Saturday, February 22, 2014

Gerimis Kasih Kita 22 (ii)

Dia sudah siap bertukar pakaian ketika aku menyeru. Berpusing kepalanya mencari mukaku.

“Malam esok Ayuni dah nak balik.” Ujarku. Mata silih berganti antara lelaki itu dengan kain yang sedang dilipat.

Itupun aku set masa, tunggu dia selesai uruskan diri dahulu. Maklum saja pada saat perkongsian bilik sebegini, kalau silap timing, tentu saja terpaksa menonton ‘tayangan percuma’. Dia seronok sahaja kalau bab menyakat. Akulah yang kena menahan pedihnya mata.

“Tahu. Semalam dia dah bagitahu Abang.” Terangguk-angguk dia menjawab. Sempat mengimbas hasrat Burhan untuk turut serta jika keadaan mengizinkan.

“Eh, sudah-sudahlah lipat kain tu. Kan Abang dah cakap, biar Abang yang buat.”

Serta-merta dia duduk lalu kain yang sedang aku pegang ditariknya.

“Tak apalah. Bukan kerja berat macam buat bendang pun.”

Aku tarik semula kain itu.

Sempat aku kerling mukanya. Nampak jelas riak keletihan. Ada hati lagi nak buat kerja rumah?

Padahal sudah banyak kali kami bincangkan hal yang sama. Kerja rumah ... dia tak mahu aku buat apa-apa. Kemahuan dia, aku duduk goyang kaki dan uruskan diri sendiri sahaja. Dan banyak kali jugak aku berhujah balas ... atas dasar perikemanusiaan, maka aku cuba meringankan beban yang dia pikul.

Jadi, isu yang sama sentiasa menjadi topik. Tapi, tidak pula terasa bosan. Kenapa, ya?

“Sekarang ni Ayuni tengah cuti. Jadi, nanti dia akan balik ke kampung. Boleh tak .. kalau saya ikut dia balik?”

Kali ini aku pandang tepat muka Rizwan. Minta izin dan memujuk .. haruslah bagi sepenuh perhatian.

“Dan tinggalkan suami awak yang handsome lagi charming ni sorang-sorang? Sampainya hati!” Ditariknya hidung aku.

Auch!

Sentap.

Sejak bila pandai menyindir ni? Siap perasan handsome lagi charming pulak.

Lagi tak boleh terima .. dia tarik hidung aku?!

Terpaku sejenak.

Dalam tak sedar, aku mencebik. Tak puas hati dengan respon yang diterima.

“Amboi, pandai buat muka pulak, ya! Tak baik tau lawan suami.” Membulat matanya. Kali ini pipi aku pula jadi mangsa cuitan.

Makin mengeras aku menentang pandangannya. Tak berkutik walau seinci.

Sah-sah muka aku sudah merah padam. Pelik sungguh makhluk di depan aku malam ini. Sampai tak reti aku nak berdepan dengan dia.

Dia tergelak. Seronok sangat agaknya mempermainkan aku macam tu.

“Ok, ok .. I’m sorry. Abang gurau je. Abang dah dapatkan cuti. Kita balik, sekali dengan Yuni.”

Sekarang, apa pula reaksi perlu aku tunjukkan?




Aku baru nak lelap ketika dia tiba-tiba bersuara.

 “Mulai malam ni, Abang nak tukarlah .. panggil ‘Anis’ ‘Nurul’ pulak. Lain dari yang lain.”

Terkelip-kelip mata ini. Topik sebegini di tengah malam? Sungguh aku tak faham.

“Nurul .. Nurul ..” Diseru nama itu berkali-kali. Barangkali memberi latihan kepada lidah menyebutnya.

Suaranya cukup untuk menahan mataku daripada terpejam. Yang termampu aku buat hanyalah mendengar dan memandang mukanya dalam kesamaran biasan cahaya lampu dinding yang dipasang di hujung bilik. Masih luas matanya. Agaknya sebab itu dia kelihatan bersemangat untuk terus bercakap. Bercakap dan bercakap .. sehingga mata itu layu, dan akhirnya diam.

“Nurul .. ingat tak yang ustaz mengajar tadi?” Dalam samar-samar, aku melihat dia berpaling ke arahku.

Ok .. mungkin perananku sudah bertambah. Mendengar dan memandang .. dan menjawab!

“Yang kat masjid tadi?” balasku perlahan.

“Hmm ..”

“Yang mana? Anak luar nikah ...” Tergantung kataku.

Aku menelan liur. Serta-merta segala macam perasaan menyerbu naik. Lesap terus kantuk yang tadinya memberat.

“Anak luar nikah tak boleh dibinkan walaupun dengan bapa biologinya sendiri.” Lemah aku bersuara. Bukan lagi bertanya, sebaliknya menyatakan. Dan ia lebih kepada diriku sendiri. Peringatan akan letak duduk diri ini.

Kenyataan yang sangat memeritkan.
Tak semena-mena pipiku sudah basah. Laju air mata mengaliri pipi dan akhirnya menimpa bantal tidurku.

“Maaf ..”


Tubuh ini sudah dirangkulnya erat. 

3 comments: