliknya, pada tarikh itu juga
ayah mencoretkan sebuah lagi sejarah dalam kamus hidup kami, perkahwinan
keduanya dengan seorang janda beranak tiga, yang langsung tidak pernah aku
ketahui kewujudannya. Ketika ayah dengan senyuman lebarnya direnjis di atas
pelamin nan indah bersama Mak Cik Siti, aku menumpahkan air mata di kamar
tidurku. Tidak ada sesiapa pun yang kisah tentangku. Hanya kawan baikku, Dira
yang setia menemani. Dan aku yakin, selepas ini, aku akan terbuang dari rumah
ini!
Dua tahun hidup sebumbung dengan ahli keluarga baru, aku
sudah dapat merasakan yang hatiku telah hancur lebur. Dalam segala hal, aku
yang selalu beralah. Memberikan seluruh ruang dan kesenangan untuk dikecapi
oleh kakak dan dua orang adik tiri yang tidak pernah merasai hidup selesa
sepertiku. Demi kasihku pada ayah, aku akur. Kartini Alia, Karina Azura, dan
Karisma Adwa, ketiga-tiganya mendapat perhatian istimewa daripada ayah.
Seolah-olah merekalah anak kandungnya.
Kartini Alia tidak sempat tinggal lama di rumah kerana
ayah telah membiayai pengajiannya dalam bidang perubatan di Ireland. Hanya
Azura dan Adwa yang tinggal bersamaku, dan bersedia merebut apa sahaja
kepunyaanku. Segala barang berharga yang aku simpan, sekejap sahaja sudah
menjadi milik mereka. Tumpah jua air mataku kerana barangan yang aku sayangi
itu direbut, sedangkan ia hanyalah barangan murah yang boleh dibeli walau di
tepi jalan sekalipun. Nilainya pada mataku hanya kerana ia mengungkap kenangan
bersama arwah ibu.
Sekian lama bertahan, akhirnya aku terpaksa mengalah
sekali lagi. Meski aku cuba mempertahankan hakku dalam rumah itu, namun aku
sedar aku harus mengaku kalah. Buktinya sudah terlalu banyak. Malahan, tatkala
kaki ini melangkah keluar dari pintu rumah, ayah langsung tidak menghalang.
Suaranya juga tidak kedengaran walau sepicing. Saat itu aku bertambah yakin bahawa
aku sudah lama tewas! Tewas dalam tangan ayah sendiri!
Sepanjang perjalanan, air mata menjadi peneman setiaku.
Nenek dan Uncle Ian sendiri langsung
tidak mampu memujukku. Aku meluahkan segala perasaan yang aku tahan-tahan
selama ini. Tidak pernah aku merasai kesakitan dan kesengsaraan sebegini rupa.
Lagi menyeksakan kerana ayah sendiri yang tergamak ‘membunuhku’!
Saban waktu, aku tetap merisik khabar ayah. Berdoa dan
berharap, suatu masa nanti, ayah akan datang menjemputku pulang. Meski masa
terus berlalu, dan harapan kian pudar, aku masih setia membisikkan bunga-bunga
janji tersebut. Pada Diralah aku mengharapkan berita-berita tersebut.
Satu persatu cerita tentang ayah sampai ke telingaku.
Ayah mula berhutang, isteri baru ayah itu terpaksa menggadaikan barang
kemasnya, ayah terpaksa tutup syarikat, dan akhir sekali, ayah telah menjual
tanah beserta rumah yang selama ini menjadi tempat kami berteduh. Aku yang
mendengarnya terkedu, lalu terjelepuk jatuh. Gugur lagi air mataku. Berlegar-legar
kembali janji ayah pada aku dan arwah ibu suatu ketika dulu, “Walau apa pun
yang berlaku, abang takkan sesekali serahkan rumah dan tanah ini pada sesiapa.
Ini rumah kita, istana kita. Abang akan pertahankan, biarpun terpaksa bergadai
nyawa”.
Dengan bantuan Uncle
Ian, aku bertemu sendiri dengan pembeli tanah beserta rumah itu. Aku tahu aku
takkan mampu berbuat apa-apa, apatah lagi setelah lelaki itu meletakkan harga
RM 350 000 atas aset berkenaan. Uncle
Ian menawarkan bantuan kepadaku, namun aku menolak mentah-mentah. Dengan
pelanggaran janji yang dibuat ayah sendiri terhadap arwah ibu itu, aku kira
telah berkuburlah segala sumpah setia, kenangan dan impian yang pernah kami
ikrarkan bersama-sama. Tidak ada gunanya aku memperjuangkan semua itu sedangkan
ayah sendiri yang menghancurkannya.
Segala-galanya sudah lenyap. Lalu aku mengambil keputusan
untuk mengikut Uncle Ian pulang ke
Australia sahaja. Membina hidup baru di tempat yang belum mencoretkan sebarang
kenangan luka di hatiku. Dengan harapan moga-moga Lili Safina yang pernah
terluka dahulu menemui kebahagiaan di sana nanti.
Hanya Dira yang menghantar pemergianku. Betapa sedihnya
perasaanku tika itu hanya TUHAN sahaja yang tahu. Nasib baiklah Uncle Ian sentiasa ada di sisiku.
Akhirnya, setelah bertahun-tahun menjadi perantau,
tergerak hatiku untuk menjenguk kembali bumi Malaysia yang sudah lama
kutinggalkan. Lagi pula, aku mendapat berita bahawa Dira kini ditahan di wad
kerana kegagalan fungsi hatinya yang telah sampai ke tahap kronik. Aku pulang
seorang diri sahaja kerana Uncle Ian
sibuk sepanjang bulan ini.
Siapa sangka aku akan menemui Kartini Alia di hospital
ini. Dari bilik Dira, aku dibawanya ke tempat yang lebih privasi. Dan dia mula
menceritakan itu dan ini tentang dirinya. Entah mengapa hatiku langsung tidak
terusik saat dia mengkhabarkan keadaan ayah yang tidak seberapa sihat. Aku
hanya memandangnya tanpa sebarang reaksi, malahan menyuruhnya menghabiskan ayat terakhir secepat
mungkin.
Dan hari ini, aku menjejakkan kembali kakiku di sini,
kerananya. Bila diimbau semula perbualan kami sejak bertemu balik tiga hari
yang lalu, memang kata-kataku padanya pedas dan sinis. Sengaja aku bersikap
sedemikian, biar dia tahu betapa aku terseksa kerana dia dan keluarganya. Tapi
sekarang, ada rasa sesal menyelinap di hati kecil ini.
Aku menghembuskan keluhan kecil. Pandanganku jatuh pula
pada pohon-pohon bunga yang memenuhi taman kecil berhampiran pagar masuk.
Memang bukan bunga yang sama yang ditanam arwah ibu, tapi masih daripada jenis
yang sama. Agaknya Kak Tini benar-benar berusaha keras untuk memulangkan
kembali semuanya kepadaku.
“Kak Tini tahu kesalahan kami pada Lili sangat besar.
Kalau Lili tak maafkan kami pun, kakak faham. Tapi kakak mohon, maafkanlah
ayah. Semuanya kerana kami, jadi Lili janganlah bermusuhan dengan ayah. Tak
sanggup rasanya melihat Lili berjauh hati dengan ayah, sedangkan Lili yang
sepatutnya berada di sisi ayah sehingga ke hujung nyawanya”.
Kata-kata Kak Tini berlegar-legar lagi dalam kotak
memoriku. Kejam sangatkah aku?! Melampaukah tindakan aku?! Tapi tidakkah ayah
tahu betapa sakitnya hati ini?!
“Ayah janji ayah akan jaga Lili dan ibu seumur hidup
ayah. Ayah janji ayah akan pertahankan semua yang kita miliki sekarang sehingga
ke hujung nyawa ayah. Di sini kita bina istana kita, di sini jugalah kita akan
habiskan sisa hidup kita.”
Terngiang-ngiang semula janji ayah di telingaku. Janji
itu yang aku pegang selama ini. Janji yang ayah sendiri ikrarkan, dan akhirnya
dia sendiri yang khianati. Kerana janji itu jugalah hati ini bertambah remuk,
sehinggakan aku nekad membawa diri ke tempat yang sangat asing.
Aku pejamkan mata, menimbang semula langkah yang akan aku
ambil selepas ini. Kalau ikut perancangan, aku akan terbang semula ke Australia
minggu depan. Kerja yang bertimbun sedang menantiku di syarikat. Memanglah
bosku, Uncle Ian, membenarkan aku
bercuti sepuas-puasnya. Tetapi tak sampai hati pula nak buat macam tu kat
dia.
Sudah tiga empat kali aku memusing stereng, tetapi rumah
bernombor 25 masih tidak aku temui. Ei ... susahnya kawasan perumahan ni! Baju
dah lencun dengan peluh, rumahnya tak jumpa-jumpa! Dahlah kekok drive di sebelah kanan!
Berkali-kali membebel seorang diri dalam perut Vios hitam
yang disewa untuk seminggu itu, akhirnya aku menarik nafas lega kerana mataku
berjaya menangkap subjek yang dicari. Finally!
Ada dua tiga orang lelaki sedang berbual-bual di bawah
garaj. Barangkali ahli keluarga tuan rumah. Lalu, aku memberi salam.
Mungkin benar aku kejam! Tapi saat mataku menyaksikan
sendiri seorang lelaki separuh abad yang terkial-kial menolak tayar kerusi
rodanya, hatiku dipagut sayu! Pilu! Lelaki itu memusingkan tubuh dan kerusinya
ke arahku. Mata kami bertatapan seketika. Kaku!
Saat itu, air mataku yang menitis setitik dua tadi
semakin lebat mengalir keluar. Kaki bagaikan dipaku di tempat aku berdiri.
Ayahkah itu?! Ya ALLAH! Apakah yang sudah terjadi?!
Seketika kemudian, Kak Tini keluar dari rumah dengan
memapah seorang wanita. Berusia separuh abad, dan daripada pemerhatianku,
wanita itu buta! Lama aku memerhatikan, akhirnya aku berjaya juga mengecamnya.
Mak Cik Siti!
“Ayah kemalangan sewaktu kejar Lili masa Lili berangkat
ke Australia dulu. Tak lama kemudian mak hilang penglihatan, sebab mata masuk
sabun basuh baju. Masa tu, mak terpaksa ambil upah membasuh baju untuk tanggung
keluarga.” Bergetar suara Kak Tini sewaktu memberitahuku.
Lagi galak air mataku meluncur menuruni pipi.
Perlahan-lahan, aku menapak menghampiri ayah. Juraian air matanya aku sapu
lembut, namun sekejap sahaja, aku ditarik ke pelukannya.
“Lili mintak maaf, ayah! Lili janji takkan tinggalkan
ayah lagi! Lili akan jaga ayah!” tanpa kusedari, bibirku melafazkan kembali
janji itu. Janji yang telah bertahun-tahun aku kikis daripada ingatanku, yang
pernah menjadi senjataku untuk melarikan diri daripada ayah.
No comments:
Post a Comment