Friday, August 21, 2015

Gerimis Kasih Kita 25


Panahan matanya masih pegun ke buana. Tidak berpusat ke mana-mana subjek, tetapi tajam menikam. Tarikan nafas kasar mendesah menerobosi hidung terus berirama, senada dengan kacipan geraham.

Sakit! Hatinya terlalu sakit! 

Tak terkata dengan perkataan, tak tergambar dek perasaan.

“Kisah mereka bermula daripada Tuan. Tanpa Tuan, ia takkan terjadi.”

Itu kata Loy. Orang upahan yang sekian lama dihulurkan habuan demi mencari sebuah kepastian. Misteri lain yang ingin disingkapkan, tetapi ternyata takdir TUHAN menemukannya dengan jawapan kepada rantaian persoalan yang tidak pernah berhenti menyesakkan minda.

Beberapa bulan lalu, dia sudah dipanah keraguan. Namun diajarkan dirinya bertenang. Sambil dipujukkan hati menafikannya.

Kebarangkalian yang diperkatakan Loy terlalu dangkal buktinya.

Itu yang dimomokkan pada dirinya tika itu.

Tapi hari ini, bukti yang sahih sudah dibentangkan .. lantas penipuan yang bagaimana lagi harus diajarkan pada hati yang sudah tidak keruan?

Akhirnya, setitis demi setitis air matanya terjun juga. Bukan menangisi takdir yang menimpa, tetapi kekesalan atas rencana Rizwan. Abang kandung! Abang yang disayangi sepenuh hati. Tidak pernah terjangkau dek minda adegan yang diaturkan abang kandung sendiri.

Berbalam-balam pandangannya diasak mutiara-mutiara jernih. Dalam kegalauan, sempat dirangka rencana. Agenda yang bakal diperjalankan. 

Hutang darah bayar darah! Hutang nyawa bayar nyawa!



Geraham dikacip. Aturan nafas yang berterabur diajar bertenang.

“Barang yang Mama pesan tu, ada beli tak?” Suara yang tiba-tiba bergema, mencantaskan lamunan yang sedang berterbangan.

“Ada.” Perlahan dia menjawab. Muka Mama ditentang lembut. Ada kemarahan dalam raut itu. 

“Hurm .. dah bagi Nurul?” Soal wanita itu lagi. Tona suara masih keras, kasar.

“Dah.” Tapi sekurang-kurangnya, ada kepedulian dalam dirinya. Walau bukan untuk dia sendiri, dia sangat bersyukur Nurul Anis dan kandungannya mendapat tempat di mata Mama. Tidaklah mereka dilayan sepertinya. 

Kemarahan .. sudah terlalu lama bertapak dalam diri Mama pada dirinya. Dia juga sudah tidak pasti jejak permulaan ia bercambah. Terhiris dan terguris .. namun semua itu ditelannya, tanpa dia fahami atas alasan apa dia dihukum sebegitu. Sampai bilakah Mama akan menjadikan dia musuh? Sehingga kini pun persoalan itu tidak pernah menampakkan bayang jawapannya.

“Jangan sampai Nurul susah. Ingat tu!” Mama menyambung lagi.

Dia mengangguk sahaja.

Itulah yang dia lakukan. Dari dulu sampai sekarang. 

Salah itu berpunca daripadanya. Maka dia yang harus memikul. Tersangat sukar dirasakan, tapi tak pernah lagi dia bersungut. 

TUHAN masih memberi dia peluang, maka dia sudah bersyukur. Hatinya dapat ditenangkan.

Tetapi .. kebelakangan ini dia mula berkeluh-kesah. 

Datin Saira peduli tentang Nurul Anis. Sangat mengambil berat!

 Rizhan juga sama. Sangat peduli tentang isterinya.

Mengenangkan Datin Saira, dia berasa senang.

Tapi tidak Rizhan! Sehari ke sehari, bertembung Rizhan menjadikan atur nafasnya berantakan. Dia gelisah. Dan ia sangat mendera perasaannya.

Rizhan sangat berbeza. Air muka, rentak laku dan butir bahasanya tidak seperti sebelum ini.

Dan yang paling menggelisahkan, lelaki itu semakin pantas mendekati Nurul Anis.

Apa yang ada dalam fikiran Rizhan?!


Datin Saira masih terus berbunyi. Mengingatkan dia agar menjaga Nurul Anis. Menantu dan kandungannya tak boleh dibebankan dengan masalah. Makan mesti terjaga. Pakaian mesti ada yang baru. Jangan bagi buat kerja. Jangan biar dia berasa bosan. Jangan begitu, jangan begini ... Dia mengiyakan sahaja. Tidak ingin mencelah walau sedikit.

Bunyi pintu dibuka menarik perhatian. Wanita itu tiba-tiba menghentikan kata. Kemunculan susuk tubuh Rizhan memercikkan keceriaan pada air muka yang tadinya keruh.

“Riz .. balik dah?” Penuh kasih anak itu ditegurnya.

“Hmm ..” Ringkas sahaja jawapan diterima.

Diliarkan matanya ke sekitar ruang tamu. Menghadapi Mama dan abang, dua watak yang sangat ‘berpengaruh’ dalam rentetan hidupnya kala ini .. nampaknya situasi akan jadi ‘hangat’. Sehangat hatinya masa ini. Pendingin hawa pun seakan tak berfungsi.

“Mereka jumpa 8 bulan lepas. Masa tu, mereka belum kenal satu sama lain.”
 
Suara yang hampir 8 jam lalu didengari kembali terngiang-ngiang di telinga.

Nafas ditarik rakus memenuhi rongga hidung. Bahang kepanasan yang tiba-tiba makin menyeruak naik cuba diusir.

“Makan? Mama baru siap. Riz lambat sikit aje.”

Si abang hanya memerhati dari sofa bertentangan dengan si ibu.

“Riz kenyang, Mama. Dah makan kat luar tadi.”

“Oh, iya? Riz makan dengan Airin ke? Bawak Airin jalan-jalan, ya? Baguslah! Kesian jugak Airin tu, tentu bosan terperuk aje kat rumah.” Datin Saira menyambut laju. Seronok bukan main hati tuanya. Nampaknya perancangan untuk panjangkan persahabatan dengan keluarga Datin Khaty masih ada harapan.

Wanita itu menepuk perlahan sofa empuk yang diduduki. Kelihatannya gembira sangat dengan perkhabaran yang tak seberapa.

Rizhan mengoyak senyum di juring bibir.

“Tak. Dengan Anis, bukan Airin.” Selamba Rizhan bersuara. Sengaja ditekankan nama Anis, biar jelas di pendengaran Mama. Tapi yang paling penting, biar manusia ketiga yang berada di situ terkena serangan jantung mendengar nama itu  disebut.

Terkebil-kebil seketika Datin Saira memandang Rizhan.

“Oh, .. Anis .. Nurul Anis.”

Mata Datin Saira membulat. Rizwan pantas berpaling. Mukanya berubah kelat dan berkerut. Ada riak marah terbias.

Rizhan melukis senyum di hujung bibir. Dua pasang mata tepat menikam mukanya. Terasa bagai beroleh kemenangan melihat perubahan Mama. Tapi paling utama, Abang Rizwan ‘yang dikasihi’.

Tidak menunggu balasan, dia mula mendaki anak tangga ke bilik. Ditinggalkan dua beranak yang masih terkedu itu di situ. Dia sudah puas hati dengan pencapaian hari ni. Biarkan. Ini baru kejayaan kecil. Esok, lusa, dan hari-hari seterusnya .. nantikan ... Rasa tak sabar pula menantikan hari mendatang.



Setengah jam berlalu. Dia masih diam di sofa. Tidak berkutik walau sedikit.

Saat itu, Nurul Anis baru keluar dari bilik. Serta-merta degup nafas mula berterabur semula.

Melihat dia, wanita itu agak terkejut. Matanya terpisat-pisat cuba mengintai jam di dinding.

Pukul 2.00 pagi!

“Awak baru balik?” Soalnya. Suara agak serak. Petanda dia sudah dibuai lena yang panjang tadi. 
            
 Dianggukkan kepala sahaja.

“Nurul keluar tadi?” Soalan yang sudah diketahui jawapannya.

“Ya.”

Tapi kenapa kesakitan tetap terasa?

Lidahnya kelu. Tidak tahu apa lagi yang patut diutarakan, atau disuarakan. Kerana apa yang pasti, setiap patah yang keluar, bagaikan boomerang yang hanya akan kembali mencarikkan perasaannya sendiri.

“Er .. tadi saya ada mesej awak. Sepupu saya singgah sini, on the way  balik dari bercuti. Jadi, saya keluar jumpa dia.” Entah kenapa, hatiku rasa semacam. Muka lelaki ini kelihatan sangat keruh. Rasa bersalah aku dibuatnya. Tapi .. tadikan dah bagi pesanan?

“Singgah sini?” Hatinya mula bersuara. Pelik. Atau .. ada sesuatu yang cuba disembunyikan?

Pandangan ditalakan ke anak mata wanita itu. Cuba digali kejujuran di situ.

“Ya. Tapi tak datang rumah ni, sebab ada sekali suami dengan adik lelaki dia, anak dua orang. Mereka nak makan terus. Jadi, jumpa kat luar saja.” Terkebil-kebil mataku menentang tikaman matanya.

Nafas lega dilepaskan. Begitu rupanya. Tapi ..

“Lepas tu?”

“Er .. lepas tu .. terserempak Rizhan. Kebetulan dia pun makan situ. Lepas tu .. borak-borak. Dan balik. Tu aje.”

Serta-merta senyuman digaritkan di bibir. Pantas dia bangkit. Tangan isterinya dipegang dan digenggam erat.

Nurul Anis terpinga-pinga, namun membiarkan sahaja. Pelik betul kelakuan Rizwan.

“Terima kasih, sayang. Terima kasih.”

Dia menelan liur. Sayang?

“Er .. untuk apa, ya?”

“Untuk cerita tu.”

“Hurm?”

Senyuman dileret panjang. Tidak dijawab pertanyaan itu. Hanya usapan lembut pada tangan si isteri diberikan.

Lega. Teramat lega.

1 comment:

  1. Hi cik writer,

    Saban waktu menanti bab seterusnya.. mohon teruskan..

    ReplyDelete