Satu per satu lakaran dia belek. Hasil tangannya. Lorekan
ligat tangan bergandingan dengan bayangan dalam kotak fikiran yang sangat
kemas, hasilnya sangat menakjubkan. Nampak sangat hidup. Seakan-akan wajah itu
sememangnya mempamerkan diri untuk ditatapnya.
Jari-jemarinya naik, mengusap-usap wajah yang
dipotretkannya sendiri. Terasa angin rindu menjentik pangkal hati. Rindukan dia
.. rindukan waktu itu .. saat di kala lirikan mata dan senyuman mahal itu
dilukis nipis untuknya. Saat dadanya bergetar menerima lirikan dan jelingan,..
meskipun ia seakan-akan isyarat menyuruh dia menjauh.
Anis!
Tanpa sedar, suara hati mula berseru.
Tergambar kembali senyuman perempuan itu kala berbicara
dengan Ayuni. Terdengar-dengar tawa nipisnya kala bergurau senda dengan si
adik.
Serta-merta sebak menghinggapi dada.
Terlayar kelembutan tingkah dan suaranya kala berbicara.
Tertib dan sopannya kala menyuap makanan.
Terasa sendat di dada kian membusung.
Tak semena-mena air matanya menitis.
Sakit! Terlalu sakit!
Baru dia mengenal bahagia, sekelip mata ia direnggut.
Rakus ... sehinggakan tidak sempat dikecap walau secicip.
Tatkala bayangan lelaki di samping wanita itu berlegar di
ruangan mata, tidak mampu lagi dia menangkis titisan air mata yang kian
melebat. Laju mencurah-curah, seolah-olah tengkujuh membadai, menghanyutkan
tunas-tunas yang baru bercambah.
Sebelah tangannya menggapai tangan kananku. Digenggam
perlahan.
“Mama setuju dengan Riz, .. Nurul patut tinggal sini. Senang
kalau ada apa-apa.”
Aku jeling orang sebelah.
Dia diam. Hanya kelihatan rengkungnya memanjang menelan
liur.
Kalau begitu gaya, rasanya kami berpendapat yang sama.
Tidak bersetuju.
Aku kalih pandang ke muka mama. Kali ini aku pula menelan
liur.
Susah nak mereka alasan bila mama tayang muka seperti
itu. Muka berharap. Alasan melepaskan diri yang nyata-nyata akan melintang
dengan kehendaknya. Paling-paling kurang tercuit hatinya bila dengar. Dan
paling tidak diingini kalau mama merajuk. Dengan aku mungkin dia susah sikit
nak mogok, sebab baby dalam perut aku. Tapi kalau dengan orang
sebelah yang suka merenung lantai ni, mungkin sadis sikit nasibnya. Barangkali
kembali jadi sedingin sebelum ni.
“Er ...”
Aku jeling lagi orang sebelah.
Takut nak jawab sebenarnya. Sejak orang sebelah ni pandai
naik suara, aku tak mahu pandai-pandai beri kata putus. Buat keputusan adalah hak dia. Nanti karang
tak pasal-pasal kena jerkah lagi.
Lambat-lambat hujung mata aku nampak dia mengangkat muka.
“Ya, lah. Nanti kami bawa barang pindah sini.”
Selajur ayat tanpa nada itu diungkapkan, kesannya membawa
seulas senyuman manis mama.
Lambat-lambat aku tarik senyum tawar, membalas senyuman
mama.
Dua-dua diam. Dia sedang menyangkut pakaian dalam almari.
Aku tak mahu dekat dengan dia, jadi langkah kaki aku panjangkan ke sebelah sana
katil. Duduk menghadap ke pintu beranda yang ditutupi dua lapis langsir sambil
mengeringkan rambut dengan tuala. Dan melayan rasa tak puas hati yang
berbuku-buku dalam dada.
Masa lalu melintasi dia, aku buat tak nampak. Seolah-olah
aku seorang diri di sini.
Sejujurnya aku terasa hati. Dah lama berlalu, tapi rasa
tak puas hati tetap bersarang. Aku tak perlukan kata maaf. Cukup dengan
penjelasan. Barulah aku mengerti kenapa dia bertindak seperti itu.
Tak sempat mengomel panjang, dia sudah melabuhkan duduk
di sebelah.
Aiseh!
Ini yang aku tak suka ni. Nanti mesti dia bagi ayat-ayat
dia. Ayat-ayat jiwang yang buat aku geli. Tapi dengan ayat tu jugak aku jadi
kesian dekat dia. Pastu mulalah nak buat baik lagi dekat dia. Hish ... tak
suka, tak suka!
Aku buat tak tahu. Terus kirai-kiraikan rambut. Cuma
lebih cepat, lebih kasar dari tadi.
Mula-mula dia tengok je muka aku.
Sesaat ... dua saat ...
Bila aku masih macam tu, dia pegang tangan kanan aku.
Dah! Pakai kuasa tangan la pulak!
Tuala di tangan dia ambil. Dialihkan letak duduknya ke
belakang aku. Perlahan-lahan, dia kiraikan rambut yang masih basah ini.
Alammaak ..!
Cik hati ... tolong duduk diam-diam! Tak payah berdegup
kuat sangat, la!
“Orang boleh buat sendiri, la.” Tak mahu hanyut punya
pasal, aku berganjak ke kiri sedikit. Tuala di tangan dia aku cuba ambil.
Sengaja buat muka masam.
“Abang buat.” Dikerdipkan matanya perlahan.
Nak memujuk la tu!
Aku pun nak berdegil.
“Sayang pusing depan, abang tolong keringkan rambut ni.”
Tak sempat aku bagi ayat bantahan lain, dia dah pegang dua-dua belah bahu ini,
lalu dipusingkan ke depan. Terus dia sambung keringkan rambut ini.
Er .. sayang?!
Tertelan liur aku dibuatnya.
Haih ... rambut orang, dia pulak sibuk!
Malas nak bukak mulut, aku diam saja. Biarlah kalau dah
rajin sangat.
Tapi tak lama, bila dia tiba-tiba memaut leher ini dari
belakang dengan dua tangannya. Didaratkan bibirnya ke kepala. Terasa desah
nafas yang hangat. Degup jantung yang memukul dadanya terasa berdenyut di
belakang.
Sudah! Tak pasal-pasal jantung aku makin kencang berlari.
“Sayang ...”
Alahai ... terasa longgar lutut!
“Abang minta maaf.”
Baru saja ayat itu meniti pendengaran, hati ini dah
menjerit “ya, maaf diterima!”.
Barangkali panahan dari hati, menikam terus tepat ke
dalam hati.
Degup jantungnya makin pantas menghentak. Dan desah nafasnya
makin kuat terasa. Aku pejamkan mata. Dua tangan menggapai lengan sasanya, lalu
kugenggam kemas.
Homai..berbaloi menunggu setelah sekian lama... karya kamu begitu menepati akal dan anganan saya dari bab ke bab seterusnya.
ReplyDeleteLantas teruskan..well done cik writer